BUNG KARNO MENGAJAR
Agaknya siapa yang belum belum pernah tahu atau membaca kisah Soekarno yang lebih terkenal dengan nama Bung Karno?
Sejarah perjuangan politik Bung Karno menunjukkan dengan jelas bahawa sejak berusia dua puluhan, beliau sudah menampilkan diri sebagai seorang nasionalis Islam kiri dan seorang pejuang anti-penjajahan yang revolusioner dengan menggunakan analisa marxis dalam melihat persoalan-persoalan masyarakat dan perjuangan bangsa. Tulisannya yang terkenal "Nasionalisme, Islam dan Marxisme" dalam majalah Suluh Indonesia Muda ditulis ketika ia berumur 26 tahun. Itu merupakan bukti kecemerlangan fikirannya dan dalam sejarah para perintis kemerdekaan Indonesia.
Bung karno sebagai seorang pemuda revolusioner sangat menghargai semangat pemberontakan Parti Komunis Indonesia (PKI) dalam tahun 1926 menentang pemerintahan kolonial Belanda. Setelah menjadi ketua negara pun,
dalam berbagai kesempatan dia sering menyebut betapa besar pengorbanan orang-orang yang dipenjarakan atau dibuang ke Tanah Merah (Boven Digul) akibat perjuangan mereka itu.
Walau sehebat Bung Karno pejuang yang berkorban untuk bangsa dan negaranya pun, akhirnya beliau disisih dan menjadi mangsa penolakan rakyat dibantu opportunis yang menunggu masa sesuai untuk menjatuhkannya. Beliau amat cemerlang dalam pidato membakar semangat rakyat dan sesiapa saja mendengarnya pasti akan terpukau.
Soekarno yang dianggap sebagai pemimpin terhebat pernah dilahirkan Indonesia kecundang kerana gagal berubah. Beliau dikorbankan kerana hanya hebat ketika menentang penjajah dan sistem yang dibawa oleh Belanda.
Malangnya dia gagal dalam proses 'rebuilding' tanahairnya mengikut keperluan semasa. Gagal membina dan membangunkan negara yang ketika itu memerlukan pembangunan modal insan dan fizikal sedangkan zaman penentangan terhadap penjajah sudah berlalu. Tetapi agak malang apabila beliau masih terbawa-bawa dengan ilusi pendekatan di zaman kehebatannya berjuang menentang kolonialisma.
Kehebatan yang satu ketika dulu amat sukses di zaman itu tidak bermakna selepas zaman berubah ianya masih berguna dan boleh memberi impak positif dari sudut politik, ekonomi dan sosial samada kepada tanahair atau dirinya.
Ia umpama seorang perenang hebat di lautan luas tetapi jika di daratan masih berenang, bukan saja tidak mampu berenang dan luka-luka, ia akan dianggap tindakan gila.
Begitu juga dengan senario semasa negara sekarang. Ketika kita masih menjadi pembangkang, tindak-tanduk kita mungkin dilihat begitu memukau dan sesuai dengan keadaan ketika itu. Kita mungkin merasa hebat kerana berjaya membongkar skandal-skandal mega dan berskala besar di pihak lawan politik.
Namun, sebaik berjaya menubuhkan kerajaan jika kita masih bertindak seperti pembangkang dalam kerajaan, semuanya mahu diheboh-hebohkan untuk meraih keuntungan politik, maka langkah dan tingkah yang kita anggap dilakukan demi kepentingan parti dan negara sebaliknya akan dilihat sebagai usaha menjahanamkan negara dan parti.
Kita boleh saja menafikan tindakan kita itu sebagai dilaporkan di luar konteks, tetapi bukti yang terhidang menunjukkan sebaliknya. Persoalannya kenapa ketika isu itu begitu hebat diperkatakan dan dikritik, tidak ada usaha membetulkan keadaan? Jika isu ini dianggap sebagai 'fake news', kenapa pula Wong Chen pemimpin yang juga Ahli Parlimen PKR itu turut membela Rafizi dalam isu ini dengan nada dan alasan yang sama? Soal 'fake news' hanya berbangkit setelah netizen mengganyang habis-habisan dan mensekolahkan Rafizi dan Wong Chen agar tidak celupar dan gelojoh dalam isu perlantikan menteri kabinet Pakatan Harapan.
