JIKA KING GHAZ MASIH ADA



Siapa masih ingat dan kenal dengan King Ghaz atau nama sebenarnya Ghazali Shafie. Tun Ghazali Shafie merupakan ahli politik Malaysia era Tunku Abdul Rahman hinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu dari 1970-1984. Negara begitu menghargai beliau sehingga disemadikan jasadnya di makam pahlawan walaupun bukan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Beliau amat terkenal dengan ketegasan dan pengalaman luas dalam hubungan luar negeri. Pernah menjadi menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India dan tahun 1959 dan menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri.

Tun Ghazali menjadi Menteri Luar Negeri dari Julai 1981-Julai 1984 sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai Perdana Menteri. Dasar luar semasa zaman Tun Abdul Razak diperkukuhkan dengan pembentukan ICG iaitu Majlis Antara Kerajaan-Kerajaan. 


Dalam perjumpaan atau perasmian mesyuarat UMNO di setiap negeri, ucapan-ucapan beliau sentiasa dinanti-nanti kerana penuh dengan pengalaman dan ilmu buat hadirin yang terdiri dari perwakilan UMNO. 
Dalam ucapannya, beliau menyentuh segala aspek isu-isu yang melibatkan pemerintahan negara termasuk dasar luar. Mungkin ada yang bertanya apakah sesuai dengan golongan sasar? 

Tak disampaikan lagi lah tak tahu. Sekurang-kurangnya beliau mahu orang-orang UMNO punya pola fikir yang ke depan bukan otak poco-poco depan tiga langkah, kiri tiga dan kanan tiga bak gerabak keretapi. Ulang sampai lembut lutut jam 4-5 pagi.

Zaman sekarang, mesyuarat UMNO jamu kuih, bihun dan nasi lemak, kopi dan teh bertong-tong dan tidak ketinggalan cabutan bertuah. Hasilnya semua berakhir di lubang tandas.

Kembali menyentuh isu hubungan luar negara sekarang yang begitu hangat diperkatakan mengenai pembunuhan Kim Jong-nam abang tiri presiden Korea Utara kelihatan negara seperti bermain api. 

Apa guna kita mempunyai misi perwakilan asing samada kedutaan mahupun konsulat tidak kira di luar negara ataupun mereka di sini? Apa yang berlaku kini duta kita di sana dipanggil pulang sedangkan duta mereka di sini dipalu-palu. Ia seakan-akan memperlihatkan misi diplomatik telah gagal dan membiarkan perang mulut Malaysia/Korea Utara berlangsung tanpa batas antara kedua-dua negara di media.

Kerajaan punya saluran diplomatik tidak seperti kami warga marhaen yang hanya punya blog, fb, what's app, we chat dan lain-lain komponen media sosial. Jika rakyat pong-pang pong-pang di media sosial kerana mereka tidak punya kemampuan seperti sebuah kerajaan yang mempunyai sistem dan kerangka hubungan diplomatik terdiri dari mereka yang berkelayakan.

Jika kita masih ingat INTAN Jalan Elmu, di Petaling jaya dulu kini sudah menjadi Institut Diplomasi yang melatih para diplomat kita untuk mempunyai ciri-ciri diplomat yang hebat termasuk protokol. Saya pernah hadir kursus protokol sebelum CHOGM yang berlangsung di negara kita dahulu. Hebat tempat ini bukan calang-calang tempat.

Kenapa dalam soal besar berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam kita membiarkan media menjalankan tugas-tugas kementerian luar? Jika ditanya arwah Fadhil Nor mantan Presiden PAS kemana hala tuju negara sekarang ini, jawabnya "Tak ketahuan hala".

Saya merindui sentuhan King Ghaz dalam menangani isu-isu melibatkan negara luar berbanding sekarang menterinya Anifah Aman yang sentiasa melihat negara dalam keadaan AMAN. 

Jika dengan Singapura yang kecil pun kita sudah terkencing dalam seluar apabila berunding melibatkan hubungan bilateral yang jelas sentiasa berat sebelah, inikan pula Korea Utara yang boleh dianggap 'rebus tak hempuk' kata orang utara. Jika mereka lemah, sudah lama Korea Utara menjadi ulam pegaga dan menerima nasib sama seperti Iraq, Afghanistan, Libya dan beberapa negara lain mangsa kerakusan Amerika dan sekutu. 

Berundinglah secara diplomasi dan itu tidak bererti kita takut, tetapi lebih dilihat bijak menangani isu. Jangan dipercayai janji negara luar kuasa besar jika ada yang berkata akan melindungi kita kerana masih ingatkah kita ketika Jepun menyerang Tanah Melayu? Negara jiran membiarkan tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dengan mudah asal saja negaranya selamat.

Jangan melenting dengan pandangan saya yang tidak seberapa ini. Saya cuma sempat berurusan dengan pegawai-pegawai hebat di kementerian luar (wisma putra) semasa saya menjadi 'desk officer' Thailand tetapi kami sama-sama melakukan yang terbaik untuk negara demi MALAYSIA. Banyak dipelajari jika kita rendah hati bukan rendah diri.

Assalamualaikum

Comments

Popular Posts