PEGUAM SASAU

Sejak lama sebelum suasana politik gawat seperti sekarang, saya sering memerhati dan mendengar komen ataupun ‘statement’ berbunyi terima kasih sajalah bila kerajaan dah bagi bonus, turunkan harga minyak atau gula, bila pelajar dapat biasiswa atau bantuan belajar yang lain. Malah jika kerajaan bagi bantuan baja, bantuan benih, subsidi itu dan ini juga kena terima kasih kepada parti pemerintah.

Sebenarnya masih ramai yang gagal memahami antara amanah dan harta sendiri serta amanah dan harta parti. Apa yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap rakyat adalah melunaskan amanah yang diletakkan atas pundak mereka setelah bergelar pemerintah. Jadi setiap yang diberi dalam bentuk perkhidmatan ataupun materi semuanya adalah amanah dan tanggungjawab yang telah dijanjikan ketika mengangkat sumpah jawatan. Ia bukan soal kepartian tetapi melunasi hutang kepada rakyat setelah bergelar pemimpin.

Rakyat memilih sebagai ahli parlimen atau ADUN untuk mewakili rakyat tanpa mengambil kira pendirian politik setiap warga negara. Oleh yang demikian, mereka sepatutnya mewakili rakyat bukan mewakili pemimpin atau parti. Tanpa menjadi ahli parlimen atau ADUN, peratusan dipilih sebagai menteri, Exco dan sebagainya amat tipis dan hanya bergantung harap lantikan sebagai senator dan berapa sangat jumlahnya?

Jawatan sebagai menteri atau exco pula lantikan oleh pemimpin masing-masing bukan oleh rakyat. Itu adalah jawatan yang perlu digalas tanpa mengambil kira ideologi politik dan arah sokongan setiap warga. Di sinilah seringkali kita melihat kejahilan ditelanjangkan oleh pendokong parti sehingga kejahilan itu dianggap sebagai sesuatu yang mulia.

Dari mana hasil kerajaan? Petroleum? Bukan milik parti. Cukai? semua orang bayar tanpa mengira parti? LHDN tak pernah tanya rakyat itu parti mana. Hasil perlaksanaan undang-undang seperti bayaran saman, kompaun dan sebagainya semua orang kena bayar tanpa mengira parti? Cukai tanah? semua orang kena. Di mana duit UMNO? Kenapa perlu projek-projek ditulis sumbangan atau projek Barisan Nasional?

Pemimpin adalah pelayan rakyat bukan majikan kepada rakyat. Semua yang dilakukan bukan kerana pemimpin atau parti politik itu baik hati atau beriman. Itu adalah tanggungjawab. Memang wajib mereka lakukan samada mereka beriman atau tidak, baik atau sebaliknya mesti laksanakan. Jika mereka tidak laksanakan maka mereka harus diambil tindakan dan bagi parti pemerintah perlulah diganti dengan parti yang lebih bertanggungjawab.
Keadaan ini samalah dengan penjawat awam tidak kira polis, tentera, perkeranian, jurutera, arkitek, doktor mahupun peguam dan hakim.

Sekiranya mereka laksanakan tugas bukan bermakna mereka baik hati tetapi itu tanggungjawab yang menyebabkan mereka mendapat upah atas pekerjaan tersebut. Jika mereka tidak laksanakan mengikut duty scheme atau ‘job spec’ maka tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka. Tidak wujud soal terima kasih walaupun rakyat bukan bodoh dan tuli untuk tidak dapat membezakan antara nilai moral dan etika jika orang melakukan sesuatu yang baik untuk mereka.


Peranan parti pemerintah sesungguhnya tidak ubah seperti seorang peguam yang dilantik oleh seorang suami yang juga bapa untuk menguruskan wasiat setelah beliau mati. Apabila beliau meninggal dunia, peguam itu hanya menjadi pemegang amanah untuk membahagi-bahagikan harta pusaka mengikut wasiat dibuat. Peguam tidak perlu menyibuk untuk membahagikan lebih banyak kepada anak atau isteri yang arwah sayang. Peguam juga tidak boleh mengambil kira apa yang arwah pernah ceritakan anak ini kaki bangkang anak itu mengikut kata dan sebagainya. Ikut saja wasiat dibuat dan selesaikan tugas mengikut apa yang telah dicatatkan.

Kalau membiarkan peguam mengatur ikut kehendak dia bermakna itu bukan ikut wasiat tapi ikut nafsu peguam. Jangan sampai isteri arwah pun dia ambil untuk jadi isteri dia walaupun tak ada dalam wasiat. Wasiat bukan lantik dia ganti jadi suami kepada isterinya dan bapa kepada anak-anaknya.

Rasanya penyakit peguam sasau begini sudah menular dalam politik negara sehingga parti pemerintah nak bahagi-bahagikan harta negara dan laksanakan tanggungjawab mengikut siapa sokong dan tidak sokong bukan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Mungkin penyakit peguam sasau ini dapat dilihat dalam kes Hussein Najadi yang menjadi mangsa pembunuhan ketika anaknya Pascal Najadi berada di Moscow (Bukan PASKAL sebab kalau PASKAL dah berterabur gigi peguam tu kena). Jenazah Hussein Najadi mengikut Pascal Najadi anaknya kelam kabut mahu dikebumikan oleh peguam yang entah dari mana datangnya walaupun pihak keluarga termasuk anak dan isterinya yang turut cedera dalam insiden suaminya ditembak mati tidak pun kenal dan memberi izin. Siapa lantik dan siapa arah wallahualam.

Parti pemerintah jangan jadi macam peguam sasau kerana rakyat mengundi kamu untuk berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira arah sokongan dan ideologi politik. Tidak timbul soal berterima kasih atau perlu taat setia kepada pemimpin negara yang diangkat oleh parti masing-masing bukannya rakyat. Kamu dipilih oleh pengundi hanya di kawasan kamu samada DUN atau parlimen bukan dipilih sebagai menteri, menteri besar, Exco, TPM termasuk juga PM. Semua jawatan itu berkehendakkan kamu tidak meletakkan syarat untuk berkhidmat kerana ia mendapat upah setimpal bukan percuma.

Sampai bila rakyat mahu diperbodohkan?

Comments

Popular Posts