KUNCI KUBUR
Pada awalnya saya tidak begitu ambil kisah soal kunci kubur. Tetapi saya memilih membuat pusingan 'U' setelah melihat banyak twit dan status di FB menyentuh soal kunci kubur dan dikaitkan dengan kunci syurga.
Bila disemak-balas, rupanya Tun Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri selama 22 tahun dihalang dari menziarahi kubur arwah Nik Aziz Nik Mat mantan MB Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS. Kubur arwah Nik Aziz telah dikunci oleh anak ketiganya bagi menghalang Tun Mahathir dapat menziarahinya.
Sekali lagi saya semak-balas siapa nama anaknya yang mengunci pintu kubur. Rupa-rupanya Nik Adli Nik Aziz dan ingatan saya masih segar dengan apa dilaluinya. Nama Nik Adli mengheret saya untuk mengimbau kisah mengenai kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) sekitar awal tahun 2000 sehingga ramai di kalangan ahlinya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Salah seorang yang ditangkap di bawah ISA terlibat dengan kegiatan KMM adalah Nik Adli selama 5 tahun. Beliau ditahan pada 4 Ogos 2001 dan dibebaskan secara bersyarat pada 18 Oktober 2006 dengan dilarang berucap di pentas politik selama 11 bulan.
Apa kesimpulan yang dapat tuan/puan buat apabila mengetahui Nik Adli pernah ditahan selama 5 tahun di bawah ISA? Kita juga dapat merasakan kepedihan dan sengsara meninggalkan anak kecil serta isterinya warga Filipina oleh Nik Adli. Kita semua tahu dan gegak gempita sejak begitu lama mengenai apa didakwa sebagai kezaliman akta yang disebut Draconian Law ini. Tetapi kenapa sejak kebelakangan ini ada pihak malah di dalam UMNO dan agensi keselamatan sendiri mahu ISA dihidupkan semula?
Malah lebih bahaya apabila negara sudah mempunyai akta baru yang setanding dengan ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Security Offences (Special Measures) Act - SOSMA dan beberapa lagi undang-undang yang turut dikecam banyak pihak.
ISA merupakan undang-undang pencegahan yang saya fikir diperlukan agensi keselamatan untuk membendung kegiatan militan dan keganasan sebelum mereka melaksanakan misi membahayakan negara. Nik Adli ditahan kerana penglibatannya dengan KMM bukan soal politik dan langsung tidak ada kaitan dengan arahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir tidak pernah memaksa sesiapa untuk terlibat dengan keganasan dan militan dan cadangan diletakkan di bawah tahanan ISA bukan dari beliau. Ianya dari pihak keselamatan dan sebagai Menteri Dalam Negeri, sesiapa juga akan menandatangani permohonan daripada pihak keselamatan dengan justifikasi kukuh di mana sebelumnya akan melalui proses yang akan dipertimbangkan oleh sebuah lembaga yang diberi amanah untuk tujuan tersebut.
Bagi yang tidak tahu proses tersebut, pastinya mereka mengecam menteri yang menandatangani arahan tersebut sedangkan ia datang dari pihak keselamatan. Ini termasuklah peristiwa Memali yang berlaku pada penghujung tahun 1985.
Mungkin ada yang berkata 'berat mata memandang berat lagi bahu memikul'. Saya setuju tetapi pada masa yang sama saya juga tidak bersetuju untuk membolehkan sesiapa pun mengatasi undang-undang negara untuk sesuka hati melakukan kesalahan mengancam keselamatan negara.
Jika dahulu mereka yang mengecam KMM dan dikaitkan dengan PAS tetapi kini setelah bermukah, mereka sama-sama mengecam undang-undang dengan menafikan apa yang dinyatakan dalam kertas putih Memali semata-mata untuk menjadi benteng mempertahankan tindakan mereka menyerang musuh politik utama mereka Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Boleh saja sesiapapun berpolitik, tetapi jangan sampai kita memperjudikan soal keselamatan negara sehingga aspek yang begitu penting disisihkan demi menjaga periuk nasi masing-masing dan 'taukeh besar' politik yang disembah. Jika semua orang mahu menjaga periuk nasi, biar saja kami menjaga periuk gulai dan periuk lauk-pauk kerana mungkin nasi lebih mengenyangkan. Tapi ingat! Lauk dan gulai jika digaul lebih sedap dan pastinya akan mengenyangkan juga.
Politik dendam bukan penyelesaian apatah lagi bagi mereka yang berselimut jubah dan serban agama. Islam tidak mengajar kita melakukan semua itu jika bukan kerana Allah dan Islam itu sendiri. Jangan mencemar kesucian Islam dengan tindak-tanduk kita yang berlagak sebagai duta agama kerana kesannya bukan kepada kamu tetapi kepada Islam agama yang dianuti oleh umat Islam seluruh dunia.
Comments
Post a Comment