HARUM MANIS


Saya terbaca status Ku Seman Ku Hussain mantan editor Utusan Malaysia di FB tadi mengenai buah mangga harum manis. Status beliau berbunyi, "Penanam harum manis yang tamak di Perlis patut insaf dan berubah. Rezeki kalau tak disyukuri sekejap saja berada di tangan kita".

Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuan Ku Seman Ku Hussain kerana sebelum itu saya ada membaca berita mengenai perkara yang saya percaya berkaitan hal sama. Berita semasa itu menyebut, pengusaha buah mangga harum manis di Perlis didakwa kerugian berjuta-juta ringgit tahun ini ekoran berlaku lambakan buah dan penurunan harga yang memaksa sesetengah mereka membakar hasil ladang untuk mengelakkan penyakit. Menurut berita itu lagi, mangga harum manis terpaksa dijual dengan harga RM10 sekilogram kepada peraih dan RM15 kepada pembeli runcit akibat lambakan buah serta bulan puasa ditambah dengan kelemahan pasaran. Amat mengejutkan mengikut berita sama, kerana pada tahun 2015 pengusaha harum manis berjaya mengaut keuntungan besar dapat menjual hingga RM50 sekilogram. Sebahagian pengusaha mengeluh kerana terpaksa membiarkan buah busuk di pokok gara-gara kemerosotan jualan sehingga 70%.

Ku Seman Ku Hussain juga asalnya Perlis dan kebetulan saya juga lama berkhidmat di sana dulu dan sudah menganggap Perlis itu negeri kelahiran saya dan sayang pada negeri itu melebihi negeri kelahiran saya yang sebenar (Kedah). Tidak mungkin kami iri hati atau dengki kepada yang berjaya dalam apa juga bidang di sana. Tetapi dalam soal ini perlu teguran bukan saja kepada pengusaha harum manis tetapi juga kepada orang-orang politik yang memegang jawatan berkaitan hal ini.

Setiap kenyataan dibuat Exco atau pun kerajaan negeri mencerminkan tahap pemikiran dan corak pentadbiran kerajaan negeri. Isu pekebun kecil getah diminta gantikan dengan tanam ketum oleh orang politik yang jadi pengerusi RISDA satu hal, datang pula Exco yang seolah-olah tidak percaya dengan rezeki diturunkan Allah itu kepada setiap hambanya.

Tak perlulah menghalang negeri lain menanam buah mangga harum manis atas alasan hak eksklusif Perlis kerana jika jika tidak sesuai cuacanya tak akan tumbuh atau tumbuh dengan keadaan tidak sempurna. Lihat saja dengan usaha menanam anggur di Perlis berjaya atau gagal? Sebelum ini pernah saya bawa rombongan dari ibupejabat melawat ladang anggur dan mereka yang hadir rombongan pelik melihat buah anggur yang 'kesit' dan tidak manis hasilnya malah lebih sedap dan manis serta besar saiznya buang riang dot. Saya bertanya pada staff bertugas dan kebetulan melayan rombongan itu mengapa jadi begini? Katanya tak sesuai tapi jika ada lawatan menteri pusat maka terpaksa membeli anggur luar untuk digantung di pokok-pokok di situ. Apa punya selekeh kerja begini hanya untuk mengaburi mata menteri sanggup memadam hakikat sebenar. Itu apa yang diberitahu pada saya dahulu jika tak betul tak tahulah saya.

Sama juga halnya dengan menanam pohon kurma di negara ini seperti di Kelantan dan ada juga di sepanjang jalan dari Kodiang, Kedah menghala ke sempadan Kedah/Perlis (Jelempok). Apakah Iran, Arab Saudi dan negara pengeluar kurma perlu menghalang negara lain menanam kurma? Negara lain mungkin boleh tanam tapi kualitinya sama? Setiap Ramadan ribuan tan kurma diimpot masuk dari negara Timur Tengah kerana apa? Kenapa tidak dibeli dari Kelantan dan Kodiang? Sendiri pun boleh jawab. Tetapi bab kurma ni agak sensitif bimbang ditumbuk imam kurma dari Johor kerana sudah menjadi hak eksklusif imam bazar ramadan dari Johor itu.

Exco Pertanian Perlis tidak perlu 'flip flop' dalam soal ini. Musim harum manis 2016, beliau mengulas "Harga mempelam harumanis yang menjadi ikon di Perlis dijangka akan lebih mahal kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan tahap pengeluaran buah tersebut yang amat tidak memberangsangkan". Tambahnya lagi, "Hasil tahun sebelumnya juga masih tidak cukup menampung permintaan. Dengan kemerosotan pengeluaran tahun ini dikhuatiri ada peniaga yang akan mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,".

