The enemy of my enemy is my friend
Ada juga yang tidak menyebutnya tetapi dari kata-kata dan tindak-tanduknya menunjukkan beliau sedang menjiwai dan menghayati ungkapan tersebut. Baru-baru ini dalam lawatan Najib ke 'White House', beliau juga menyebut "Your enemy is our enemy too". Maknanya musuh Trump dan Amerika Syarikat adalah musuh Najib dan saya percaya tidak ramai rakyat negara ini bersetuju dengan apa yang disebutnya itu.
Dalam hal politik negara juga, timbunan aksi-aksi yang mencuit minda kita untuk sama-sama dianalisa. Bagi saya, jejak dan tingkah beberapa personaliti yang keluar parti dan tampil dengan kenyataan-kenyataan bercanggah dengan pendirian semasa berada dalam parti tersebut adalah biasa. Namun, apabila ia tidak seiring dengan kehendak majoriti rakyat dan apa yang disebut sebelum ini olehnya membuat saya tertarik untuk berkongsi sedikit pandangan.
Apabila musuh yang dulu rakan sebantal menjadi musuhnya dan kebetulan musuh itu sama dengan musuh sebelum ini, bermakna mereka adalah kawan atau sekutu. Jika UMNO dan PAS menyerang DAP habis-habisan dan kita yang keluar parti turut senada maknanya kita adalah sekutu atau rakan kongsi lah tu. Tambahan pula, UMNO dan PAS tidak diserang dan MCA serta PGRM yang juga Cina dan menentang hudud dan RUU355 tetapi tidak sedikitpun disentuh. Dalam edah bercinta, masing-masing menjaga hati.
Apa bezanya MCA, PGRM dengan DAP? Rasanya MCA dan PGRM lebih hebat menyerang hudud dan RUU355 berbanding DAP yang telah ditarbiah oleh arwah Tuan Guru Nika Aziz Nik Mat. Bezanya cuma DAP dalam pakatan pembangkang dan MCA serta PGRM dalam BN. DAP terbukti ada memberi bantuan kepada masjid-masjid dan guru-guru agama di Pulau Pinang serta membantu mangsa banjir di Kelantan ketika banjir besar sebelum ini. MCA dan PGRM ada?
Walaupun tidak menyebut secara terang-terang sudah bersekutu, umum dapat mengandaikan hati sudah terpaut dan sedang mengumpan atau sudah termakan umpan UMNO dan PAS. "The enemy of my enemy is my friend" seperti sudah terpancar dalam kata-kata dan tindakan yang dipertontonkan. Ada ketikanya bahasa badan lebih jujur dari kata-kata yang diluahkan.
DAP sudah lali menjadi budak belasahan sesiapa saja sekarang yang mahu menunjukkan mereka sebagai pejuang agama dan bangsa walaupun hakikat sebenar rakyat lebih bijak menilai. Tumbangnya kerajaan Perak yang dipilih rakyat seharusnya tidak menjadi kebanggaan mana-mana orang kerana ia secara jelas tindakan yang mengkhianati rakyat yang menggunakan saluran demokrasi memilih kerajaan. Tambahan pula untuk melakukan operasi sulit dan besar sebegitu tidak mungkin kerja buat seorang individu untuk didabik dada. Firasat saya ada banyak pihak terlibat termasuk organisasi tertentu.
Kejayaan Tunku memperolehi kemerdekaan walaupun amat dibanggakan tetapi Tunku tidak boleh mendabik dada hanya beliau seorang yang menyebabkan negara ini merdeka. Berapa banyak darah, keringat dan airmata pejuang terdahulu yang tumpah ke bumi sebelum negara mendapat kemerdekaan. Inikan pula mengkhianati rakyat dengan 'operasi rahsia' seperti itu sehingga wakil rakyat yang sepatutnya jujur dan amanah kepada kepercayaan rakyat telah dikhianati. Apakah ia patut dibanggakan apabila menumbangkan kerajaan dipilih rakyat dengan 'beli wakil rakyat' seperti itu?
Tun Mahathir disokong bukan kerana beliau sempurna, tetapi kerana "in the land of the blind the one-eyed man is king". Lebih baik memilih yang buta sebelah dari buta kedua-dua mata sehingga membawa kita terjerumus ke lembah dan gaung yang amat dalam.
Wallahualam
Comments
Post a Comment