BILA MEMILIH BUKAN LAGI PILIHAN


Apabila seseorang diberi pilihan untuk memilih juadah makanan yang disaji, beliau tidak perlu dipaksa-paksa, dipujuk dan dipesongkan pilihannya semata-mata untuk mengikut kemahuan kita. Rasionalnya, jika seseorang itu mengikut kemahuan kita bertentangan dengan kemahuan beliau sendiri, itu bukan lagi pilihan. 

Ketika ini, demam 'Malaysia Memilih' begitu hangat diperkatakan dan kesemua pihak yang bertanding sibuk berkempen. Menyentuh tentang kempen, pengundi seharusnya diberitahu hal-hal sebenar, janji-janji yang tidak akan dikhianati, tidak berlaku manipulasi samada dari sudut proses menjalankan pilihanraya mahupun terhadap pengundi itu sendiri.

Namun demikian, dalam proses pilihanraya yang sedang berjalan, ia seakan-akan bukan pemilih yang membuat pilihan tetapi mereka terpaksa memilih kononnnya jika memilih pihak ini akan berlaku sesuatu yang yang membahayakan keselamatan negara dan merugikan bangsa sendiri. Atau memilih disebabkan keliru dengan apa yang disampaikan kepada mereka dan boleh jadi bukan pemilih memilih kerajaan tetapi kerajaan memilih pemilih. 

Dalam konteks ini, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang berlaku di Malaysia seperti disebut oleh Ooi Kok Hin dan Clarence Kuna dalam artikel dimuatkan dalam blog New Naratif pada 21 Mac 2018 berjudul "Bagaimana pilihan raya di Malaysia disalah atur". 

Menurut kedua-dua penulis ini, persempadanan semula tersebut melanggar perlembagaan dan akan membentuk Parlimen yang tidak menggambarkan pemilihan yang dibuat rakyat Malaysia, tidak kira siapa pemenangnya, kerana ia mengandungi dua kelemahan yang amat ketara. Pertamanya ia membentuk persempadanan tidak sekata (malapportionment), iaitu manipulasi bilangan pengundi di mana undi seorang pengundi di satu kawasan lebih bernilai (sehingga 3-4 kali ganda) dari undi seorang pengundi di kawasan yang lain, atau mengakibatkan penentuan sempadan pilihan raya (gerrymandering), iaitu manipulasi kawasan pilihan raya untuk manfaat politik satu ataupun kedua-dua parti. 

Tambah mereka lagi, Jadual Tiga Belas Perlembagaan Malaysia melarang sama sekali persempadanan tidak sekata dan manipulasi sempadan kawasan pilihan raya, menjadikan proses persempadanan semula yang berlaku sekarang melanggar Perlembagaan. Di samping itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melanggar undang-undang dengan, secara tidak sah, merangka semula sempadan kawasan pilihan raya sebelum mulanya proses persempadanan semula dan pembahagian daerah mengundi.

Selain daripada itu, hak memilih sudah boleh dianggap hilang hak tersebut apabila adanya unsur-unsur paksaan, pujukan, sogokan secara terang-terangan serta manipulasi media sehingga pemilih terkeliru dalam membuat pilihan. Agensi-agensi terlibat samada dalam soal rasuah, pilihanraya dan juga keselamatan kelihatan sudah lesu dan longlai dalam memperlihatkan tindakan mereka secara tidak memihak dan tegas kepada rakyat.

Masih adakah pilihan untuk memilih? Menurut Soe Hok Gie (Aktivis Indonesia Tionghoa 1942-1969) dalam karyanya Catatan Seorang Demonstran, "Hanya ada dua pilihan: menjadi apatis atau mengikuti arus. Tapi, aku memilih untuk jadi manusia merdeka. "

 

Comments

Popular Posts