Tahun ini 2017 apabila berlaku lambakan pula dianggap merugikan sedangkan tahun 2016 buah berkurang dianggap tidak cukup. Mana satu yang betul untuk stabilkan harga harum manis? Lebih memalukan bila sudah memperlihatkan ketidakmampuan untuk bersaing dalam perniagaan dengan membuat kenyataan "Kerajaan negeri Perlis tidak bersetuju dengan cadangan supaya pokok mempelam harumanis ditanam secara besar-besaran di negeri-negeri lain. Beliau berkata cadangan itu ditolak kerana harumanis merupakan hak eksklusif Perlis dan kebanyakan rakyat negeri ini menjana pendapatan dengan menanam pokok mempelam itu. Jika nak ditanam sepokok dua tidak mengapa tetapi menanamnya secara ladang untuk dikomersilkan, kita memang tidak bersetuju,".

Seperti komen-komen di 'wall' FB Ku seman ku Hussain jelas menunjukkan rakyat teringin juga merasa buah harumanis ini tetapi harganya sudah dianggap melampau dan di luar kemampuan rakyat. Jadi jika berlaku lambakan hingga busuk di pokok atau terpaksa dibakar jangan salahkan pasaran atau pembeli kerana kuasa membeli rakyat kiat menyusut sedangkan harga buah terlalu tinggi. Sanggup dibakar buahatau busuk di pokok dari menjadikan ia sebagai amal jariah selain punca rezeki. Jual banyak walaupun harga sedikit rendah untungnya difikir lebih banyak jual sedikit dengan harga mahal. Mungkin peniaga Melayu sudah terbiasa memilih lebih baik buang ke longkang makanan dan minuman dari menjual harga berpatutan seperti di bazar Ramadan.

Seperti komen teman saya Sharuddin Salam, kenapa tidak diproses menjadi jus mangga dan dibuat 'packaging' sebagai industri kecil dan sederhana. Sebagai sebuah kerajaan negeri di bawah BN yang serba lengkap berbanding pembangkang yang didakwa lemah atau 'failure state' dilemparkan kepada kerajaan Pulau Pinang, kenapa tidak diusahakan hal-hal seperti ini? Sama juga dengan kejatuhan harga getah di mana di Thailand juga harganya merosot ketika itu. Tetapi kerajaan di sana tidak meminta pekebun getah di sana menanam ketum sebaliknya mereka punya kilang-kilang memproses hasil susu getah seperti kilang sarung tangan, kasut, kondom dan bermacam-macam lagi. Lawatan dan kunjungan hormat ke Songkhla, Satun dan wilayah Selatan Thai oleh kerajaan negeri bertali-arus dan setiap kali lawatan ada dibawa ke tempat yang dipanggil OTOP (One Tambun One Product) atau konsep `Satu Kampung Satu Produk'. Konsep ini amat berjaya di Thailand kerana jualan langsung tanpa melalui orang tengah serta ternyata berjaya membantu meningkatkan taraf hidup penduduknya. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia 16 Mac 2002 sedangkan jika tidak salah idea satu kampung satu produk ini dulunya dicetuskan di negara ini. Kenapa tidak kerajaan kita melakukan perkara sama untuk dilaksanakan di negara ini dan pastinya rakyat lebih memilih usaha sebegini dari sumbangan 'one-off' seperti BR1M. Kita tidak menentang bantuan kepada rakyat tetapi jika ada alternatif yang lebih baik dan lebih konsisten pendapatan mereka, kenapa tidak?

Yang dikatakan pemimpin adalah yang berminda pemikir dan perencana kepada kebajikan dan kemaslahatan rakyat bukan untuk kepentingan pemimpin dan kelompok. 
Pengusaha harum manis juga jangan lah ketika untung gegak gempita 'wang besar!' 'Wang Besar!' tapi bila kurang wang masuk menjerit dan terpekik terlolong 'wang kecil!' 'wang kecil!'. Rezeki jika terus-terusan mengalir macam air laut, Laut China Selatan pun kering.

Saya sendiri sebelum bertugas di Perlis pun tak pernah dengar buah harum manis ni, tetapi ketika di sana baru tahu dan selepas makan saya akui sedap tapi jika dimakan buah mangga dari Thailand RM10 untuk 3 kilogram pun taklah jauh sangat bezanya. Untuk menarik minat pembeli, boleh mahal dari harga mangga Thailand tapi tidaklah sehingga mereka terpaksa ikat perut untuk keperluan lain. Memang alasan akan diberi tak nak beli sudah orang lain akan beli, dan kini itulah yang sedang berlaku sehingga perlu bakar buah yang busuk untuk elak penyakit.

Comments

Popular Posts