HITLER - UNTUK TUJUAN POLITIK, PARLIMEN JERMAN TELAH DIBAKAR


Pada 17 Februari 1933, heboh seluruh Berlin parlimen Jerman atau Reichstag sedang dijilat api. Api dengan maraknya memusnahkan seluruh bangunan parlimen tersebut.

Hanya selang beberapa minit kemudian, kuat kedengaran bunyi siren polis mengiringi Hitler tiba di tempat kejadian. Berita kebakaran itu kononnya dimaklumkan kepada Hitler ketika beliau sedang makan malam di rumah Dr. Joseph Goebbels pakar propaganda Nazi dan Hitler yang lebih dikenali sebagai Nazi Fuehrer. 

Sebaik sampai dengan wajah bengis dan marah-marah, Hitler berkata "Kebakaran ini adalah angkara komunis dan parti Nazi akan menghancurkan penderhaka ini". 

Sepantas kilat polis Jerman berjaya menangkap suspek warga Jerman keturunan Belanda berumur 24 tahun bernama Marinus Van De Lubbe. Suspek ini diketahui umum 'separuh bodoh' tetapi merupakan anggota parti komunis Jerman. Dia dituduh membakar parlimen Jerman dengan meletakkan kain buruk, tuala mandi dan kain langsir tingkap disiram minyak tanah dan membakar di 23 lokasi keliling bangunan tersebut.

Yang agak mencurigakan, suspek ini juga tidak berusaha melepaskan diri dan tidak menafikan tuduhan tersebut. Keesokan harinya, Ernst Torgler ketua parti komunis dalam parlimen Jerman, Georgi Dimitrov, Vassili Tanev dan Simon Popav anggota komunis Bulgarian ditangkap kerana dikaitkan dengan tindakan membakar parlimen Jerman ini.

Hitler dan kuncu-kuncunya terus menuduh komunis yang melakukan pembakaran ini. Hitler berkata "saya akan hancurkan komunis. Saya akan hukum gantung orang disyaki dengan serta-merta tanpa bicara di dalam parlimen". 

Seluruh dunia merasa pelik dengan kejadian ini dan mendesak tertuduh diberi perbicaraan yang adil. Akibat desakan seluruh dunia akhirnya terpaksa dibicarakan. De Lubbe yang dibawa masuk ke dalam kandang pesalah kelihatan cukup lemah dan hanya menundukkan kepalanya. Beliau seolah-olah tidak peduli apa yang dibicarakan sehingga dia sendiri tidak mampu mengesat hingusnya dan peguambelanya yang melakukan untuknya. 

Keempat-empat suspek yang lain dari De Lubbe berjaya membuktikan mereka tidak terlibat dan cuba dianiaya dan akhirnya mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah.

Hitler tidak ada pilihan terpaksa membebaskan semua mereka kecuali De Lubbe yang hingga saat akhir mengaku dia yang membakar bangunan parlimen tersebut walaupun disoal berkali-kali oleh peguambelanya. De Lubbe dijatuhkan hukuman bunuh dengan cara memotong lehernya dengan kapak di dalam penjara. 

Sehingga saat akhir lehernya akan dipancung, De Lubbe masih menganggap ianya sandiwara Nazi dan akan dibebaskan disebabkan adanya perjanjian beliau dengan pihak Nazi sebelum bertindak membakar parlimen Jerman. 

Bagaimanapun setelah sedar dia akan mati sebentar lagi, beliau menangis dan menjerit-jerit ketika diseret untuk dipancung. Jeritan demi jeritan seolah-oleh ingin memberitahu bukan beliau seorang yang membakar tetapi akhirnya sunyi sebaik kapak pemotong leher memisahkan kepala dengan badannya. 

Tidak lama kemudian, siasatan membuktikan komplot membakar parlimen Jerman tersebut adalah angkara parti Nazi Jerman tetapi menuding jari pada parti komunis Jerman. Kebakaran tersebut berlaku sebaik Hitler berkuasa hanya sebulan sebagai 'CHANCELLOR' Jerman dan beliau mahu satu propaganda unik bagi mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya yang akan diadakan seminggu lagi.

Dalam pilihanraya pada 5 Mac 1933 tersebut,  Parti Nazi berjaya menambah lagi kerusi parlimen dari 196 melonjak kepada 288 kerusi. Jumlah undi yang dimiliki sebanyak 11, 737, 000 orang sebelumnya meningkat kepada 17, 277, 200. 

Dengan itu, Hitler dan Nazi berjaya mendapat undi sebanyak 42% dan sebaik dicampur dengan undi dari Nationalist Party, bererti cukup buat Hitler memperolehi undi sebanyak 52% dari jumlah semua undi dan beliau mendapat kuasa yang dikehendakinya.

Begitulah hebatnya kuasa propaganda dalam memenuhi tuntutan atau kerakusan politik tanpa memperdulikan soal moral, kezaliman, penganiayaan dan segala usaha jahat. Yang penting adalah kuasa dan kemenangan dengan menggunakan motto the end justifies the means seperti sering dikaitkan dengan Machiavelli.

Jika kita pernah membaca kisah Oswald yang dituduh membunuh presiden John F. Kennedy juga kisahnya hampir serupa dengan De Lubbe walaupun tidak dikaitkan dengan usaha menang pilihanraya.

Oleh yang demikian, rakyat seluruhnya perlu tenang dan mengawal emosi supaya dalam membuat keputusan mengundi dalam pilihanraya akan datang tidak mudah dipengaruhi walau apa juga jenis propaganda yang dicetuskan walau oleh pihak mana sekalipun kerana apabila musuh sedang lemas dan tercungap-cungap, apapun sanggup dilakukan mereka. 

Alexander Dumas pengarang Perancis (1802 - 1870) yang terkenal dengan cerita The Three Musketeers (1844) pernah berkata, "Iblis akan meletakkan kepaknya di atas cerita-cerita tertentu dan menerbangkannya seperti helang ke sana ke mari". Sementara Plautus menyebut. "setahu saya tidak ada yang lebih pantas dalam hidup ini selain dari khabar angin". 

Berwaspadalah kita dengan propaganda menjelang PRU14 nanti dan mudah-mudahan kita tenang dan tabah dengan segala ujian demi bangsa, agama dan tanahair.


Comments

Popular Posts