JURANG


Jurang di mana-mana dalam kehidupan kita dan ia juga menentukan sepak terajang serta jatuh bangunnya kita.

Ada jurang pengetahuan dan pengalaman, ada jurang keikhlasan dan kejujuran. Tidak kurang pentingnya jurang integriti dan moral serta jurang keimanan dan ketakwaan. Itu belum disentuh jurang etika, budaya, agama dan suku kaum. Jurang generasi, gender dan jurang pendapatan juga terkadang boleh mengakibatkan timbulnya pelbagai masalah.

Semakin melebar sesuatu jurang semakin tinggi potensi untuk berlakunya krisis dan perseteruan.

Bayangkan seseorang yang jurangnya begitu lebar tentang protokol, baginya buat bising dalam majlis santapan beradat sama saja dengan makan di kedai roti canai tepi kaki lima.

Bagi yang tidak biasa beranalogi apabila membaca sesuatu analogi dianggapnya sama seperti haiwan dan makhluk yang disebut di dalam analogi tersebut. Mungkin kita yang memahami isu Bugis yang disentuh Tun M ianya ditujukan pada yang terkait tetapi bagi yang tidak mengetahui kisah sebenar akan terjerat dengan mainan manipulasi musuh beliau yang tidak pernah jemu memburu peluang untuk 'mengenakan'nya.

Belum ada dalam sejarah negara ini, sebuah kerajaan melaga-lagakan pemimpin dalam negara dengan rakyat negara asing hanya bersenjatakan isu bangsa Bugis. Jurang pengetahuan memainkan peranan penting dalam hal ini.

Bagi sesetengah orang apabila kita mengatakan makan telor goreng mata kerbau dengan kicap bergaul nasi dianggap hina dan papa kedana tetapi bagi ramai orang itu sesuatu yang menarik kerana jarang-jarang kita merasa. Jurang di sini bukan saja soal kaya miskin tetapi adab sopan memberi pandangan. Untuk tidak mencetuskan krisis, unsur kesabaran banyak memainkan peranannya.

Jurang integriti, kejujuran dan keikhlasan seseorang juga bukan saja boleh mengheret pergaduhan dan mengundang kemarahan, malah ia mungkin menyebabkan kalangan pekerja menjadi kurang motivasi justru yang culas dan korup tidak diambil tindakan dan lebih malang dinaikkan pangkat dan jawatan. Bagi yang jujur, ikhlas dan berintegriti akan merasa menjadi jujur, ikhlas dan berintegriti tidak bermakna. Kekecewaan melanda organisasi dan akhirnya segalanya menjadi serba tidak kena.

Begitu juga dengan jurang budaya, agama dan kepercayaan sesuatu kaum jika diperlebarkan antara satu sama lain tanpa dikawal, akhirnya akan mencetuskan rusuhan kaum, agama dan etnik. Muncullah penyakit seperti Islamophobia atau agama-agama lain, budaya dan adat resam sehingga menyebabkan saling menghina dan mencerca mereka yang tidak sealiran.

Walaupun jalan paling mudah untuk mengelakkan krisis dan perseteruan dalam soal jurang ini, sebaik-baiknya pihak yang dilihat mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan perbalahan perlu dielakkan dari mempunyai hubungan dan peluang berkomunikasi kerana kita mungkin dapat bersabar tetapi bagaimana dengan pihak di sana? 


Comments

Popular Posts