POLIGRAF


Utusan Online melaporkan kenyataan dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada 25 Mei 2017 bahawa Kerajaan akan meneliti cadangan penggunaan alat uji bohong atau poligraf sebagai salah satu mekanisme pencegahan untuk menangani gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.

Lanjutan dari kenyataan KSN tersebut, pada 2 Jun 2017, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya menjadi orang pertama menjalani ujian poligraf alat alat uji bohong.

Beliau mencadangkan satu panel yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang bebas dan terkemuka memantau proses perdana menteri menjalani ujian itu bagi menjawab soalan berhubung 1MDB dan wang yang berada di akaun bank peribadinya.

Lantas saya membayangkan betapa negara akan dihormati sekiranya langkah melaksanakan ujian poligraf ini tidak hanya berpusat kepada penjawat awam sahaja tetapi juga melibatkan semua menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar, termasuklah pemimpin utama pembangkang tidak kira presiden PAS, PKR, PPBM, DAP atau yang signifikan dalam membuktikan ketelusan mereka yang bergelar pemimpin atau sendiri masuk bakul mengaku pemimpin. 

Pada pandangan saya, jawatan-jawatan penting lebih wajar dilakukan ujian poligraf ini berbanding peringkat bawahan kerana kenyataan pihak atasan sebenarnya mencerminkan integriti sesebuah kementerian dan juga jabatan. Ini termasuk juga jawatan utama seperti Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara (IGP) dan pengarah-pengarahnya serta Ketua Pengarah SPRM setiap kali membuat kenyataan media. Siapa berani berbohong mesin judi sudah licin di daerah-daerah jika ujian dilakukan? Yang di bawah juga pastinya bimbang untuk berbohong membekalkan statistik atau sebarang fakta kepada ketua masing-masing untuk dibuat kenyataan media kerana ini akan mencemarkan bukan saja ketua mereka malah agensi dan jabatan terbabit.

Jika ini berjaya dilakukan, tahap keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap instrumen kerajaan sudah pasti melonjak dengan mendadak. Malah, sudah pasti negara asing dan pelabur asing juga penuh yakin dengan setiap kenyataan yang dibuat. Tidak timbul lagi samada pembangkang berbohong atau pemimpin parti pemerintah berbohong kerana yang akan dikenalpasti berbohong adalah pihak yang menuduh pihak lain berbohong. 

Bayangkan jika Ketua Pengarah SPRM membuat kenyataan media dan kemudian diikuti ujian poligraf, tidak akan wujud persepsi negatif bahawa ada hal-hal disembunyikan. Begitu juga IGP dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah atau Narkotik menghidangkan berita kepada pemberita, sememangnya laris mengalahkan laksa Kak Su Kuala Perlis kerana mustahil mereka berbohong jika ujian ini terlaksana. 

Tapi apakah mereka berani dan bersetuju melakukan semua ini? Jika mereka berani tidak ada sebab yang di bawah tidak mahu melakukannya. Yang pasti, hampir 99% kenyataan pemimpin samada di pihak pembangkang mahupun kerajaan jika wajib melaksanakan ujian poligraf ini, manfaatnya yang melimpah ada rahmat kepada seluruh rakyat kerana berani cakap berani tanggungjawab. 

Janji dalam manifesto dan sempena lawatan menteri dan PM juga tidak lagi bersalut pembohongan kerana pembohongan akan dibongkar setiap kali mereka tega berbohong di hadapan publik. Pengguna media sosial juga muflis dan ketandusan modal untuk menyerang mana-mana pihak lagi kerana apa lagi nak dikaitkan dengan fitnah dan bohong. Cuma sedikit kebimbangan di kalangan blogger dan facebookers berbayar kerana ruang dan peluang untuk aktif berbohong sudah ditutup.

Jika difikirkan, tidak ada sebab mana-mana pihak gentar untuk melakukan ujian poligraf sekiranya tidak berbohong. Malah ianya meningkatkan kredibiliti dan reputasi pemimpin itu sendiri. Sanggupkah berdepan ujian ini? Jangan sampai ada yang terkencing atau terkincit dalam kain atau seluar sudahlah!

Masyarakat hanya mengharapkan yang terbaik samada di pihak pembangkang mahupun pemerintah walaupun kita semua percaya ianya tidak lebih dogengan ataupun mistos yang ditenun untuk mengindahkan tirai pentas bangsawan yang tidak pernah berpenghujung.   

Comments

Popular Posts