Kemaafan Dendam Yang Terindah

Dia mengaku sebagai perencana atau strategist yang menumbangkan kerajaan PR di Perak sebelum ini. Bukan calang-calang orang sebegini dan sudah semestinya politik beliau cukup matang bak kata pepatah sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. 

Sebenarnya saya tahu bagaimana PR ditumbangkan tapi biarlah ia dimakamkan bersama sejarah. Kita anggap betullah pengakuan dia itu dan beliau politikus matang lagi pintar.

Orang matang dan pintar pastinya tahu bila mahu keluar dan masuk parti politik dan bila seharusnya tidak langsung sertai mana-mana parti. Tapi hak beliau dan adiknya untuk masuk dan keluar itu tidak ada siapa berhak pertikaikannya kerana itulah demokrasi di mana sesiapa pun berhak memilih wadah perjuangan masing-masing.

Tapi jika dah siang malam meroyan, meronta-ronta, menghina Tun Mahathir tanpa henti, maknanya beliau sudah membuka gelanggang rakyat untuk digumul, diuli, dibentak dan dihentak. Jika kematangan politik menjadi amalannya, dia tahu bahawa sentimen ketika ini jangan kan Tun Mahathir, Tun Faisal pun jika menghentam Najib dan UMNO akan dianggap hero rakyat.

Rakyat sudah terlalu benci dan menyampah (bukan sampah nanti marah pulak) terhadap Najib, UMNO dan semua pemimpin yang bersekongkol dengan beliau. Dengan harapan rakyat ketika ini cukup tinggi diletakkan di bahu Tun Mahathir dan seluruh barisan pemimpin dalam PH. kamu dan adik asyik terpekik terlolong mengungkit itu ini, mencebik dan menghina Tun Mahathir dan PPBM samalah ertinya membeli tiket untuk dibelasah. Jadi jangan salahkan orang lain kononnya menghina kamu dan sekutu disebabkan sentimen amat penting untuk mendapatkan sokongan atau herdikan.

Orang lain seperti Dato' Khairuddin dan Ezam juga keluar parti tetapi mereka memilih untuk tidak berkonfrantasi dengan PPBM dan Tun Mahathir. Mereka masih menghormati Tun Mahathir dan tidak menghentam beliau dan PPBM. Bahkan Dato' Mahfuz Omar hari ini mengumumkan beliau keluar parti yang dianggotainya selama 34 tahun. Tetapi Dato' Mahfuz, Dato' Khairuddin dan Ezam memilih jalan yang dinanti-nanti majoriti rakyat iaitu menghentam Najib dan UMNO sejak dalam PPBM atau PAS sehinggalah mereka keluar parti. Mereka konsisten melanyak Najib dan UMNO sedangkan 'kamu' dulunya hebat membalun Najib dan UMNO tetapi sebaik keluar diam membisu malah dari status-status di FB mempertahankan Najib dan UMNO yang menambahkan prasangka sedang bermukah dengan UMNO. Keadaan sama dihadapi oleh PAS yang teruk dihenyak samada oleh ahli parti dalam PH dan yang tidak berparti kerana dulunya menyerang Najib dan UMNO tetapi kini menyerang rakan sepasukan dan pada masa sama mempertahankan Najib dan UMNO.

Oleh itu Dato' Mahfuz, Dato' Khairuddin dan Ezam dapat menikmati masa lapang dan ketenangan tanpa dicemuh dan dihina. Bukan PH, PPBM dan Tun Mahathir itu maksum tetapi kesengsaraan rakyat ketika ini angkara pemimpin dan parti yang tidak menghiraukan keluh-kesah mereka menjadi benteng mempertahankan Tun Mahathir, PH dan semua parti bersama PH. 

Kadangkala kita hairan kenapa ada lelaki kacak meninggalkan teman wanita yang cantik dan memilih wanita yang tidak cantik atau wanita cantik meninggalkan teman lelaki yang kacak dan memilih lelaki yang tidak kacak. Ia semata-mata membalas kemarahan kepada pasangan yang sebelum ini berselingkuh dan menikam dari belakang. Begitu juga rakyat memilih PH ada sebahagiannya berfikir alang-alang kami berkorban sekian lama kepada UMNO dan BN tetapi kami dikhianati. Lebih baik pilih PH yang walaupun belum tahu kaya atau kebaikannya tetapi sekurang-kurangnya dapat mengajar Najib, UMNO dan BN menjadi gila talak dan meroyan.

Yang mempertahankan Tun Mahathir, PH dan lain-lain parti dalam PH bukan 'makan upah' tetapi sukarela mempertahankan pemimpin-pemimpin PH kerana hanya itu saja harapan mereka untuk dapat mengubah pemerintahan negara sekarang yang kucar-kacir menyebabkan kehidupan rakyat cukup tertekan berbanding sebelum ini.

Sayangilah diri sendiri kerana semua agent provocateur dan tukang hasut dan batu ronson semuanya hanya memperalatkan kamu untuk memecah-belahkan PH. Ketika kamu dimaki-hamun dan dicemuh di mana mereka? yang masuk di wall kamu turut menghentam Tun Mahathir, PPBM dan PH hanyalah makhluk-makhluk bertopeng dengan menggunakan 'fake account' berserta wajah-wajah dicuri entah dari mana itu adalah orang-orang yang sama dengan ID berbeza serta khadam-khadam agensi tertentu serta organisasi yang mengupah hamba sahaya yang menjadi penyambung rezeki menyuap anak isteri makan.

Hentikanlah tindakan sia-sia yang hanya merosakkan diri sendiri. Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu. Kata Saidina Ali bin Abi Thalib, "Balas dendam terbaik adalah hanya dengan memperbaiki diri sendiri."

"Jika jahat di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan di balas kebaikan maka itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan di balas kejahatan maka itu adalah zhalim. Tapi jika kejahatan di balas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji." -Francois de la Rochefoucauld..

Jom dengar lagu Aishah, Kemaafan Dendam Yang Terindah..

Comments

Popular Posts