Perhimpunan Agung UMNO (PAU)


Apa yang dapat kita kutip setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diadakan?

1. Puji-pujian luarbiasa perwakilan atau pemimpin yang diberikan peluang terhadap pucuk pimpinan parti.


2. Wanita, Pemuda dan Puteri meminta ditambah kuota calon untuk pilihanraya dan kuota jawatan dalam GLC serta kerajaan.

3. Pantun, syair, gurindam dan segala macam hikayat yang menunjukkan pemimpin di atas itu hebat bukan kepalang.

4. Mencerca pemimpin dan parti pembangkang khususnya DAP dan sekarang Tun Mahathir.

Lainnya apa? Pernah beriya2 calon ketua pemuda bahagian yang kemudiannya menang dan dilantik ketua pemuda negeri untuk berjumpa saya dapatkan point2 untuk berucap dalam PAU. Bersusah payah datang untuk jumpa saya di dalam gubuk buku (mini library) yang setiap malam saya menghuninya untuk membaca dan menulis. Atas dasar ucapan membela rakyat, semua point2 penting membela rakyat dari sudut ekonomi, sosial dan politik diberikan. Akhirnya satu pun tak disebut. Kerana apa? Ianya bakal mengundang rasa tidak senang Najib dan barisan pemimpin di atas pentas.

Pernah datang calon pemuda kononnya nak menentang KJ dan minta saya buat ucapan untuk beliau berucap di PWTC dalam PAU. Saya amat yakin beliau tidak akan mampu menentang KJ yang penuh muslihat dan gua harta karun tapi saya kata insyallah sebab saya sedang sibuk siap nak ke Jakarta dalam program peribadi memburu buku2 idaman saya selama 5 hari. Akhirnya saya tak sempat buat ucapannya dan entah apa dia cakap dan dimaklumkan tewas teruk dalam persaingan tersebut. Yang lebih menyedihkan apabila beliau membuat pusingan U, orang ini menyerang saya di FB dan teringat pesan Imam Syafi'i “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, karena orang yang jahil itu tidak pernah faham ..." maka saya keluarkan dia dari kalangan sahabat2 FB.

Dapatkah kita kutip ucapan2 yang menyentuh mengenai beban perlu dipikul rakyat ketika ini dan cara penyelesaiannya? Ada atau tidak disanggah ucapan pemimpin2 yang memperbodohkan rakyat selama ini? Ada atau tidak ucapan menegur wakil rakyat atau pemimpin yang hanya menjadi liabliti kepada parti dan negara? Banyak lagi perkara yang boleh diucapkan untuk mencari solusi di atas kesengsaraan rakyat tetapi dibisukan demi kepentingan diri sendiri dan juga pemimpin di atas. 

PAU sudah saling tak tumpah umpama sarkas dipenuhi badut dan segala macam pertunjukan menghiburkan hadirin bukan untuk memperjuangkan nasib bangsa, agama dan tanahair.

Kesimpulan yang dapat disebut di sini, saya tertarik dengan apa ditulis oleh sahabat fb yang saya hormati ilmu dimilikinya Nik Lee dalam statusnya pagi tadi, maka saya ulang kembali apa disebutnya itu. ‘Hypocrisy at its worst’ sempena Perhimpunan Agung Umno 2017

"Jika anda ingin melihat hipokrasi pada peringkat paling murni, diletakkan di mercu paling tinggi, anda perhatikan baik baik ucapan dan kelakuan ahli ahli Umno pada perhimpunan agung mereka. Anda tidak akan dapat mendengar keindahan kata kata, kelucuan ungkapan, dan ketangkasan bermain dengan bahasa Melayu pada peringkat yang paling sempurna selain daripada ucapan tokoh tokoh Umno dalam perhimpunan agung mereka. Itulah sumbangan besar ahli ahli UMNO kepada bangsa, negara dan agama. Itulah puncak kegemilangan permainan politik bangsa Melayu selepas merdeka. Anda tidak percaya? Maknanya anda tidak tahu apa apa. Anda mungkin telah tertipu dan telah dipermainkan ~ Prof S A Mansur, 'Catatan Hitam 1987'."


Comments

Popular Posts