ORGANISASI BAYANGAN
Organisasi bayangan atau shadow organization diketahui umum sebagai lembaga yang penuh dengan kerahsiaan. Namun demikian, kewujudan sebegitu tidaklah mewajarkan sehingga ia tidak memberi kelebihan samada kepada rakyat, negara dan organisasi itu sendiri.
Rakyat tidak perlu tahu modus operandi secara khusus apa yang dilakukan, berapa banyak peralatan dimiliki dan apa juga yang membolehkan ia diguna oleh musuh sebagai helah samada menghancurkan organisasi ataupun mengelak daripada diambil tindakan. Ada hal yang tidak rahsia maka kerahsiaan secara logika tidak perlu.
Tetapi, lihat saja di barat dan negara maju yang banyak menerbitkan buku-buku, majalah dan bahan-bahan bacaan yang membolehkan rakyat dan masyarakat lebih memahami fungsi dan keberadaan organisasi bayangan seperti CIA, FBI, FSB (dulunya KGB), MI5, MI6, ASIS dan ASIO malah MOSSAD agensi perisikan Israel.
Buku-buku seperti Spycatcher oleh Peter Wright bekas pegawai perisik MI5, By Way of Deception mengisahkan pengalaman bekas katsa (case officer) MOSSAD Victor Ostrovsky dan wartawan Kanada oleh Claire Hoy,
The Shadow Government: 9-11 and State Terror Len Bracken yang mengisahkan kisah di sebalik peristiwa pengeboman WTC di New York dan banyak lagi koleksi buku-buku saya mengenai 'penyuluhan' atau disebut 'espionage' sebenarnya membolehkan rakyat menilai peranan CIA, MI5 dan lain-lain agensi perisikan yang ada.
Salah faham atau kekeliruan di kalangan rakyat dan masyarakat sebenarnya tak banyak membantu sesebuah organisasi menjadi kuat dan berwibawa. Kekuatan sesebuah agensi perisikan banyak bergantung kepada sumber maklumat dan banyak maklumat perisikan yang ampuh datangnya dari manusia dan masyarakat. Jika mereka tidak faham fungsi agensi perisikan dan menganggap semua pegawai dan anggota agensi perisikan sama seperti James Bond, Jason Bourne, Kingsman dan lain-lainnya mungkin sukar mereka bekerjasama. Imej agen 007 James Bond yang kaki betina dan penuh muslihat menjadi mereka punya tanggapan negatif. Pernah kita lihat James Bond, Jason Bourne, Kingsman dan lain-lain menulis laporan perisikan? Padahal sebahagian besar kerja perisikan adalah menulis laporan risikan dan adanya proses-proses tertentu termasuk klasifikasi, grading, membanding dan edaran serta banyak lagi untuk kegunaan keselamatan negara.
Bayangkan dalam organisasi PDRM sendiri apabila pegawai cawangan khas duduk di meja makan sebelah ada yang bangun meninggalkan tempat makan kerana tanggapan negatif nanti ditulis yang bukan-bukan. Masyarakat juga kalau nampak pegawai cawangan khas datang tiba-tiba saja ubah topik perbualan. Semuanya kerana salah faham dan itu tidak baik untuk jangka panjang. Sampai bila akan berada dalam situasi begitu?
Jangan biarkan hanya wartawan-wartawan selebriti menjulang organisasi yang tidak selayaknya kerana hanya dibisikkan yang elok-elok dan bagus-bagus serta ditambah-tambah perencah supaya masakan lebih enak. Akhirnya jadilah seperti filem Gerak Khas setahun 5 kali dinaikkan pangkat (bukan tak ada dalam dunia sebenar tapi bukan Yusuf Haslam lah. Ada di kalangan yang bijak dalam menimbang telur dan mengira bulu kambing). Bayangkan drama Gerak Khas seorang anggota atau pegawai polis dia lah di udara, di darat dan lautan. Dia lah dalam unit trafik, dia narkotik, dia juga anti teroris dan macam-macam sehingga kelihatan tak logik dan lucu. Sebaik penjenayah dikesan terus menjerit "Jangan Bergerak! kami Polis!" Itu namanya menghalau penjenayah bukan nak ditangkap. Patutlah mesin judi semua tutup bila operasi dijalankan sebab dah jerit-jerit dari jarak 3km lagi supaya mereka semua tutup kedai.
Malaysia sudah tenggelam dengan dunia Maharaja Lawak dan jangan dibiarkan hanyut terlalu jauh. Bayangkan doktor di hospital pakai stetoskop pun terbalik, pesakit jantung tapi dibalut kepala macam mummy dan banyak lagi hal-hal mengarut dilakonkan.
Jadi berbalik kepada soal rakyat perlu diberi kefahaman sewajarnya tentang peranan sebenar setiap organisasi agar kefahaman itu menjadi asas kerjasama erat masyarakat dan pihak berkuasa. Pihak berkuasa tidak perlu mendedahkan isu-isu sensitif dan hal-hal yang dianggap rahsia besar. Cuma jangan sampai organisasi bayangan sudah menjadi 'hantu'. Bayangpun kita dapat agak bila datang bila pergi kerana ketika gelap bayangpun hilang.
Comments
Post a Comment