PERISTIWA 13 MEI


Setiap kali menjejak kaki ke bulan Mei, pastinya saya terpanggil untuk mengimbau kembali peristiwa hitam yang mencatat sejarah hitam negara. Dengan bahang pilihanraya yang semakin hampir, hati saya semakin berdebar kerana ciri-ciri persamaan yang berlaku pada Mei 1969 itu seakan-akan melintas dekat di mata saya.  

Pemilihan tarikh pilihanraya juga seakan-akan cuba berkias bahawa jangan ada yang cuba bermain api. Pilihan Raya Umum Malaysia 1969 merupakan pilihanraya umum yang ke-3 sejak kemerdekaan negara diadakan di Semenanjung Malaysia iaitu pada 10 Mei 1969 (sehari lewat dari PRU3). 

Hari penamaan calon bagi pilihan raya parlimen dan negeri kecuali di Kelantan diadakan pada Sabtu, 5 April 1969 yang bermaksud tempoh berkempen lebih panjang dari pilihanraya kali ini kerana dalam PRU14, proses penamaan calon diadakan pada 28 April 2018. Lebih kurang 11 hari sahaja tempoh berkempen.

Dalam PRU 1969 ini, Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC telah mengalami kekalahan teruk. Jumlah kerusi dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah merosot daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969 walaupun berlaku pertambahan kerusi dalam pilihanraya tersebut. 

Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Punca tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969 dikatakan berlaku ekoran perarakan kemenangan parti pembangkang. Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor (kerusi di mana usaha Tian Chua menawarkan diri untuk bertanding ditolak atas alasan mempunyai kes mahkamah) dan beliau meminta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor. 

Pelbagai cerita dicanang mengenai punca peristiwa tersebut dan apa yang dapat disimpulkan adalah, orang mengantuk jangan disorongkan bantal. Walau apapun keputusan yang bakal diraih dalam PRU14 ini, Pakatan Harapan (PH) perlu bijak menenangkan ahli dan penyokong serta seluruh rakyat negara ini untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh membuka ruang kepada pihak berkuasa mengistiharkan darurat di mana-mana tempat dalam negara ini. 

Sebarang tindakan oleh mana-mana individu atau kelompok yang menjurus ke arah itu bermakna ianya sudah dirancang untuk tujuan tersebut yang membolehkan tindakan merugikan PH dan seluruh rakyat. Jika terkesan, segera 'neutralise' dan tangkap pencetus dan dalangnya. 

Negara ini bukan medan perjudian mana-mana pihak dan tidak ada sesiapa pun berhak memporak-perandakan keadaan hanya untuk memberi peluang untuk menafikan keputusan yang telah dipilih oleh rakyat. 

Pemimpin dan parti politik boleh datang dan pergi tetapi kepentingan rakyat, agama, bangsa dan negara tidak boleh dikompromi. Tidak ada mana-mana orang mengatasi undang-undang negara khususnya perlembagaan. Hak rakyat dijamin di  sisi perlembagaan perlu dipertahankan dan di sinilah pentingnya pasukan keselamatan menggalas amanah dari rakyat untuk mempertahankan keamanan serta keselamatan mereka seperti yang dilafazkan dalam sumpah taat setia kepada negara. 

Negara ini adalah tanah air lahirnya kita dan di sini jugalah harapnya kita akan bersemadi. Elakkan peristiwa seumpama ini daripada berulang hatta dengan apa cara sekalipun kerana pepatah ada menyebut, "Hanya keledai yang jatuh ke lubang yang sama dua kali.”

Comments

Popular Posts