IKAN BUNTAL PUN BERSYUKUR

Salam,

1.    Manusia sering berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan samada dari sudut penampilan diri, usaha mengumpul harta, mengejar pangkat dan jawatan dan bermacam-macam lagi yang mampu memperlihatkan mereka sebagai insan yang berjaya. Bagi yang memahami kegelojohan manusia untuk berjaya, pelbagai usaha dilakukan untuk menjala keranjang duit daripada mereka yang telah dipasung puaka untuk berjaya ini. 

2.   Pelbagai produk dan resipi kejayaan dihambur dengan kaedah yang rencam samada melucukan, memualkan, menyakitkan hati dan tidak kurang yang berasap-asap jampi serapah menyihirkan mangsa-mangsa mereka itu. Bagi yang lemah daya fikir dan jiwa serta 'fragile' terhadap pujukan, rayuan dan bisik-bisik pemangsa, maka kejayaan bukan memihak kepada mangsa yang dahagakan kejayaan, sebaliknya kejayaan berada dalam genggaman pemangsa. 

3.   Sememangnya diketahui umum bahawa 'usaha tangga kejayaan' dan tanpa usaha tidak akan tampilnya kejayaan. Namun demikian, usaha saja bukan jaminan sesuatu yang dihajati akan tetap tercapai. Kita harus memerdekakan jiwa dan minda kita untuk tidak terperangkap dalam situasi yang tidak memihak kepada kita sehingga ada yang sanggup menjadikan dirinya korban apabila gagal memenuhi impiannya. Ini merupakan satu fenomena yang merbahaya jika tidak ditangani sebaik-baiknya kerana kekecewaan memungkinkan apa saja untuk berlaku. Manusia yang berjaya di mata orang lain kadangkala dilihat gagal oleh tuan punya diri sehingga sanggup membunuh diri. Ini dapat dilihat kepada kes-kes seperti yang berlaku kepada Cleopatra Ratu Mesir yang membenarkan seekor ular mematuk dirinya, Tony Hancock Pelawak British yang membiarkan dirinya overdos kerana meminum vodka dan amphetamines, Getulio Vargas Presiden Brazil yang menembak dirinya, Jose Manuel Balmaceda Presiden Chile  mati menembak dirinya sendiri dan yang terbaru pelakon dan pelawak Robin Williams ditemui mati di rumahnya di California disyaki akibat membunuh diri,

4.   Jika kita rasional dan merasionalkan pemikiran diri kita, maka kita akan menemui titik kepercayaan bahawa tidak semua perkara yang orang lain lakukan itu jika kita lakukan seratus peratus sama seperti yang dilakukan oleh orang itu akan membuahkan hasil yang sama. Saya tertarik kepada satu catatan teman dalam facebook bahawa jika berenang itu dikatakan mampu menguruskan tubuh manusia, pastinya ikan buntal tidak buntal dan kurus ramping umpama model terbilang.  Ikan buntal tetaplah buntal kerana itulah fitrahnya ikan buntal. Begitu juga ikan lumba tetap dipanggil ikan lumba walaupun dia tidak berlumba. Kacang cerdik diberi makan pada yang tidak cerdik dan enggan berusaha mendapatkan kecerdikan itu, 12 tan kacang cerdik dikunyah dan ditelan sekalipun untuk menjadi cerdik tidak akan berjaya membuahkan kecerdikan malah dilihat sebagai manusia bebal. Benjamin Franklin tokoh yang diberi jolokan 'Jack of trade and master of many' berkata "Kejayaan telah membinasakan ramai orang" namun tetap juga menjadi buruan manusia. 

5.    Sebaik-baiknya berbaliklah kepada agama yang menyeru manusia menerima Qada dan Qadar setelah usaha dilakukan dan yakin setiap apa yang ditentukan Allah swt itu adalah pilihan terbaik bukan untuk Maha Pencipta, tetapi kepada manusia itu sendiri. Pendek fizikal bukan bermakna pendek akal, gempal bukan tidak sihat malah mungkin lebih sihat dari yang kurus, kulit gelap lebih baik dari hati gelap dan botak mungkin lebih kacak daripada yang berambut lebat. Semuanya mempunyai keistimewaan masing-masing dan memberi rahmat kepada manusia sekiranya mereka bersyukur.

Wallahualam.

SANI


Comments

Popular Posts