Miskin dan Kaya

Salam,

1. Lama tak menulis tidak bererti keinginan menulis juga mati. Cuma ada detik-detik yang menghambat kita dari lembah penulisan tempat berkampungnya idea dan jari-jari yang mencakar dinding maya. Tiba-tiba saja aku teringat akan takrifan kaya dan miskin yang seringkali disalahfahami atas pentas politik cacamerba. Ukuran kaya atau miskin sebenarnya tidak terletak pada pendapatan seseorang tetapi pada perbelanjaannya. Apakah seseorang itu kaya jika pendapatan bulanannya RM10,000 sedangkan perbelanjaan bulanannya pula untuk membantu ibu bapa, keluarga dan pelbagai bebanan yang tidak dapat dielakkan adalah RM11,000? Beliau muflis RM1,000 setiap bulan , sedangkan yang pendapatan bulanannya RM4,000 tetapi tiada tanggungan sehingga mampu menyimpan RM500 setiap bulan. Jika besar pendapatan tetapi tanggungannya lebih besar itu bukan kaya sebaliknya kayap. Sedangkan yang pendapatannya kecil tetapi tidak perlu berbelanja melebihi pendapatan bulanannya itulah lebih kaya dari yang besar pendapatannya.

2. Yang kaya sebenar-benarnya adalah yang pendapatannya besar, wang sampingan besar tetapi perbelanjaannya kecil kerana semuanya ditanggung oleh orang lain ataupun rakyat. Sudah kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana. Apa tidaknya jika Si Miskin pula menjamu yang Si Kaya dengan juadah enak dan hebat . Alangkah kasihannya Si Miskin yang luhur hatinya menjamu orang kaya sehingga anak-anak dibiarkan menggigit jari melihat orang kaya menikmati hidangan dari ibu bapa mereka. Sememangnya masyarakat kita biar makan makanan dalam pinggan sumbing dan retak asalkan tetamu segar dan nyaman dengan pinggan berkilat dan hebat.

3. Sampai bila orang miskin harus menjadi hamba orang kaya dengan kerelaan mereka sendiri. Tahukah kita bahawa wakil rakyat, exco dan menteri-menteri itu adalah pelayan rakyat yang mendapat upah hasil keringat rakyat? Lihat saja bagaimana agihan kekayaan yang kabur dan penuh dengan kesamaran akibat angka-angka yang dimanipulasi? Apa bezanya yang mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dengan gaji RM2,900 sedang yang gajinya RM3,001 tidak diluluskan pemberian BR1M? Jika sekarang dinaikkan kepada bawah RM4,000 sedang teman seorang yang lain gajinya RM4,050 apakah ini jurang atau sempadan keadilan yang membezakan kelayakan seseorang? Mungkin dia bergaji RM4,500 tetapi tanggungannya sehingga RM5,000 sedangkan yang gajinya RM3,900 tetapi belanja bulanan hanya RM3,000. Pemisah antara keduanya adalah bebanan dan perbelanjaan bukannya pendapatan. Bayangkan jika gajinya RM3,900 sedangkan isterinya berniaga secara online sehingga pendapatan mencecah RM5,000.

4. Mungkin pembela BR1M akan berkata itu soal integriti tetapi sejauh ini sudah berapa ramai yang integritinya sudah disukat dan diukur untuk diambil tindakan? Mungkin Ketua Pengarah satu jabatan itu bijak dalam soal mengukur hingga 1 sentimeter sudah disaman dan dileteri hingga berbuih lubang telinga pesalah yang mendapat habuan itu. Ketua Pengarah itu dan jabatannya boleh dipertanggungjawabkan untuk membantu kerajaan dalam soal ini. Selagi kerajaan mampu berboros, apa salahnya secebis keborosan itu ditumpahkan ke atas pinggan-pinggan sumbing rakyat yang amat pedih mengharungi kesengsaraan hidup yang tidak pernah kuncup. Bantulah rakyat walaupun tidak mendapat pujian manusia kerana insyallah kebaikan yang dialirkan dengan penuh keikhlasan akan mendapat barakah di dunia dan akhirat. Tulisan santai begini bukan untuk mencabar daya intelektual mana-mana pihak hanya sekadar menuntun pemimpin agar merunduk bersama-sama rakyat berpimpin tangan berdepan tantangan sosial, ekonomi, politik dan keselamatan yang kian meruncing. Ringan sama dijinjing dan berat sama-samalah kita memikul. Kita tidak akan mampu hidup kembali menjadi Bung Karno, tetapi jika apa yang pernah diungkap olehnya dijadikan teladan, alangkah baik sekali. Katanya, "Aku tidak mau mengambil sesuatu dari rakyatku. Aku justru ingin memberi mereka" dan insyallah rakyat makin sayang walaupun tanpa BR1M.

Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts