11 SEPTEMBER DATANG LAGI
Tanggal 11 September seperti tahun-tahun lalu tetap datang menggenapkan bulan yang mencipta jutaan sejarah dan impak terhadap tindakan unilateral sebuah kuasa besar bernama Amerika.
Peristiwa 11 September 2001 tidak akan mampu dipadam walau dengan darah presiden Amerika sendiri. Jutaan nyawa melayang dan tidak terkira jumlahnya yang mengalami kecederaan, kecacatan, ibu kehilangan anak, anak kehilangan ibu, suami kehilangan isteri begitu jugalah isteri kehilangan suami, bapa, saudara mara dan insan tersayang.
Semuanya gara-gara kehalobaan untuk berkuasa dan menguasai emas hitam di Timur Tengah. Konspirasi terbesar pernah dilakukan oleh Amerika ini satu persatu terbongkar dan agenda zionis dan sekutu utamanya Amerika juga terang benderang umpama gajah di tengah halaman rumah di bawah panas matahari.
Seluruh dunia hingga ke kaki langit diperdaya oleh Amerika untuk menghalalkan tindakannya melanyak negara dan umat Islam yang menjadi musuh mereka hingga kiamat nanti. Sehebat-hebat Validimir Putin dan Russia, hebat lagi Bush dan haiwan yang menjadi mandornya Israel. Bohong walaupun diketahui bohong tetapi tetap dipercayai itulah patut dihormati.
Teringat saya kepada pengalaman bertugas ketika lawatan pemimpin negara ke New York dan Washington satu ketika dulu selepas peristiwa 11 Sepetember ini. Saya sempat melawat tapak kesan runtuhan bangunan WTC tersebut dan merasa amat sedih bukan kerana diperdaya tetapi sedih mengenang mereka yang menjadi mangsa dalam insiden ini.
Saya ketika itu turut fanatik kepada Osama Laden sehingga mencari buku-buku berkaitan Osama di kedai-kedai buku di Washington. Ketika membelek-belek buku Osama di sebuah kafe yang turut menjual buku Osama, seorang lelaki Arab bertanya saya kenapa membeli buku Osama? Jawab saya kerana ingin mengetahui kisah sebenar mengenai Osama. Kata-kata lelaki Arab itu terngiang-ngiang hingga sekarang di telinga saya. Katanya, Osama itu agen CIA dan haiwan peliharaan Amerika dan jangan percaya apa yang ditulis oleh buku-buku berkenaan beliau.
Saya agak keliru apabila warga Arab sendiri tidak percaya kepada Osama tetapi 'lelaki Melayu terakhir' ini sangat percaya dan taksub kepadanya ketika itu. Jika yang berada dalam agensi perisikan pun percaya pembohongan seperti itu, yang jadi spy leman dan kuncu-kuncunya apatah lagi.
Tetapi rakyat negara ini tidak perlu merasa rendah diri dengan kehebatan Bush dan Amerika yang terkenal seluruh dunia memperdaya masyarakat antarabangsa dengan teori konspirasi 11 September 2001 tersebut. Kehebatan Bush dan Amerika telah berjaya dipecahkan rekod pembohongan tersebut apabila ledakan kes 1MDB merayap ke seluruh pelusuk bumi.
Berapa banyak bank antarabangsa terlibat dan ada yang diarah tutup serta pegawai-pegawai banknya dipenjara dan dijatuhkan hukuman. Berapa banyak wang dari 1MDB banjir ke akaun orang itu dan ini. Malah turut menjadi bahan jenaka mengalahkan alasan Bush menyerang Afghanistan serta berjaya membunuh Osama Laden hingga terpaksa menenggelamkan mayatnya ke dasar lautan apabila wang dalam akaun seseorang berbilion ringgit datangnya dari Putera Raja Arab. Memang menakjubkan apabila ramai yang percaya dan mempertahankan bermati-matian jika ada yang tidak mahu percaya atau was-was.
Berbanggalah kita untuk kesekian kalinya kerana kita berjaya melakar sejarah besar sepertimana Bush dan Amerika dengan peristiwa 11 September dan kita dengan 1MDB tanpa menumpahkan setitik darah pun sepertimana runtuhnya bangunan seutuh WTC tersebut serta mangsa kezaliman Amerika. Jika ada yang mengaitkan titisan darah dalam kes-kes yang sering dikaitkan dengan 1MDB itu saya serahkan kepada Ahmad Maslan mengulas spekulasi tersebut.
Jangan sesekali lupa pada pesanan Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels “Penipuan yang diulang-ulang akan menjadi kebenaran”.
Comments
Post a Comment