Antara Kedaulatan Negara dan Clandestine Operation


Jika semua orang tidak boleh bercakap soal-soal yang menyentuh pemimpin dianggap berhala politik mereka, apa akan jadi kepada negara? Pemimpin itu adalah pelayan masyarakat bukan tuhan yang dipilih oleh mereka. Tanpa rakyat siapalah pemimpin dan apa saja yang dilakukan pemimpin memberi kesan kepada negara dan rakyat. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kepada negara bukan pemimpin kami punya hak untuk bersuara.

Jangan kerana ketaksuban beberapa kerat manusia yang entah temboloknya disumbat dengan pelbagai macam benda menjadikan bukan saja mereka buta dan pekak, tetapi menghalang orang lain dari menyuarakan kebimbangan atas kegagalan pemimpin yang sedang mempunah-ranahkan negara dan nasib generasi akan datang.

Jangan ingat semua yang berbicara dalam media sosial seperti mereka yang berterabur fakta dan melimpah auta. Pengalaman tidak dapat dibungkam hanya kerana kejian dan kebencian kamu terhadap pengkritik.

Jika kita masih ingat, Khalid Mish'al Ketua Biro Politik Hamas pernah menjadi sasaran pembunuhan oleh agensi perisikan Israel, Mossad juga menggunakan racun. Pada pagi 25 September 1997, dua pembunuh upahan, bersama beberapa agen perisik Mossad mengikuti Khalid Mish'al ke pejabat beliau di Amman, Jordan. Ketika berjalan berjalan masuk ke pejabatnya, beliau diserang dua lelaki yang meletakkan sebuah alat di telinganya. Alat itu menghasilkan bunyi yang sangat kuat, dan Khalid melaporkan ia umpama 'renjatan elektrik'. 

Walaubagaimanapun, kedua-dua pembunuh upahan ini tidak menyedari kehadiran pengawal peribadi Khalid, yang masih berada di dalam kereta. Hasilnya, pengawal peribadi Khalid, Abu Sayf keluar melawan mereka dan berjaya menahan mereka. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak polis. 

Pada awalnya, Khalid kelihatan sihat selepas serangan tersebut, namun kemudian beliau mula jatuh sakit selepas beberapa jam. Alat yang diletakkan dalam telinga Khalid mengandungi racun, yang menyebabkan kandungan oksigen dalam darahnya terus menjunam walaupun diberi bekalan oksigen secara berterusan. 

Raja Jordan ketika itu, Raja Hussein mendapat tahu dan segera melakukan intervensi dan Khalid dipindahkan ke Pusat Perubatan Al-Hussein dibawah jagaan beberapa doktor pakar. Raja Hussein menghubungi presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan mendesak beliau agar mengarahkan Israel menyerahkan 'antidote' bagi racun tersebut. Dengan antidote tersebut, Khalid kembali pulih. Pihak Israel bersetuju menyerahkan ‘antidote’ tersebut sebagai pertukaran agar kedua-dua agen yang menjalankan ‘clandestine operation’ itu dikembalikan kepada mereka. 

Kisah Khalid Mish'al ini tidak jauh bezanya dengan kisah pembunuhan Kim Jong-nam di KLIA2 namun mangsanya kurang bernasib baik kerana meninggal dunia. Mungkin beliau tidak diiringi pengawal peribadi berbanding Khalid Mish'al. Namun, peranan Raja Hussein yang bersungguh-sungguh dalam intervensi membantu HAMAS membuktikan beliau seorang pemimpin yang bermaruah dan bertanggungjawab kerana insiden itu berlaku dalam negaranya. Mungkin bagi baginda, ia melibatkan maruah dan kedaulatan negara apabila pihak negara asing secara biadab melakukan ‘clandestine operation’ di negaranya walaupun Jordan hanya sebuah negara kecil di rantau tersebut. Raja Hussein tidak dicanang dan dipalu gong serta tiupan segala jenis serunai sebagai pemimpin agung Islam namun, tindakannya adalah tindakan pemimpin agung. Keagungan pemimpin bukan pada paluan gong dan tiupan nafiri atau serunai, tapi pada sentuhannya.

Dalam kes Kim Jong-nam, siapa orang penting yang bersuara untuk menegakkan kedaulatan negara yang sudah diceroboh hanya atas matlamat politik dalaman Korea Utara? Pemimpin utama negara membisu seribu bahasa dan ada pula yang konon mengatakan semua perkara menyalahkan pemimpin negara. Apakah yang harus dipersalahkan soal kedaulatan negara ini adalah penjual Char Koeteow? Pembacuh teh tarik kedai mamak? Pemungut sampah E Idaman atau Alam Flora? 

Ini soal kedaulatan negara dan oleh kerana itulah kepulauan Spratly dan Batu Putih telah dibawa ke mahkamah keadilan antarabangsa (ICJ) bukan kedai kopi atau lobi hotel. Cukup-cukuplah mempertahankan kegagalan pemimpin dan yang bercakappun bukan tidak pernah berada dalam lipatan sejarah perisikan negara..

“Kezaliman akan terus ada, bukan karena banyaknya orang-orang jahat. Tapi karena diamnya orang baik”

Comments

Popular Posts