MASJID PUN DIBAKAR, INIKAN PULA...

Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan Nabi Musa dan Nabi Khidir tetapi itu tidak bermakna kita perlu menjadi Pak Pandir dan Lebai Malang.

Ingat kisah ketika Nabi Musa 
merasa dialah yang paling mengetahui segala sesuatu. Allah menegur Nabi Musa, “Hai, Musa, ada hambaKu yang lebih pandai daripada dirimu.” Nabi Musa bertanya, “Siapakah dia, ya Allah?” “Carilah dia di tempat bertemunya dua lautan.”

Nabi Musa mencari orang yang dimaksud. Diringkaskan cerita, akhirnya Nabi Musa bertemu Nabi Khidir dan baginda bertanya, "Bolehkah aku mengikutimu dan berguru kepadamu?” Tanya Nabi Musa. Nabi Khidir menjawab, “Baiklah, tetapi engkau jangan bertanya tentang apa yang akan aku lakukan sebelum aku menerangkannya kepadamu.”Nabi Musa menyanggupi permintaan tersebut.

Ketika berjalan, mereka menemukan sebuah perahu. Nabi Khidir mengajak Nabi Musa menaiki perahu itu. Tiba–tiba Nabi Khidir menebuk lubang perahu itu. Nabi Musa hairan dan bertanya kepada Nabi Khidir, tetapi tidak dijawab. Begitu juga ketika mereka bertemu seorang anak, Nabi Khidir membunuh anak itu. Nabi Musa sangat hairan dan bertanya. Namun, Nabi Khidir belum mahu menjelaskannya.

Mereka tiba di sebuah negeri yang penduduknya tidak mahu menjamu mereka. Tetapi apabila mereka menemui rumah yang hampir roboh, Nabi Khidir membaiki rumah itu hingga berdiri tegak kembali. Nabi Musa kembali bertanya tentang perbuatan tersebut. Namun Nabi Khidir tetap diam.

Tiba saatnya mereka berpisah, Nabi khidir menjelaskan apa yang telah dilakukannya. “Perahu yang aku tebuk itu milik nelayan miskin. Perahu itu akan dirampas seorang raja. Agar mereka selamat, perahu itu kurosakkan supaya tidak digunakan,”. 


Kemudian Nabi Khidir menjelaskan kenapa dia membunuh seorang anak. Dia mengatakan anak itu orang tuanya beriman, tetapi si anak kelak akan menjadi anak yang derhaka, “Aku khuatir ia akan menyebabkan orang tuanya sesat dan tidak menyembah Allah,” kata Nabi Khidir. Sementara alasannya membaiki rumah yang hampir roboh, “Rumah itu milik dua anak yatim piatu dan di bawah rumah itu terpendam harta peninggalan orang tua mereka. Allah berkehendak agar kedua anak itu kelak mengeluarkan harta peninggalan tersebut. Setelah selesai memberi penjelasan, Nabi Khidir meninggalkan Nabi Musa yang masih terdiam merenung.

Satu lagi kisah Masjid Dhirar di zaman Nabi Muhammad SAW? Pada satu ketika, ada satu golongan telah mendirikan sebuah masjid baru tidak jauh daripada sebuah masjid yang sedia ada. Mereka ini mengaku mahu mendirikan masjid ini untuk kesejahteraan ummah tetapi sebaliknya mereka adalah golongan munafik yang sebenarnya merancang untuk menggunakan masjid itu untuk memecah-belahkan orang.

Abu Amir, bukannya nama orang kafir, nama orang Islam tapi dia munafik dan dia mempengerusikan mesyuarat dengan jawatan kuasa munafiknya bagi meluluskan projek membina masjid baru untuk bersaing dengan Masjid Nabawi. Nama masjid tersebut sepertimana yang Allah sebut dalam al-Quran dalam Surah at-Taubah:107-108 ialah Allah namakan masjid itu sebagai Masjid Dhirar yakni masjid pelampau sebab ia bukan dibina atas dasar taqwa. Ia dibina kerana untuk memecah-belahkan masjid Rasulullah saw. 

Bila Masjid Dhirar itu siap ditegakkan, Abu Amir menjemput Nabi saw untuk merasmikannya. Kebetulan pada waktu itu, Nabi saw sedang bersiap untuk pergi Perang Tabuk. Dalam suasana Nabi saw nak pergi ke Tabuk untuk berperang, sepatutnya sebagai orang Islam, mereka bersama pasukan tentera Islam berperang menentang Rom di Tabuk, sebaliknya meminta Nabi saw merasmikan masjid Dhirar. 

Selepas kembali dari Perang tabuk, dalam perjalanan pulang, tiba-tiba malaikat Jibril as menyampaikan pesan Allah ta`ala. Jibril as berkata, "Ya Rasulullah, jangan kamu sembahyang dalam masjid tu selama-lamanya; dan Allah berpesan kepada kamu supaya arahkan sahabat membakar Masjid Dhirar. 

Inilah akibat yang ditimpakan Allah kepada masjid yang dibina bagi memecah-belahkan orang beriman. Lantaran itulah Allah memuji masjid Kuba`, kataNya, "Wahai Muhammad! masjid yang dibina atas asas taqwa (Masjid Kuba`) adalah lebih berhak kamu sembahyang di dalamnya." Sebaik sampai, di Madinah, habis dibakarnya Masjid Dhirar tersebut. 

Baik masa lalu, masa sekarang mahupun masa depan sebagai pemimpin dan insan yang mahu berfikir, kita harus sentiasa menjadi “the right man on the right place, the right man on the right time” seperti yang cuba digambarkan dalam dua-dua kisah ini. 

Walaupun nampak tidak betul tidak semestinya ia tidak betul kerana kita tidak tahu seperti yang berlaku dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir. Dan begitu juga jika kelihatan ianya untuk kebaikan seperti membina Masjid Dhirar kenapa ia dibakar? 

Sebenarnya apa yang cuba diketengahkan di sini seperti juga dalam isu RUU355 apabila tidak menyokong himpunan tersebut bukan bermakna kita menentang sesuatu yang baik untuk Islam dan umatnya seperti didakwa sesetengah pihak. Walaupun kita bukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, kita tahu bahawa ia hanya helah pihak tertentu untuk terus memberi nafas dan talian hayat kepada pemimpin yang korup dan zalim untuk terus berkuasa. Bayangkan jika masjid pun dibakar inikan pula hanya himpunan yang menjadi punca berpecahnya pakatan untuk merebahkan rejim yang menindas rakyat dan memberi kekuatan kepada pemimpin yang zalim.

Saya hanya sekadar berfikir punca-punca menyebabkan usaha dan kesepakatan menggantikan pemerintah yang zalim dengan pemerintah yang diharapkan untuk mengembalikan hak rakyat telah dikhianati selama ini tetapi dieksploitasi oleh golongan opportunis. Tidak salahkan?  

Wallahuaklam

Comments

Popular Posts