In the land of the blind

As-Salam,

1.   Alangkah indahnya kata-kata Dr. 'Aid bin Abdullah Al-Qarni, "Rasa sakit yang sedetik itu terasa bagaikan sehari dan kenikmatan yang sehari itu terasa bagaikan sedetik. Malam yang bahagia itu terasa sangat pendek, sedangkan malam yang penuh kedukaan terasa sangat panjang dan berat." Namun, kegelapan malam ini tidak akan ku sia-siakan hanya untuk merasa sedetik atau sepanjang malam. Aku hanya ingin menitipkan kisah politik yang berbisik sejak matahari masih gagah menghamburkan cahayanya siang tadi yang kini berganti bulan dan bintang. Sejak siang tadi aku terbaca dan terdengar bualan yang mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah akan membuat 'political come back' dan aku berfikir sendirian akan bualan-bualan itu. Ia memang benar, nama Tengku Razaleigh Hamzah kini kembali meniti bibir penggemar politik apabila menyentuh mengenai pengganti Najib. Najib ingin meletak jawatan? Tidak! Siapa cakap? Entahlah! Tak ada yang cakap tetapi umumnya, jika dengan hati yang luhur dan ikhlas dikutip-kutip di jalanan hingga ke Putrajaya, itulah harapan majoriti rakyat negara ini ketika mereka sedang bergelut dengan himpitan ekonomi dan masalah sosial serta politik yang berlarutan tanpa menampakkan tanda-tanda akan reda malah semakin kuat menghempas. Dari masalah jenayah, kegawatan masalah dalam masyarakat, rasuah hinggalah kepada masalah periuk belanga dan almari pakaian yang dipenuhi duri. Jika ada yang tidak mahu Najib melepaskan jawatan nombor satu negarapun sekalipun hanyalah di kalangan mereka yang mendapat habuan dan nikmat hasil sokong membawa rebah itu. 

2.   Mungkin ada yang berkata tidak wajar memberi pandangan sebegini terhadap kepimpinan negara. Rasanya, daripada mempunyai pandangan disaluti kemunafikan, lebih baik pandangan jujur dan ikhlas tanpa dorongan atau ugutan walaupun ianya hanya dari insan bergelar marhaen. Daripada mempunyai pandangan untuk membazir wang berjuta-juta hanya untuk sebentuk cincin, lebih baik saya berfikir sebegini. Sebenarnya menyokong atau sebaliknya kepimpinan negara adalah hak rakyat yang termaktub dalam perlembagaan negara. Yang tidak dibolehkan adalah apabila tindakan tidak menyokong itu diterjemahkan kepada tindakan subversif, tindakan yang menjejaskan keselamatan negara atau yang menyebabkan huru-hara dalam negara serta bertentangan dengan mana-mana undang di negara ini atas alasan menggulingkan kerajaan secara tidak sah. Jika sekadar meluahkan pandangan daripada seorang rakyat yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik mahupun sebagai ahli dan juga mana-mana NGO, apalah sangat kesannya kepada senario politik negara. Ia tidak lebih bagai air titik ke batu sahaja. Ianya hanyalah manifestasi perasaan daripada yang tersimpan dalam hati dan minda kepada catatan maya yang boleh dikongsi bersama-sama teman yang seiring atau pembenci yang mengiring. 

3.   Kenapa harus ada perubahan kepimpinan dari yang ada sekarang kepada yang lain? Perubahan perlu apabila sesuatu atau seseorang itu tidak lagi membawa manfaat kepada majoriti rakyat. Pemimpin tidak dipilih atau dilantik hanya untuk menjadikan diri dan keluarga, atau suku-sakatnya sahaja yang hidup senang. Jika negara makmur maka rakyat seharusnya dimakmurkan bukan pemimpin. Jika negara kaya maka rakyat lah sewajarnya mendapat manfaat daripada kekayaan negara. Jika negara sedang berdepan kegawatan dan kemunduran, pemimpin harus bijak mencari solusi bagaimana kegawatan dan kecelaruan yang dihadapi negara dapat diatasi. Adalah tidak wajar ketika negara mewah dan makmur pemimpin bersuka-ria dan ketika kedudukan ekonomi meruncing juga mereka terus bercanda dan berkinja sedangkan beban perlu diheret dan dipikul rakyat jelata. Apa yang berlaku dalam negara sekarang menunjukkan betapa sindrom kecelaruan kepimpinan dan tatacara pengurusan negara sudah seperti bahtera tanpa nakhoda sedangkan barisan nakhoda dan pembiayaan mewujudkan barisan nakhoda masih ditanggung anak kapal dan penumpang. Maka untuk kesekian kalinya, elok dibuat analisis senario politik negara untuk sama-sama difikirkan jalan terbaik meletakkan kembali haluan bahtera di laluan yang betul. Jika perlu diganti nakhoda apa salahnya? 

4.   Analisis senario politik pertama ini melihat dari perspektif barisan kepimpinan UMNO yang ada tanpa mengambil kira kerajaan yang ada akan digantikan dengan Pakatan Rakyat (PR). Melihat daripada barisan kepimpinan UMNO yang ada, sekiranya perlu dilakukan penggantian pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan (PM), daripada penilaian yang dapat dilihat ketika ini, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagi Kuli merupakan calon terbaik untuk menggantikan Najib. Ini tidak bermakna bahawa Kuli adalah calon terbaik malah jauh dari sempurna sebagai pemimpin. Walaubagaimanapun, mengandaikan manusia yang berada di sebuah pulau di mana semua penghuninya buta, maka yang buta sebelahlah paling layak menjadi raja. Pepatah ada menyebut, "in the land of the blind, the one-eyed man is king". 

