Standard operating procedures (SOP)

Salam,

1. Standard operating procedures (SOP) seringkali disebut tanpa mengira samada pengungkapnya faham atau sebaliknya. SOP mungkin ada yang berfikir ia membawa maksud Saya Orang Penting sehingga tidak perlu mematuhi SOP. Jika tidak penting kenapa SOP perlu diwujudkan? Ia amat penting bagi menentukan supaya pematuhan peraturan/prosedur dipatuhi mengikut keperluan tugas dan objektif organisasi. Disamping itu, ia dapat membantu keputusan dapat dibuat dengan pantas tanpa penyeliaan secara dekat setiap masa oleh pegawai atasan sekiranya SOP dipatuhi. Jika setiap pegawai perlu diselia secara dekat setiap masa maka di situlah bermulanya ketidakpercayaan kepada pegawai bawahan bermula dan menjadi racun dalam organisasi.

2. Mengambil satu kisah benar yang dilalui saya ketika bertugas di sebuah negeri sebagai contoh, ia membuktikan setiap jabatan WAJIB mempunyai SOP masing-masing. Kisahnya timbul apabila seorang wanita Melayu yang murtad dan berkahwin dengan rakyat tempatan keturunan siam tempatan beragama buddha. Mereka kahwin lari di Thailand dan setelah banyak tahun di sana, mereka kembali ke Malaysia dan menetap sehingga beranak-pinak di sini. Anak-anak wanita ini dengan lelaki siam itu sudah berumur belasan dan ada yang lebih 20 tahun ketika wanita ini meninggal dunia dan akan dikebumikan mengikut agama buddha. Setelah beberapa hari berada dalam keranda di kawasan halaman rumah dan tiba hari nak dibawa untuk disempurnakan mengikut agama buddha oleh suami dan anak-anak, ada pihak yang melapor perkara ini kepada pejabat agama di negeri itu dan telah menimbulkan kekecehon akibat kad pengenalannya masih tercatat agama Islam dan nama Melayu berserta foto bertudung. Bagi mengelakkan mayat perlu dibongkar semula kuburnya nanti, pihak keluarga menunggu keputusan pejabat agama. Pejabat agama pula memaklumkan bahawa mereka menunggu keputusan dari Mufti yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. Khemah yang disewa sudah diambil semula oleh pemiliknya dan tinggal keranda di tengah panas dan meja seolah-olah terbiar. Alangkah sedihnya saya melihat keadaan ini yang sepatutnya jika sudah ada SOP pasti tidak berlaku keadaan seperti ini.

3. Daripada tinjauan saya di dalam rumah dan soal selidik secara sepintas lalu sudah dapat membuat telahan bahawa dia sememangnya sudah tidak lagi mengamalkan gaya hidup Muslim dan tidak sesuai lagi dikebumikan secara Islam. Di dalam rumah penuh dengan patung-patung buddha dan memelihara anjing sekeliling rumah. Anak-anaknya semua buddha dan begitu juga suaminya. Hanya dengan berpegang kepada kad pengenalannya yang masih menggunakan nama Melayu dan agama Islam serta bertudung bukan lagi hak untuk menyatakan dia masih lagi Islam. Ia memberi gambaran kepada mereka yang bukan Muslim bahawa pengurusan pejabat agama tidak cekap dan secara tidak langsung mengaitkannya dengan ketinggian Islam yang tercalar. Namun, pandangan saya tidak diambil kira atas alasan pihak keselamatan hanya perlu melihat dari sudut keselamatan dan isu ini hanya menjadi tanggungjawab pejabata agama. Tapi apa yang berlaku? Penantian tanpa keputusan yang menimbulkan kekecewaan serta kemarahan keluarga yang berdepan masalah ini. Oleh kerana itu, saya melihat SOP merupakan satu-satunya pilihan yang ada ketika ini bagi merungkai masalah daripada terus menjadi barah yang bukan saja menjejaskan pegawai-pegawai terlibat, malah imej dan reputasi kerajaan menjadi taruhan.

4. Oleh yang demikian, banyak lagi SOP yang perlu digariskan serta dikemaskinikan oleh semua jabatan kerajaan bagi membolehkan kerajaan dilihat sebagai pemegang amanah yang melaksanakan urustadbir secara sistematik tanpa ragu-ragu dan ianya akan meletakkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pada kedudukan yang utuh dan wajar. Selagi urustadbir secara adhoc masih diteruskan, maka tidak ada beza antara Malaysia dengan negara Papua, Uganda, Laos dan negara-negara mundur yang lain. Jeritan makanan sejuta kali tidak akan mengenyangkan manusia begitu juga jerita maju berbilion kali juga tidak akan memajukan kita selagi tindak tanduk masih mundur. Tindakan kita tanpa SOP samada akan membuat kita terlalu yakin atau terlalu berhati-hati. Kata Edmund Burke, "Lebih baik dihina kerana terlalu berhati-hati daripada musnah kerana terlalu yakin. Apa pilihan kita?

Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts