NOSTALGIA 2 SEPTEMBER 1998


Tidak ada manusia yang tidak pernah bernostalgia dan nostalgia itu sendiri adalah fitrah seorang manusia. Pepatah menyebut, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. 2 September 1998 tidak hanya nostalgia kepada kelompok yang memperjuangkan ‘Gerakan Reformasi’. 

2 September 2017, genap 19 tahun Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, UMNO dan kabinet. Nostalgia dari apa yang berlaku ini tidak hanya dilalui oleh orang-orang yang menyokong DSAI, begitu juga yang memihak kepada Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu. Bahkan bagi yang terlibat dalam profesi keselamatan negara juga punya nostalgia tersendiri.

Ketika itu kami juga tidak terlepas menerima tempias daripada keputusan politik oleh orang-orang politik. Kehidupan juga bertukar daripada tidak terlalu sibuk menjadi amat sibuk dan tertekan dengan situasi keselamatan negara yang begitu ‘fragile’ dan bergelora. Pengaruh DSAI begitu besar jauh meninggalkan pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), Pak Lah, DS Najib apa lagi Zahid Hamidi. DSAI berjaya membina rangkaian pengaruhnya bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara kerana begitu lama berkecimpung dalam gerakan belia dan Islam sejak di zaman pelajar universiti. Selain Parti Keadilan Nasional (PKN) yang ditubuhkan itu, DSAI mendapat sokongan padu proksi utamanya ABIM dan JIM dengan tokoh-tokoh berwibawa di dalamnya.

Suasana dalam negara ketika itu cukup tegang apatah lagi kebijaksanaan allahyarham Dato’ Fadzil Noor melancarkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang dilancarkan pada 27 September 1998 di Markas Tarbiah, Taman Melewar. Tidak ada masa sepi dan tenang yang dapat dilalui ketika itu berdepan kebangkitan rakyat di negara ini. Mungkin itu sebab TS Rahim Noor IGP ketika itu gagal mengawal emosinya sehingga menumbuk mata DSAI menyebabkan insiden mata lebam tersebut memberi kelebihan kepada pihak pembangkang untuk meraih sokongan rakyat dalam PRU 1999. Tetapi itulah risiko yang perlu dilalui mereka yang bergelar ‘pak polisi’ dalam bahasa Indonesia khususnya ‘santiban’ disebut dalam bahasa Thai.

Pak Polisi pun bukan seronok dan selesa dengan situasi begini tetapi itulah ikrar dipertaruhkan ketika menyarung pakaian seragam ketika mula latihan di pusat latihan.

Kita semua memahami suka duka mereka yang terpaksa dilalui samada diri sendiri atau keluarga akibat terjebaknya dalam kancah politik yang tidak pernah dijangka akan berlaku sedemikian rupa. Tetapi adakah perlu untuk kita terus bernostalgia selama-lamanya sehingga membiarkan masa depan negara punah-ranah dan sekarang bergelut dengan situasi hidup rakyat yang cukup getir hanya naluri dendam yang berbisik?

Malah bisikan dendam itu akan terus membiarkan mereka yang menjadi punca kegawatan terus menumpuk kuasa? Berdendam terhadap Tun Mahathir dengan peristiwa pemecatan DSAI dan tindakan terhadap penyokong-penyokongnya selepas itu hanya memberi nafas lega kepada pemimpin yang sedang lemas yang amat berharap perbalahan dan perseteruan sesama musuhnya menjadi azimat untuk terus berkampung dan berpesta kantung rakyat dan negara.

Jika DSAI dan keluarga yang teruk menerima bahana akibat pemecatannya pada 2 September 1998 sanggup melupakan detik hitam tersebut, kenapa kita yang hanya lembap-lembap tempias percikan bahana tersebut begitu emosional seperti yang sering disebut Mohamad Sabu dalam ceramah-ceramahnya sekarang? Tidak mungkin nasib malang orang lain mengatasi apa yang dilalui DSAI dan keluarganya dalam peristiwa itu dari dulu hingga sekarang. Jangan-jangan nanti dianggap ‘biang keladi’.

