UNDI TETAP ADA WALAUPUN SATU - BERTABAHLAH
Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO disertai khadam-khadam pendokong pemimpin dan parti jangan risau untuk berdepan Pilihanraya akan datang (PRU14). Mereka tetap akan mendapat undi dalam pilihanraya ini kerana paling kurang undi dari diri sendiri dan khadam-khadam sekaliannya. Undi tetap dapat cuma tidak cukup untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Kedudukannya sama seperti arwah Datuk Harun Idris yang digulingkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor yang dipegangnya selama 12 tahun dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 25 Mac 1976 di mana 25 orang anggota menyokong, 4 berkecuali dan seorang menentang. Undi tunggal menentang itu ialah undi Datuk Harun sendiri.
Nampaknya nasib Najib, Zahid dan lain-lain pemimpin juga dilihat ada persamaan di mana mereka sendirilah mencalonkan diri untuk bertanding dan mereka jugalah yang akan mengundi diri sendiri dalam PRU14 nanti selain khadam-khadam peliharaan.
Najib, Zahid dan pemimpin UMNO janganlah meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan jumlah undi besar dalam PRU14 ini kerana hati rakyat umpama kertas yang diperonyok walau dibentang semula tetap berbekas.
Segala tindak-tanduk Najib dan kuncu-kuncunya dalam kabinet dapur yang berkeladak dan hanyir itu menekan dan menjerut kehidupan rakyat sehingga tercungap-cungap sudah tidak ada perkara lain yang akan terhasil selain api kemarahan dan kebencian terhadap rejim yang ada.
Apa lagi yang mampu ditawarkan Najib dan UMNO kepada pengundi Cina? Pengundi Cina tidak peduli samada UMNO anti kaum Cina atau sebaliknya. Mereka juga tidak peduli soal kehadiran Najib dalam sidang khas OIC di Turki berhubung tindakan Trump istihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Malah mereka tidak hairan soal ketuanan Melayu atau ketuanan Cina serta angka-angka yang dimanipulasikan terhadap kedudukan ekonomi.
Yang dipedulikan pengundi Cina adalah bagaimana mereka dapat terus kekal berniaga, dapat meraih keuntungan dan membayar segala kos perbelanjaan keluarga dan perniagaan mereka. Apakah Najib mampu lakukannya?
Oleh itu Najib dan UMNO tidak ada jalan lain selain memburu undi Melayu dan India. Jika mengikut daftar pemilih PRU14 bagi tahun 2016, jumlah keseluruhan pengundi berdaftar adalah 17,658,000 orang dengan pengundi bertaraf bumiputera 11,486,000, Cina 4,696,000, India 1,362,000 dan lain-lain 114,000.
Untuk mendapatkan undi pengundi Cina 5% pun adalah sesuatu yang terlalu sukar buat Najib dan BN. Undi Melayu & bumiputera yang perlu dikerah dari 11,486,000 itu pula perlu dikongsi antara UMNO, PKR, PPBM, PAS, Warisan di Sabah dan parti-parti lain di Sarawak.
Di dalam jumlah pengundi bumiputera itu jugalah terdapat pengundi Siam yang tidak sedikit terluka dengan janji-janji kosong dibuat selama ini terhadap mereka. Paling perit adalah laungan Hidup Melayu dan sebagainya yang mencerminkan rasisme melulu di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di mana mereka juga adalah sebahagian dari ahli UMNO walaupun bukan Melayu dan Islam dan jangan ingat ia menggembirakan mereka.
Pengundi India pula jangan dipermudahkan oleh Najib dan pasukan kuda kepangnya kerana jangan lupa peranan Hindraf yang kini memihak kepada Pakatan Harapan (PH). Atas kertas yang dicampakkan penganalisis upahan kepada beliau memang kelihatan indah dan mulus tetapi hakikatnya laporan dari JASA, BTN, KEMAS dan agensi tertentu itu tidak mampu menggugat rasa benci dan marah rakyat terhadap pemerintah ketika ini.
Disebabkan itulah Najib sering terjerit-jerit dalam ucapan-ucapannya kerana dibaham kebimbangan yang amat sangat dengan senario ini. Jeritan dan pekikan itu adalah cerminan rasa marah dan kegelabahan yang terkurung dalam dirinya.
Untuk mententeram dan menanam keyakinan dalam dirinya bahawa beliau masih dapat bertahan di kerusi Perdana Menteri itu, lagak tarzan lah satu-satunya yang dapat dilakukan.
Undi anak muda sudah jelas memihak kepada PH dan dari laporan SPR menunjukkan kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda. Inilah puncanya Najib dan isteri mithalinya seringkali seakan-akan meroyan apabila senario sebegitu acapkali melintas benak mereka.
Buat Perdana Menteri dan barisan pemimpin serta ketumbukan upahan, serangkap pantun sebagai pengganti diri buat mereka;
Apa diharap padi seberang,
Entahkan tumbuh entahkan tidak;
Apa diharap kasih orang,
Entahkan sungguh entahkan tidak.
Assalamualaikum....
Comments
Post a Comment