Majlis Amanah Perlu Amanah

Salam,

1.   Astro Awani melaporkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Majlis Amanah Tanah Melayu yang melibatkan semua negeri diwujudkan bagi melindungi tanah rizab Melayu. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tugas majlis amanah ini pula tidak tertakluk kepada hanya melindungi tanah rizab Melayu namun harus turut memastikan pembangunannya.

2.   Kenyataan keras Khairy Jamaludin atau lebih dikenali sebagai KJ ini turut disambut dengan nada sama oleh Pergerakan Wanita UMNO yang dikemudikan oleh Shahrizat Jalil. Kedua-duanya menjelma seakan-akan Hang Jebat dan Tun Fatimah berpencak mempertahankan bangsa mereka. Alangkah terujanya kita dengan keberanian dan kelantangan kedua-dua mereka untuk mempertahankan bangsa sendiri khususnya tanah rezab Melayu. Malangnya tanah cuma tinggal sekangkang kera baru saja suara nyaring bagaikan tarzan terpacul dari mulut masing-masing. Komen teman saya Sam Ratulinggi di status facebook tadi agak menarik, "lepas hampa dah samun habis hampa pura-pura nak buat majlis amanah. Lawak lah hampa". Komen beliau bernas dan menzahirkan logik dalam kelongsong otak setiap manusia yang rasional. 

3.   Majlis Amanah yang dicadangkan itu bunyinya amat merdu mengalahkan bunyi buluh perindu tetapi jika ditekapkan penapis bunyi di telinga, bunyinya begitu menakutkan kerana amat bingit dan bernanah lubang telinga dibuatnya kerana nada tidak jujur dan tidak ikhlas meletup di sana-sini. Sepertimana pisau yang digunakan dalam kes pembunuhan kejam kerat 18 potong sana sini, yang kejam itu bukan pisau tetapi pembunuhnya. Jika seseorang yang dibunuh menggunakan racun, jangan pula ada yang menyalahkan racun kerana racun tidak bersalah dan yang bersalah adalah pembunuh yang menggunakan racun itu terhadap mangsanya. Begitu juga dengan Majlis Amanah yang dicadangkan ini, Majlis mungkin amanah tetapi yang berada dalam majlis itu nanti dikhuatiri tidak amanah kerana sejarah membuktikan sebaliknya. Sudah banyak majlis yang ditubuhkan dengan objektif dan misi amat sedap didengar tetapi berakhir dengan tragedi. Apakah matlamat penubuhan Pusat Fidlot Nasional (NFC) itu tujuannya tidak baik? Sudah pasti baik dan lebih mengaibkan lagi ia turut dikaitkan dengan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil yang turut mencadangkan penubuhan Majlis Amanah Tanah Melayu ini. Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2011 menyatakan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5000 ekar (2,023 hektar) di  Gemas, Negeri Sembilan. NFC tidak diberikan tanah secara percuma seluas 5,000 ekar Sebaliknya 1,500 ekar (607 hektar) tanah di Negeri Sembilan itu diberikan secara pajakan daripada Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan dan sekiranya berjaya, Malaysia akan menjadi 'Belanda Timur'. Akhirnya apa jadi kepada NFC? Terung Belanda pun tidak nampak bayangnya. 

4.  Yang sebenarnya tidak perlu Majlis Amanah jika pemimpin yang ada selama ini itu amanah. Apa jadi dengan isu penerokaan dan pencerobohan tanah di Cameron Highland sehingga memaksa Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan KDYMM Sultan Pahang campurtangan dalam isu itu? Jika semua pihak amanah dan penguatkuasa amanah dalam menunaikan amanah masing-masing, undang-undang dan peraturan sediada sudah mencukupi untuk melindungi tanah dan insiden seperti itu daripada berlaku. Sejak era kepimpinan Pak Lah dan Najib, setiap masalah yang berlaku akan membawa kepada cadangan penubuhan majlis itu dan ini, agensi ini dan itu atau suruhanjaya baru untuk selesaikan masalah yang sebenarnya tidak sepatutnya diwujudkan kerana hanya akan menambah perbelanjaan yang terpaksa ditanggung rakyat. Sedangkan semua masalah itu berpunca daripada kegagalan pihak atau agensi terlibat untuk menanganinya mengikut bidang kuasa masing-masing. Contohnya dalam isu penyeludupan bahanapi di sempadan negara, dengan adanya Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), KPDNKK, Kastam dan lain-lain agensi berkaitan, semuanya sudah memadai tetapi ianya dirumitkan dengan pelbagai alasan sehingga rakyat yang menerima padah apabila ianya dijadikan sebagai alasan merentap subsidi yang dinikmati rakyat selama ini setelah kesemua mereka gagal menghentikan aktiviti haram itu. 

5.   Sepatutnya, mereka yang gagal melangsaikan amanah itu wajar diambil tindakan tetapi malangnya ia dikisar dan diputar sehingga rakyat yang menjadi korban. Setiap kegagalan dan musibah yang muncul sebaliknya akan mewujudkan peluang baik kepada mereka yang sepatutnya diambil tindakan atas kegagalan itu. Mereka yang gagal itu pula akan diberi tambahan pangkat, ditambah kekuatan dan perjawatan malah muncul entiti atau unit-unit baru yang memerlukan tambahan kos pengurusan dan 'maintanance' seperti yang berlaku di Sabah. Umum mengetahui, ESSCOM yang penubuhannya sudah genap setahun menelan perbelanjaan lebih RM200 juta, seolah-olah tidak memberi kesan dan impak terhadap kawalan keselamatan. Tahap keselamatan terus mengundang risiko dan kejadian culik di perairan Sabah belum menampakkan ada tanda-tanda jaminan ianya tidak akan berulang. 

6.   Oleh yang demikian, rakyat rasa terpanggil untuk bersuara bahawa tidak salah adanya Majlis Amanah Tanah Melayu, namun, ianya hanya akan sia-sia dan lebih membuang masa dan wang ringgit untuk tujuan itu. Apa yang lebih penting adalah melahirkan insan-insan yang amanah untuk memikul amanah yang diamanahkan. Ingatlah wahai manusia bahawa yang paling berat itu adalah amanah. Surah Al-Azab ayat 72 berbunyi "Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung ganang dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah s.w.t meminta mereka menjadi (khalifah) pemimpin didunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupinya dan sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah".

Wallahualam

SANI. 


Comments

Popular Posts