Musim Menabur
Salam,
1. Walaupun sebelum ini diramalkan musim kering dan kemarau berpanjangan hingga wal tahun depan, nampaknya Allah lebih mengasihi hamba-hambanya tidak kira manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Sekarang musim hujan dan beberapa hari ini hujan turun dengan lebat. Dalam keadaan hujan lebat, aku bersyukur dan turut teringat betapa cuaca yang bermusim ini seakan-akan gelagat manusia yang juga bermusim.
2. Sejak hari penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, nampaknya di sana dua musim berlaku secara serentak. Musim hujan dan musim menabur. Lebih lebat menabur dari hujan katanya. Bagi petani-petani yang menanam padi, mereka perlu menabur benih, menabur baja, diikuti menuai padi dan memproses padi menjadi beras.
3. Bagi penabur-penabur di PRK Pengkalan Kubur lain pula proses menabur. Tidak kira menabur janji atau sampul, yang pasti adalah tabur. Tetapi beza antara petani yang menanam padi dengan petani PRK, mereka ini hanya menabur janji atau sampul tanpa perlukan menabur baja. Proses menuai juga tidak diperlukan kerana apa yang ditabur adalah angin. Kata pendita, "siapa menabur angin, maka akan menuai badai". Mungkin juga petani PRK akan menuai badai sepertimana penabur angin. Tetapi badai rakyat.
4. Kemuncak segala dosa ialah bohong. Dua perkara yang sentiasa mengiringi bohong ialah banyak berjanji dan banyak memberi alasan. janganlah bersumpah baik demi langit, mahupun demi bumi atau demi apa pun juga. Katakan sahaja 'ya' atau 'tidak' supaya kita tidak berbuat dosa atau terhukum kerana sumpah itu.
Wallahualam
SANI
Comments
Post a Comment