SEJARAH SENTIASA BERULANG

Assalamualaikum,

Rantau ini telah berjaya melahirkan dua orang Perdana Menteri terhebat abad ini. Nama mereka begitu terkenal dengan ketegasan dan gaya kepimpinan yang begitu memukau. Kedua-dua negara yang berjiran berbangga punya perdana menteri berkarisma dan memiliki gaya kepimpinan luarbiasa sehingga mampu membawa negara masing-masing begitu terkenal, maju dan berjaya membawa perubahan walaupun hanya sebuah negara kecil.

Kedua-duanya adalah Saudara Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura dan Tun Dr Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia. Lee Kuan Yew memimpin Singapura selama 31 tahun mulai 1959 sehingga 1990 dan Tun Dr Mahathir Mohamad pula selama 22 tahun mulai 1981 sehingga 2003. 




Berbanding Malaysia, Singapura terus maju walaupun Lee Kuan Yew telah lama berundur sebagai Perdana Menteri dan kedua-dua penggantinya Goh Chok Tong dan Lee Hsien Loong tidaklah sehebat Lee Kuan Yew. Namun, Malaysia agak malang apabila kedua-dua pengganti selepas Tun Dr Mahathir Mohamad gagal meneruskan kecemerlangan beliau malah menjahanamkan legasinya serta lebih parah meletakkan Malaysia begitu jauh ketinggalan dari negara-negara jiran yang dahulunya di belakang negara ini. Jika Malaysia dan pemimpinnya disebut sekalipun tidak akan terlepas dari soal yang memalukan rakyatnya.

Kenapa berlaku hal sedemikian rupa? Walaupun Singapura mendapat Perdana Menteri tidak sehebat Lee Kuan Yew, tetapi penggantinya itu tidak korup dan tidak memusnahkan legasi Lee Kuan Yew. Sebaliknya di Malaysia, pengganti-pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad berpesta dengan peninggalan harta pusaka yang ada serta satu persatu legasi yang dirintisnya tergadai termasuk yang terbaru dikhabarkan Proton pula akan berpindah tangan kepada syarikat dari China. Kepingan-kepingan tanah warisan dengan mudah jatuh kepada pihak asing walaupun hasilnya ke kantung siapa?

Apa yang berlaku mengingatkan saya dengan apa yang pernah saya tulis satu ketika dulu dalam blog yang dipetik dari kata-kata Prie GS budayawan dan penulis Indonesia, "Negara pun serupa perusahaan. Generasi pertama merintis, kedua membesarkan, ketiga pesta pora". Dan ia juga seiring dengan apa yang disebut Ibnu Khaldun tokoh pemikir Islam terkemuka yang merupakan bapa sosiologi dan ahli sejarah tentang hal yang sama.

Negara sudah mencapai kemerdekaan dan sudahpun berada pada landasan yang betul, tidak perlu lagi pemimpin dan barisan kepimpinan yang ada untuk menjadi pahlawan. Seperti kata Gubernur DKI Jakarta Basuki Tjahaja atau lebih dikenali sebagai Ahok, "Pahlawan Sekarang Tak Perlu Korbankan Nyawa, Cukup Tidak Korupsi Saja".


Comments

Popular Posts