FIRAUN


Ketika zaman Firaun, Nabi Musa dan rakyat ketika itu dikira amat 'bernasib baik di dalam malang', kerana walaupun Firaun itu teramat jahat, tetapi isterinya Firaun Asiah binti Mahazim adalah wanita solehah, baik pekertinya dan bukan kaki shopping. Jika tidak, sudahlah hidup ditekan dan susah, GST lagi menambah cengkaman untuk mencukupkan keserakahan isterinya. Jika isterinya jahat suka menghasut dan campurtangan hal-ehwal pemerintahan negara, lagi tersiksa rakyat Mesir.
Unta-unta dan keldai akan patah pinggang mengusung barang-barang dibeli oleh isteri Firaun jika perangai isterinya gila membeli-belah. Tukang emas dan berlian tentunya tak tidur lelap nak siapkan cincin dan perhiasan isteri Firaun yang ditempah tak kira masa. Tapi semuanya tak berlaku kerana Asiah bukan begitu.

Malah jauh lebih bernasib baik kerana Firaun hanya bergantung sepenuhnya kepada tukang-tukang sihir di Mesir tanpa penglibatan isterinya sebagai tukang sihir. Kalaulah isteri Firaun juga ahli sihir dan cenderung pada ilmu sihir, pasti lebih parah dan menghancurkan.

Bayangkan jika Firaun di bawah pengaruh sihir isterinya, dengan nasi kangkangnya, maka berlipat ganda kerosakan di Mesir ketika itu. Kisah Firaun dan Nabi Musa sarat dengan pengajaran buat kita sesuai dengan suasana ketika itu untuk dipikul rakyat Mesir.

Zaman berubah dan sisa-sisa peninggalan zaman tersebut terlalu banyak dapat dijadikan iktibar. Tetapi ada pemimpin yang berlagak lebih dari Firaun mungkin kerana Asiah hanya ada ketika zaman tersebut sedangkan Firaun silih berganti.

Comments

Popular Posts