Belajarlah dari peristiwa pemelukan Islam oleh Khalid Al Walid yang digelar Pedang Allah dan Khalifah Umar Al Khattab. Ketika belum memeluk Islam, Khalid Al Walid adalah musuh Islam paling digeruni di medan perang kerana strategi perangnya yang hebat di mana umat Islam telah mendapat pengajaran yang cukup hebat ketika perang Uhud. Kebijaksanaan beliau dalam taktik peperangan dan ketenteraan dapat menghidu peluang dan melihat kelemahan pasukan tentera Islam yang ingin mengambil rampasan perang menyebabkan beliau membawa pasukan berkudanya mara dan berjaya membuatkan tentera-tentera Islam kucar kacir dan menyebabkan terbunuhnya 50 orang pemanah terbaik tentera Islam ketika itu yang diletakkan Rasulullah s.a.w di puncak bukit Uhud.

Di zaman Khalifah Abu Bakar, Khalid ditugaskan untuk menghapuskan golongan murtad. Dalam pidatonya, Saidina Abu Bakar memberi semangat kepada tentera Islam antara lainnya berbunyi "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sebaik-baik hamba Allah dan saudara dalam satu suku iaitu Khalid b Al-Walid, Saifullah, yang pedangnya akan dihayunkan kepada orang-orang kafir dan munafik" Kehebatan beliau dalam peperangan dan ketenteraan terbukti apabila beliau merupakan antara 3 general Islam yang tidak pernah kalah dalam mana-mana peperangan, sama ada ketika beliau masih di zaman Jahiliyah mahupun setelah memeluk Islam.

Begitu juga dengan Saidina Umar Al-Khattab ra yang pada awalnya sangat kuat menentang Rasulullah s.a.w dan merupakan musuh Islam yang sangat berani menyiksa orang-orang Islam sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam. Ketika mendengar berita adik perempuan dan iparnya telah memeluk Islam, beliau ke rumah Nabi Muhammad s.a.w untuk membunuh baginda.

Apakah Nabi Muhammad s.a.w berdendam dan terus memusuhi Khalid Al-Walid dan Saidina Umar? Jika tidak kerana kebijaksanaan baginda, kehebatan dan kekuatan kedua-dua sahabat Nabi ini akan terus berada di pihak musuh dan memberi kelebihan kepada musuh Islam. Buat masa ini, kehadiran Tun Mahathir untuk berdepan dengan rejim pemerintah adalah satu-satunya pilihan yang ada. Siapa lagi yang mampu mengepalai ibu segala pertempuran yang akan dihadapi dalam PRU14 nanti? Diri kita ini kah yang terus bernostalgia?

Nostalgia tidak akan membantu menumbangkan musuh rakyat sebaliknya hanya akan melemahkan gerakan rakyat ini. Cukup-cukuplah meraih simpati dan memecahkan kesatuan pakatan pembangkang hanya disebabkan dendam yang terus berkubang dalam hati nurani kita. Utamakan kepentingan rakyat dari kebencian dan dendam yang tidak berkesudahan itu. Setiap dari kita pernah marah dan benci terhadap tindakan dilakukan oleh Tun Mahathir satu ketika dahulu tetapi itu bukan alasan untuk menjustifikasikan tindakan melemahkan pakatan pembangkang membawa perubahan terhadap sistem pemerintahan negara yang lebih bermanfaat kepada rakyat, bangsa, agama dan negara.

Seperti kata Martin Luther King Jr., "Darkness cannot drive out darknes; only light can do that. Hate cannot drive out hate; only love can do that". Jadilah seperti batu karang yang tidak putus-putus dipukul ombak. Ia tidak saja tetap berdiri kukuh, bahkan ia menenteramkan amarah ombak dan gelombang itu.

Comments

Popular Posts