KETAGIH DIPUJI


Tersebut sebuah kisah tentang raja yang terkenal zalim lagi kejam terhadap rakyatnya. Kisah raja ini terkenal di seluruh dunia akan kezaliman dan kerakusan mencuri dan memunggah harta rakyat dan negara demi kesenangan dirinya dan keluarga. 

Namun, kelemahan raja ini tetap dapat dihidu oleh pembantu-pembantu di sekelilingnya untuk terus mendapat laba. Beliau teramat gemar dipuji dan diraikan. Mengetahui kelemahan ini, pembantu-pembantunya sering saja membawa sekalian rakyat yang pandai dalam hal-hal puji dan puja ini. 

Setelah begitu lama dipuja-puji manusia, terlintas difikiran raja tentang rasa bosan mendengar pujian yang 'stereotype' dan dari muka-muka yang sama. Maka raja pun bertitah kepada balaci utamanya agar mencari muka-muka lain untuk memuja-muja baginda. 

Balaci utamanya menyarankan supaya dipanggil segala haiwan-haiwan di dalam negeri jajahan baginda. Raja pun bersetuju kerana ia begitu menarik sehingga haiwan juga mengetahui kehebatannya.

Dikerahlah segala jenis haiwan di dalam hutan belantara dan dalam negeri. Pesanan balaci utama pada haiwan-haiwan yang datang adalah kata kunci pujian mesti, BESAR, PANDAI, BERANI, KUAT dan CANTIK.

Setelah semuanya diatur, raja dan permaisurinya yang gempal itu pun diarak masuk ke atas pentas utama di tengah-tengah padang rumput yang luas. Seluruh rakyat dijemput untuk datang melihat haiwan-haiwan memuji raja mereka. 

Sebaik acara bermula, Gajah dijemput memulakan pujian kepada raja dan permaisurinya. Kata gajah, "Ampun tuanku! Tuanku teramat BESAR kepala dan permaisuri BESAR sanggul dan bontot tetapi perasan CANTIK tak sedar diri". 

Raja yang mendengar sudah mula berang tapi balaci utama meminta raja berdiam diri sehingga selesai kerana katanya haiwan-haiwan ini semuanya pintar.

Datang harimau pula berkata, "Tuanku! Tuanku memang sangat PANDAI menipu dan permaisuri PANDAI habiskan wang".

Ular pula memuji, "Tuanku sangat BERANI mencuri dan permaisuri juga BERANI menentang rakyat".

Keldai juga mahu menunjukkan kehebatannya memuji berkata, "Tuanku! Tuanku memang KUAT rasuah dan permaisuri juga KUAT.. KUAT makan, KUAT shopping dan kuat berjalan sana sini. Balaci tuanku pula KUAT mengampu!". Seluruh rakyat yang berada di padang itu gelak-ketawa berdekah-dekah melihat gelagat haiwan-haiwan itu.

Raja tidak dapat lagi menahan kemarahan terus menjerit diberhentikan acara sedang berjalan dan menitahkan supaya haiwan-haiwan yang menghinanya dibunuh. Haiwan-haiwan menjerit ketakutan dan berkata kepada raja, mereka diberitahu menghafal perkataan BESAR, PANDAI, BERANI, KUAT dan CANTIK untuk diucapkan di depan raja tanpa memberitahu apa ayat yang harus digunakan. "Mana kami tahu kami kan haiwan!". 

Raja akhirnya menukar titahnya kepada menjatuhkan hukuman bunuh kepada balaci utamanya.

Moralnya di sini, janganlah menggunakan khidmat mana-mana makhluk samada manusia ataupun bukan untuk keseronokan diri sendiri tanpa memikirkan apa yang akan berlaku kerana di dalam dunia ini tidak semua yang cerdik dan tidak semua yang bodoh. Apa yang sering berlaku adalah mereka yang memuji-muji ini biasanya bodoh dan orang bodoh akan meletakkan diri yang dipuji itu dalam situasi bahaya.

Comments

Popular Posts