LEPASKANLAH PAS DENGAN REDHA
Secara logiknya jika kita berada di tempat PAS pun, sudah terlalu lambat untuk PAS berundur bagi membolehkan parti yang dianggap 'suci' itu kembali berada bersama Pakatan Harapan (PH). Membuat pusingan 'U' untuk kembali kepada PH bererti bersiap sedia untuk ditelanjangkan segala hipokrasi PAS sepanjang berkhalwat dengan UMNO dan akan diungkit semua yang diterima PAS samada secara langsung ataupun tidak.
Segala perencanaan bersama yang dibincangkan antara PAS dan UMNO akan dihidangkan di meja sidang media peliharaan UMNO. Sudah pasti ini akan meletakkan wajah PAS terlalu hina dan semestinya dielakkan. Ditelan mati emak, diluah mati bapa kata Pak Kadok. Oleh itu, biarkan saja PAS terus dinikahkan secara sah dari terus melakukan mukaddimah zina selama-lamanya. Jubah agama jika tidak dihormatipun jangan sampai diinjak-injak.
Kita semua sayangkan PAS tetapi sayang kita pada rakyat, bangsa, agama dan tanahair lebih jauh tinggi dari PAS. Kepentingan emosi dan diri perlu diketepikan dalam berdepan raksaksa kleptokrat dalam PRU14 nanti.
Ahli-ahli biasa dan pengikut PAS tidak boleh dipersalahkan dalam soal wala' kepada pemimpin mereka kerana itu fitrah pengikut dan penyokong. Kita semua tidak ramai spesis 'maverick' yang menongkah arus. Yang banyaknya ikan mati dan sampah yang mengikut arus.
Kita menganggap parti komunis itu kejam dan tidak betul tetapi jumlah ahli parti komunis China berkali ganda jumlah rakyat Malaysia dan mereka bermati-matian mempertahankan ideologi komunis. Kita kata zionisme keji tetapi majoriti rakyat Israel dan kaum yahudi seluruh dunia menganggap zionisme itu 'suci' dan murni. Oleh itu, kebarangkalian ahli PAS mempertahankan parti dan pemimpin mereka juga adalah biasa alaupun kita lihat tidak betul.
Bayangkan umat di zaman Firaun tatkala dipertontonkan kebenaran Nabi Musa ahs di depan mata kepala mereka sendiri ketika berdepan ahli-ahli sihir terhebat di abad itu juga terus tidak mengakui kebenaran Islam dan Nabi Musa. Mereka nampak secara jelas mukjizat Nabi Musa ahs mencampakkan tongkat menjadi ular besar menelan ular-ular ahli sihir peliharaan Firaun sebaliknya terus tunduk pada Firaun. Kerana apa? Kerana ego mengatasi kebenaran dan ketakutan menguasai diri.
Ada ahli dan pengikut-pengikut PAS yang sedar dan tahu pemimpin mereka sudah tersesat di pertengahan jalan tetapi takut dituduh tidak wala' dan tidak mendokong perjuangan Islam terpaksa terus bersama berada dalam bahtera yang sudah bocor ditambah badai menghempas lautan tanpa ihsan. Tetapi demi menjaga airmuka parti dan pemimpin mereka, sanggup mati dari merasa malu.
Tugas kita sekarang adalah melepaskan PAS dengan redha dan apa yang perlu dibuat adalah menjelaskan kepada ahli dan penyokong PAS yang masih waras bahawa PAS bukan Islam tetapi hanyalah sebuah wadah dan kenderaan yang bergerak dalam sebuah sistem politik untuk mencapai kuasa. Tetapi jika masuk pilihanraya pun hanya sekadar untuk jadi penasihat, ada baiknya deposit pilihanraya dan segala kudrat yang ditumpahkan itu disedekahkan kepada yang lebih memerlukan. Bukan kepada PH tetapi pada anak-anak yatim dan balu-balu pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan yang berjuang untuk rakyat.
Kesuntukan masa tidak membenarkan kita untuk bernostalgia lagi serta bermain emosi. 'Move On' kata orang sekarang dan ingatkan seluruh rakyat tentang muslihat yang akan dipersembahkan secara licik oleh gerombolan kleptokrat dan kuncu-kuncunya untuk mengalihkan perhatian bahawa mereka sudah mengkhianati janji kepada rakyat sudah terlalu banyak dan bukan pawang atau bomoh juga dapat meramalkan janji untuk PRU14 kali ini juga akan lebih teruk dikhianati.
Salam hujung minggu dan beristirehatlah sahabat-sahabat semua.
Comments
Post a Comment