WANG KERTAS WANG SYILING


Dalam sesebuah organisasi samada parti-parti politik, NGO, syarikat perniagaan ataupun penyedia perkhidmatan perlu melihat pengurusan sumber manusia sebagai kunci utama samada merencatkan organisasi ataupun terus menjahanamkannya.

Mengambil analogi wang kertas dan wang syiling agak sesuai bagi melihat bagaimana impaknya terhadap organisasi. Jika kita punya wang kertas RM100 dan RM50 100 keping atau 1000 keping tentunya lebih bernilai kepada pemiliknya berbanding yang punya 1000 keping syiling 1 sen. Soal berat poket atau beg digalas satu hal malah nak digunakan membuat pembayaran pun akan menjadi masalah akibat nilai dan jumlahnya.

Begitu jugalah dengan jumlah ahli dan pekerja dalam organisasi. Jika ramai pun tetapi tidak bernilai lebih baik sedikit yang punya kemahiran, integriti, jujur dan amanah serta kukuh tekad perjuangannya. UMNO mungkin gah sana-sini mendakwa mempunya keahlian lebih 3 juta orang tetapi berapa ramai yang mampu untuk membantu pemimpinnya berdepan kritikan serta menguruskan masalah yang didepani parti tersebut? 

PAS umpamanya jika berdegar-degar mendakwa setiap program dijalankannya mendapat sambutan hebat tetapi jika hanya kanak-kanak dan yang tak dapat mengundi hadir apalah gunanya? Ataupun yang hadir itu adalah di luar kawasan parlimen atau DUN lokasi diadakan program tersebut hanyalah menjadi bahan propaganda menunjukkan kekuatan tetapi hakikatnya tak lebih dari buih-buih di tengah lautan kalah dari buih-buih dalam gelas arak.

Parti Buruh di di United Kingdom berhaluan tengah kiri yang menang pada pilihanraya negara itu sehingga Tony Blair dan Gordon Brown menjadi Perdana Menteri (2005 - 2010) ahlinya tidak ramai malah pejabat parti hanya sebuah pejabat kecil tingkat atas di tengah Kota London. Kenapa menang? Kerana mendapat dokongan rakyat dan tidak hanya bergantung kepada ahli dan penyokong sahaja. Kerja kuat dan bukti kemampuan memerintah dibuktikan bukan hanya di atas kertas tetapi di atas lapangan kerja di mana saja rakyat perlukan.

Oleh yang demikian, jangan mudah diperdayakan dengan angka sepertimana angka-angka kononnya ekonomi negara meningkat sedangkan hakikat sebenar, ekonomi negara laju menuju gaung yang amat dalam untuk ditalkinkan. Wang syiling penting untuk menggenapkan jumlah diperlukan, tetapi lebih penting banyakkan wang kertas yang bernilai RM100 dan RM50 supaya mudah dibawa ke sana sini dan mampu digunakan untuk membantu rakyat yang begitu ramai memerlukannya. Jadikan iktibar apa yang berlaku dalam PPBM yang begitu ghairah merekrut ahli parti sehingga lupa kepada aspek keselamatan sehingga membolehkan musang, jebon, serigala, ular, siput babi, kera dan ungka menjadi ahli dan akhirnya berpesta pisang dan habis sekandang ayam dan kambing dibahamnya. Jenuh pemimpin dan ahli serta pendokong yang benar-benar jujur untuk membersihkan ‘taik’ ditinggalkan mereka.

Wallahualam..

Comments

Popular Posts