SEJARAH DITULIS OLEH PEMENANG
“Sejarah ditulis oleh pemenang”, demikian ungkapan Winston Churchill mantan perdana menteri Britain paling terkenal di dunia. Maka orang yang menang akan menulis semua yang baik-baik, hebat-hebat malah mungkin ditokok-tambah menjadikan mereka dilihat dan dikenang sebagai orang hebat. Segala kelemahan dan kepincangan ditutup ketat sehingga jangankan dapat dilihat, baunya saja tidak ada upaya untuk menyelinap.
Tidak ada cacat-cela walau sekelumit walaupun setelah menang puluhan tahun dengan rakyat didustai tanpa henti, harta dan wang milik negara dan rakyat dipunggah semau-maunya tetapi yang tercatat dalam sejarah tidak lain dari KEJAYAAN, KEGEMILANGAN, KEHEBATAN, KEMULIAAN dan segala yang bernafas penuh aroma.
Tidak mungkin manusia atau sebuah kerajaan hatta di zaman para khalifah sahabat Nabi pun akan sempurna tanpa cacat-celanya. Inikan pula terang-terangan menodai amanah rakyat tanpa sekelumit rasa malu. Korupsi berlegar di sekeliling kita bagaikan ikan belukang berebut tahi.
Sampai bila kita hanya mahu melihat, mendengar dan diperdengarkan bacaan serta bunyi-bunyian yang menyesatkan kita dari kebenaran sejarah sebenar? Setiap kali sejarah berpeluang ditulis semula oleh yang kalah apabila menang, peluang itu dinafikan oleh yang sudah menang dan sedang mempertahankan kemenangannya. Jauh lebih malang adalah kita sendiri juga tidak yakin akan menang dan mengalah kepada yang mempertahankan kemenangan samada dek muslihat atau kebodohan sendiri.
Sejarah tidak hanya mencatatkan kejayaan, kehebatan, kegemilangan dan yang baik-baik tetapi juga meriwayatkan kejahatan, kezaliman, keangkuhan pemimpin dan kerajaan. Jika tidak, sudah pasti kita tidak akan dapat membaca dan mendengar kisah-kisah kekejaman Firaun, Qarun, Hitler, Polpot, Soeharto, Marcos, Mugabe dan lain-lain. Bagaimana kisah-kisah kezaliman dan kekejaman kerajaan dan pemimpin ini terbongkar? Semuanya hanya akan berlaku setelah ditewaskan, diajalkan dan dihumban ke kandang pesalah.
Kehebatan Hang Jebat dan Hang Kasturi tidak akan muncul selagi Sultan Melaka yang zalim dan kejam itu masih beraja di mata dan di hati. Semua hadir kerana Raja adil raja disembah, Raja zalim Raja disanggah dan semuanya sudah tidak lagi bertahta di puncak kekuasaan.
Apakah kita semua begitu naif sehingga benci kepada kebenaran dan takut untuk mengetahui kisah benar? Jika kita semua mahu membaca dan mendengar sejarah BENAR tentang kerajaan dan pemimpin hari ini, tidak ada jalan lain untuk seluruh rakyat selain menumbangkan kerajaan dan pemimpin yang korup dalam PRU14 nanti.
Jom sama-sama kita tulis semula sejarah apabila kerajaan yang mendahului dan mengutamakan rakyat menang dalam pilihanraya nanti. RAKYAT MENANG SEJARAH TENTU MENANG.
Terbaik
ReplyDeleteTambah 50 markah hehehe A+
Delete