UNDI MELAYU JADI PENENTU (PRU14)


Kebangkitan pakatan pembangkang dalam memburu kekuasaan di Putrajaya sejak Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat pada tahun 1998 sehingga PRU14 memperlihatkan dengan jelas faktor penentu kepada kegagalan mereka.

Pakatan Rakyat gagal mendapat sejumlah minimum 112 kerusi iaitu 23 kerusi lagi bagi membentuk simple majority disebabkan tidak mendapat sokongan besar pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar.

Daripada jumlah 222 kerusi Parlimen dalam PRU13, Pakatan Rakyat hanya mendapat 89 kerusi; iaitu DAP 38 kerusi, PKR (30) dan PAS (21). Pakatan Rakyat gagal mendapat jumlah minimum 112 kerusi bagi membentuk majoriti mudah untuk menguasai Dewan Rakyat.

Barisan Nasional (BN) dengan parti utama UMNO terus mengekalkan kuasa dengan memenangi 133 kerusi Parlimen. Walaupun berkurangan daripada apa yang dicapai pada PRU-12, (140 kerusi pada pilihan raya 2008), serta tidak memperoleh majoriti dua pertiga, BN tetap berjaya membentuk Kerajaan Pusat.

Kemenangan mendapat 89 kerusi Parlimen oleh pakatan pembangkang adalah satu peningkatan baharu yang belum pernah dicapai sebelum ini. Namun, pakatan pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 23 kerusi lagi bagi membentuk majoriti mudah. Kenapa jumlah ini tidak berjaya dicapai?

Jawapan paling mudah yang dikesan dari keputusan dua PRU lalu adalah kerana parti berasaskan Melayu-Islam dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat sokongan besar pengundi di kawasan parlimen majoriti Melayu. Pakatan Rakyat, khususnya DAP dan PKR, hanya mendapat sokongan besar daripada pengundi Cina. DAP menang besar di kawasan pengundi majoriti Cina khususnya di kawasan pantai Barat Semenanjung dan bandar besar di Sabah dan Sarawak.

Kawasan Parlimen yang dimenangi DAP adalah seperti Bagan, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Bukit Gelugor, Ipoh Timur, Batu Gajah, Petaling Jaya Utara, Kepong, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras yang kesemuanya adalah kawasan pengundi majoriti kaum Cina. Hanya satu kawasan campuran yang dimenangi calon DAP Melayu, iaitu di Raub (48.9 peratus pengundi Melayu). Faktor peribadi calon dan faktor politik tempatan juga mempengaruhi kemenangan calon DAP Melayu di Parlimen Raub ini.

Parti politik Melayu, iaitu PAS dan PKR gagal mendapat sokongan besar pengundi Melayu, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar. Calon PKR yang bertanding di kawasan Parlimen yang besar peratus pengundi Melayu kalah di tangan BN/UMNO. PKR gagal memenangi sebarang kerusi di Kelantan dan Terengganu yang pengundinya lebih 90 peratus Melayu.

Hanya tiga calon PKR yang menang di Perak, iaitu di Sungai Siput, Gopeng dan Lumut. Antara tiga kawasan ini hanya satu calon PKR Melayu yang menang, iaitu di Lumut. Di kawasan Parlimen Lumut pengundi bukan Melayu agak besar, iaitu 48.7 peratus. Di Parlimen Sungai Siput dan Gopeng masing-masing dimenangi calon PKR daripada kaum India dan Cina.

Calon PKR yang bertanding di kawasan Parlimen yang besar peratus pengundi Melayu seperti di Tambun (64.12 peratus pengundi Melayu), Tapah (46.52 peratus), Pasir Salak (79.73 peratus), Bagan Datuk (56.6 peratus) dan Tanjong Malim (53.5 peratus), kalah di tangan BN.

Keadaan sama juga berlaku di Selangor, dengan PKR kebanyakannya menang di kawasan yang besar peratus pengundi bukan Melayu.

Faktor peribadi dan kelayakan akademik seperti Dr Abdul Aziz Bari (bekas profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa) yang bertanding di Sabak Bernam, gagal menarik sokongan pengundi Melayu kepada PKR.

Kekalahan PKR di Johor juga dapat disimpulkan berpunca daripada peratus pengundi Melayu di sesebuah kawasan parlimen. Hanya satu kerusi parlimen dimenangi PKR di Johor, iaitu Batu Pahat yang pengundi Melayu 52.67 peratus, tetapi pengundi kaum Cina agak besar, iaitu 45.6 peratus.