Isunya bukan isu tidak boleh menegur, tidak boleh menasihat atau membetulkan sesuatu yang dilihat sebagai pincang atau tidak wajar. Isunya adalah tindakan yang dilakukan itu tidak mencerminkan rasa hormat kepada pemimpin tertinggi kerajaan yang dipilih rakyat dan dianggap terlalu besar pengorbanannya dalam usaha berdepan rejim kleptokrat yang amat dibenci majoriti rakyat. Tindakan Rafizi dan Wong Chen dianggap tidak kena pada masa dan tempatnya serta memberi ruang kepada musuh-musuh yang sedang mengintai setiap peluang yang ada untuk menggoncang kestabilan kerajaan yang begitu baru ditubuhkan.
Malahan, isu yang disentuh itu boleh merencatkan hubungan baik sesama parti komponen serta mendedahkan sikap perebutan kuasa dan jawatan yang sangat dibenci oleh rakyat. Rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk menggantikan Barisan Nasional kerana sudah muak dan bosan dengan perebutan kuasa sesama sendiri samada dalam BN khususnya UMNO. Jangan sampai tindakan begini dilihat rakyat sebagai langkah berebut harta rampasan perang tinggalan penyamun.
Tidak semua hal boleh diselesaikan di sidang media dan meja ketua pengarang akhbar dan dalam banyak kes menunjukkan sebaliknya. Tidak matang bukan dosa tetapi tidak mampu menggunakan 'common sense' itu memerlukan kita banyak belajar. 'Paper qualification' bukan jaminan untuk melahirkan manusia cerdik dalam semua hal kerana banyak yang dipelajari di menara gading itu tidak mengajar pelajar untuk mampu merungkai masalah-masalah begini.
Rafizi seharusnya mengambil iktibar dari apa yang dilalui Azmin Ali ketika beliau membantah pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri. Isu tersebut menjadikan Azmin sasaran kritikan dan 'ganyang' banyak pihak khususnya netizen sehingga ada gerakan untuk melenyapkan kumpulan Azmin dan Zuraida yang disebut 'kartel' di Selangor. Nasib Azmin baik apabila, isu tersebut berjaya dipendamkan dan penyokong Tun Dr Mahathir sanggup mengenepikan isu tersebut demi meraih kemenangan dalam PRU14 ini.
Jangan ditenun benang-benang kebencian kaum menjadi selembar kain kerana padahnya amat pedih. Jika menteri kewangan pertama negara, Kol Henry H.S Lee dan juga Tun Tan Siew Sin dua kali berpeluang menjadi menteri kewangan selepas itu tidak mencetuskan sebarang krisis kewangan dan mengeruhkan suasana, janganlah kini sengaja diungkit isu kaum untuk menjustifikasikan kenapa kita menolak perlantikan Lim Guang Eng di kerusi tersebut.
Kerajaan baru sahaja ditubuhkan dan dalam proses pengukuhan dengan usaha memberi keyakinan kepada rakyat menjadi fokus utama. Jangan pula ada tindakan yang boleh mencalarkan imej pemimpin utama dan kerajaan. Kertas yang direnyuk-renyuk walaupun tidak koyak, apabila dihampar kembali masih punya kesan 'hodoh' di situ. Kemaruk makanan pun dilihat buruk apatah lagi kemaruk kuasa dan jawatan.
Bekas perdana menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan UMNO gagal belajar dari Marcos dan Soeharto, oleh itu kita yang masih punya peluang seharusnya belajarlah dari Bung Karno. Jangan berenang di daratan walaupun kita pemegang pingat emas Olimpik tujuh kali berturut-turut. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, tapak kaki jawabnya.
Comments
Post a Comment