5.     Dalam situasi negara ketika ini, nampaknya Kuli adalah insan buta sebelah mata yang perlu dijulang sebagai raja apabila yang lain-lainnya samada semulajadi atau ditimpa kemalangan sehingga buta kedua-dua mata. Kecacatan penglihatan ini memerlukan seseorang yang mampu melihat untuk mengetuai rakyat yang tidak ada pilihan lain selain seseorang yang mempunyai kelebihan dari yang lain walaupun sedikit. Siapa lagi yang diharapkan untuk menggantikan Najib di kalangan pemimpin UMNO ketika ini? Muhyidin adalah antara pilihan yang ada selain Kuli jika Kuli dianggap akan menyebabkan kem Muhyidin memprotes langkah tersebut walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan utama UMNO di peringkat pusat. Namun, pengalamannya sebagai bekas Menteri Kewangan yang satu ketika dulu agak baik rekod perkhidmatannya, sekurang-kurangnya boleh dijadikan sandaran untuk berpencak berdepan mereka yang berhingus-hingus kecanduan jawatan nombor satu negara itu. Pengalamannya bersaing dengan Tun M dengan kekalahan tipis di tangan mantan PM itu pada tahun 1987 adalah senjata utamanya untuk mengukuhkan andaian bahawa beliau paling layak buat masa ini bagi jawatan nombor satu negara atau setidak-tidaknya jawatan nombor dua dengan membantu Muhyidin menerajui negara.

6.      Jika mahu diharapkan kepada ketiga-tiga naib presiden UMNO yang ada ketika ini termasuk Ketua Pemudanya yang telah terpahat sejarah hitam ketika bersama bapa mertuanya dulu menelanjangkan UMNO hingga jatuh terduduk dalam PRU ke 12 dan buat pertama kalinya BN gagal meraih 2/3 kerusi parlimen, sememangnya umpama menempah keranda dan liang lahad buat BN dan UMNO dalam PRU 14 nanti untuk berketuakan keempat-empat pemimpin UMNO ini.  Kesemua Naib Presiden termasuk Ketua Pemuda UMNO sehingga kini masih tidak menampakkan cahaya yang mampu menjernihkan kekeruhan lubuk politik yang kian bergolak samada dalam negara dan UMNO sendiri. Parti-parti komponen BN yang lain samada MCA, MIC, PGRM dan komponen di Sabah dan Sarawak jika rakyat yang tidak buta dan pekak semestinya mengetahui bahawa mereka hanyalah lalang yang menanti masa untuk bertiup mengikut angin yang kuat. Baik dari sudut latarbelakang dan pencapaian masing-masing ketiga-tiga Naib Presiden dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini sudah cukup membuktikan ketidakcekapan memegang jawatan penting apatah lagi nombor satu. Jika diulang-kitar kenyataan dan rekod perkhidmatan mereka sejak awal lagi sudah memperlihatkan betapa tidak konsistennya mereka memegang prinsip perjuangan malah di setiap jawatan di kementerian yang diamanahkan juga tidak ada kecemerlangan prestasi yang boleh dibanggakan. Kelemahan mereka jika nak disenarai satu persatu mungkin hanya menjadikan penulisan ini bahan cemuhan, maka adalah lebih baik jeling-jeling dan pandang-pandang kisah-kisah yang berlaku sebelum ini sebagai renungan. Jika situasi sosial, ekonomi. politik dan keselamatan negara dalam keadaan yang baik, kemungkinan mereka dipertimbangkan untuk berada dalam saingan ke jawatan itu mungkin dapat diberi, namun dengan situasi yang amat parah ketika ini, hanya yang terbaik (in the land of the blind) sahaja boleh membawa keluar rakyat dari kemelut yang kian kalut ini. 

7.    Rakyat tidak lagi mampu berdepan risiko untuk diperjudikan oleh kelompok kepimpinan UMNO yang ada sekarang memandangkan masa kian suntuk. Melambat-lambatkan peralihan atau salah pilih calon hanya menjerumuskan negara ke kancah kehancuran yang sukar dibayangkan betapa sengsaranya rakyat nanti. Jika ada pula yang berkata kenapa tidak memilih pemimpin lebih baik di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR)? Jawab saya mudah, ini adalah analisis senario pertama daripada beberapa pilihan lain yang ada. Untuk pilihan analisis senario lain dengan mengambil kira pemimpin PR, sila tunggu episod selanjutnya. Jika Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki punya analisisnya berhubung senario politik di Selangor sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang dan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), apa salahnya saya yang tidak mempunyai sebarang jawatan baik di dalam parti, keahlian dan juga sebarang NGO ini mempunyai analisis tahap rendah seperti ini? Setidak-tidaknya saya tidak menyembunyikan analisis atau penilaian saya dari pengetahuan umum. Kuli atau Muhyidin? Atau mungkin ada yang lebih berupaya menggarap idea yang super cerdas memimpin rakyat menuju sebuah negara yang makmur, aman dan sejahtera kenapa tidak? 

8.     "Ketahuilah! Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggung-jawaban atas kepemimpinan-mu" sabda Rasulullah Muhammad SAW. Oleh itu jika tidak bertanggungjawab, apakah menjadi kesalahan mereka diganti? Rakyat mengimpikan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri seperti diungkapkan Leroy Eimes, "Pemimpin adalah mereka yang mampu melihat lebih banyak dari orang lain, yang mampu melihat lebih jauh daripada orang lain, serta mampu melihat segala sesuatu sebelum orang lain."

Wallahualam

SANI



Comments

Popular Posts