Kenapa PRU14 pakatan pembangkang mampu menumbangkan UMNO/BN? Ia disebabkan undi pengundi bukan Melayu khususnya Cina kekal mengundi pembangkang dan sokongan dari pengundi Melayu samada di luarbandar atau separa bandar berjaya dirobek oleh PH dipimpin mantan perdana menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad. Sokongan pengundi Melayu kepada UMNO/BN yang dikuasai selama ini telah berhijrah kepada PH atas pengaruh Tun Dr. Mahathir selain isu-isu penyalahgunaan kuasa dan skandal kewangan terbesar didakwa melibatkan PM Najib Razak. Satu hal yang tidak boleh dinafikan juga, setiap kali UMNO berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN.

Di samping itu, turut berlaku kegelinciran sokongan pengundi yang selama ini menyokong BN di Sabah telah diheret untuk menyokong parti Warisan pimpinan Shafie Apdal yang jelas sekutu kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemenangan PH dalam PRU14 juga tidak boleh dinafikan peranan Sarawak Report yang banyak menyedarkan rakyat negara ini berhubung skandal 1MDB yang telah berjaya membina persepsi negatif terhadap UMNO/BN akibat penglibatan secara langsung PM Najib Razak dengan syarikat bermasalah ini sehingga Najib menjadi liabiliti kepada UMNO/BN. Tindakan susulan untuk menutup isu 1MDB ini juga telah menambah kebencian rakyat terhadap pemerintah yang dianggap bukan cuba menyelesaikan masalah tetapi mencari jalan mudah dengan menggunakan pelbagai agensi dan undang-undang yang ada bagi melindungi pemimpin terlibat.

Ibarat luka dituang cuka terhadap UMNO/BN adalah peningkatan rasa marah dan benci rakyat terhadap isteri Najib Razak yang didakwa terlalu berkuasa dalam kerajaan dipimpin suaminya serta minat berbelanja dalam skala luar biasa.

Kayu kering disimbah petrol pastinya lebih marak apinya apabila kes-kes seperti pembunuhan model Mongolia Altantuya Sharibu, Hussain Ahmad Najadi, Kevin Morais, PI Bala dan skandal pembelian kapal selam Scorpene serta isu GST dan penarikan subsidi bahanapi dipalu.

Semuanya menjadi pelengkap kepada proses sesebuah parti dan pemimpin untuk ditunjukkan pintu keluar dari pusat kekuasaan. Siapapun yang berusaha keras menghimpun faktor pembenci rakyat seperti disebutkan di atas, bersiap-sedialah untuk membungkus kotak-kotak untuk berpindah.

PRU14 membuka jalan ke arah mewujudkan politik baru di mana pemimpin dan parti politik perlu gentar kepada rakyat bukan seperti sebelum ini menakut-nakutkan rakyat jadi hobi pemimpin. Politik baru yang bersifat matang ini menyerlahkan bahawa pada masa depan, undi tidak semestinya ditentukan oleh parti mana yang diwakili tetapi faktor calon itu sendiri.

Contoh klasik adalah di Johor Bahru Shahrir Samad kecundang di tangan calon PKR walaupun beliau pernah menang atas tiket bebas di kerusi sama. Begitu juga dengan calon AMANAH di kerusi parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar yang menang berdepan calon parti lamanya PAS dan BN yang menjadi kubu kuat 'parti lebai' tetapi beliau tetap berjaya menewaskan calon BN dan PAS. Usaha sabotaj dan propaganda jahat PAS dan BN terhadap Mahfuz tidak mampu menggerhanakan kehebatan beliau atas faktor calon sendiri.

Sama-samalah kita bersyukur ke hadrat Allah swt yang memberi hikmah dan iktibar kepada semua pihak samada yang menang atau kalah agar bermuhasabah dengan keputusan besar rakyat negara ini dalam PRU14. Seperti kata Brutus yang saya muatnaik di dinding FB saya siang tadi, “Kalau ada seorang kawan Caesar bertanya mengapa Brutus bangkit menentang Caesar, inilah jawapannya: bukan aku tidak cukup menyayangi Caesar, tetapi aku lebih menyayangi Rom.”

Begitu juga dengan UMN/BN dalam PRU14, bukan rakyat tak cukup sayang pada UMNO dan BN, tapi rakyat lebih menyayangi Malaysia.

Comments

Popular Posts