NILAI LETAKNYA ATAS SEBUAH RASA BANGGA

Petang tadi selepas keletihan sejak pagi melakukan kerja-kerja rutin, saya bersihkan diri dan berbaring sejenak. Seperti biasa menjadi habit saya untuk membaca walaupun sedikit sebelum terlelap.

Saya mengambil buku hasil karya Prie GS berjudul Catatan Harian Sang Penggoda Indonesia untuk menyambung pelayaran membaca hingga selesai walaupun mengambil tempoh agak panjang kerana selain banyak halaman, tantangan Ramadan sedikit menyumbang ketidaklancarannya. Saya sampai ke bab 'Lukisan Wayang Di rumah Saya'.

Selesai membaca bab ini saya tidak terus terlelap tetapi melayang jauh memikirkan kehidupan saya dan apa yang dicatat Prie GS dalam bab ini. Saya seakan terbangun dari mimpi yang panjang bahawa memang benar setiap sesuatu dalam kehidupan saya dan orang lain letaknya nilai itu adalah daripada sebuah rasa bangga.

Dari catatan awalnya, Prie GS menyebut, "... tak peduli baik atau buruk, jika ia langka, derajatnya akan membumbung tinggi". Maksudnya, sesuatu yang kita berhajat membeli atau sudahpun membeli, harganya ditentukan oleh kelangkaan (rare) bukan soal perlu atau tidak, soal kualiti atau sebaliknya, soal berapa lama ia akan bertahan ataupun benar-benar bermanfaat buat kita. Harganya membumbung tinggi hanya kerana ia langka.

Tambah Prie GS lagi, kadangkala kita seakan amat gembira kerana penjualnya berkata harga dijual kepada kita itu dijual murah hanya kepada kita dan tidak akan dijual kepada orang lain dengan harga sedemikian. Katanya, "..murah bukan kerana murahan, murah bukan kerana penjualnya menolak banyak keuntungan, tetapi ia adalah barang mahal yang dimurahkan dengan sengaja, cuma dengan melihat siapa pembelinya. Luar Biasa! Tersanjunglah saya! Tak peduli apakah saya ini cuma bahagian dari begitu banyak pembeli yang disanjung cuma untuk dikuras dompetnya. Yang jelas perasaan beruntung ini saat itu sedang menjadi-jadi."

Dari situ saya memikirkan bahawa harga atau nilai sesuatu barang itu letaknya bukan dari barang itu sendiri, tetapi dalam diri saya atau pembeli. Semakin tinggi rasa bangga memilikinya maka semakin bernilai dan semakin melonjak harganya.

Saya melihat keliling saya dan cuba membayangkan segala isi perpustakaan mini yang saya panggil Kabin Buku HNBK. Semuanya berharga ketika saya baru membelinya walaupun buku itu sudah lama tetapi lama kelamaan ia hanya sekadar perhiasaan dan susunan benda untuk melengkapkan keserakahan saya pada ketika membeli. Seperti kata Prie GS, ".. Benda yang pernah sangat memikat hati saya ketika masih baru, tapi menjadi biasa-biasa saja ketika telah lama.... Saya menjadi kaget sendiri ketika ternyata untuk bisa menghargai sebuah benda, syaratnya harus selalu baru."

Mungkin jika diheret lebih jauh, kawan atau teman kita hanya berharga ketika ia masih baru dan setelah kita merasa lama dan tidak ada lagi sebuah rasa bangga memilikinya maka nilainya mengesot perlahan-lahan ke dasar paling bawah? Atau kita sentiasa memerlukan orang lain untuk menghargainya sebelum kita pula berebut-rebut untuk merasa ia adalah sesuatu paling bernilai bimbang jatuh ke tangan orang lain?

Rupa-rupanya harga sesuatu itu tinggi atau rendah ditentukan oleh pasaran kerana sebuah rasa bangga. Bangga dapat merebut sesuatu itu dari orang lain yang tidak mampu merebutnya gara-gara mahalnya harga bukan bernilainya barang itu.

Entahlah... banyak hal-hal yang berselindung di sebalik dinding akal yang masih perlu dibongkar untuk sama-sama kita memahami dan menilainya agar tidak terus buta antara nafsu serakah, rasa bangga, keperluan atau didorong kepercayaan atas kelangkaan sesuatu benda.

Comments

Popular Posts