ALASAN PINTU PEMBOHONGAN

Salam,

1. Harga bahanapi diesel dan RON95 gempar lagi bila kerajaan mengumumkan bakal melenyapkan subsidi mulai 1 Disember 2015 ini. Dalam pengumuman itu tambahnya akan dibuat 'apungan terkawal' terhadap harga kedua-dua jenis bahanapi itu. Apa takrifan 'apungan terkawal' ini hanya yang umumkan lebih mengetahui. Bagi rakyat, bila subsidi ditarik sepenuhnya, risiko kenaikan bukan saja terhadap bahanapi itu, harga barang-barang dan perkhidmatan pengangkutan awam juga turut diheret. Kos penghantaran kurier seperti pos laju dan lainnya pasti akan meningkat kerana kenderaan yang menghantar bungkusan atau kiriman tidak menggunakan air longkang atau air hujan.

2. Dalam menjustifikasikan langkah kerajaan itu, Najib mengatakan antara punca langkah ini dibuat adalah bagi mengekang tindakan penyeludupan bahanapi ke negara jiran termasuk warga asing turut menikmati manfaat daripada subsidi yang diberi. Mungkin jika kita di negara asing kerajaan di sana juga menyekat daripada kita membeli barang-barang yang diberi subsidi tidaklah diketahui kerana saya bukan pelancong dan insan istimewa dapat rahmat untuk melancong ke sana sini. Pemerintah negara lain juga mungkin tidak ada naluri keinsanan terhadap pelancong yang ada di negara mereka agaknya.

3. Jika alasan penyeludupan yang menjadi beban kepada pemerintah, maka ianya amat mengecewakan rakyat kerana alasan itu terlalu dzaif untuk dijadikan asas untuk merentap subsidi yang dinikmati oleh rakyat. Penguatkuasa yang bertanggungjawab terhadap mengawal penyeludupan dan kawalan terhadap bahanapi bukan sedikit jika dilihat secara rambang sekalipun. Negara punya Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Polsi Diraja Malaysia (PDRM) dan UPP khusus untuk membanteras penyeludupan di sempadan, 
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menjadi tulang belakang mengawal harga dan bahanapi ini. Tetapi amat malang semuanya longlai dan tewas dengan kelicikan serta kecekapan penyeludup yang tidak mendapat latihan atau kursus dari mana-mana pusat latihan atau akademi penyeludupan.

4. Apa punca sebenar kelonglaian dan ketewasan pihak penguatkuasa kepada penyeludup? Penyeludup lebih hebat? Ilmu apa yang digunakan? Apakah penguatkuasa tidak mendapat latihan dan kursus berkaitan tugas mereka? Tidak mungkin itu adalah jawapannya kersana semua agensi yang ada itu mendapat latihan hingga ke luar negeri. Jika kecekapan masih tidak mencukupi, elok dapatkan khidmat jurulatih dan tenaga pengajar luar yang hebat. Jika, tidak mampu juga menandingi penyeludup, elok dapatkan khidmat latihan dari penyeludup antarabangsa yang terhebat untuk mengatasi masalah kekurangan latihan ini dan jangan malu untuk belajar dari mereka setelah kita sendiri akui kita tidak berjaya menandingi mereka. Jika pasukan bolasepak, badminton dan lain-lain sukan boleh berbelanja jutaan ringgit sebulan untuk melatih skuad negara dan negeri, kenapa tidak boleh dilakukan perkara sama kepada penguatkuasa yang jauh lebih penting kepentingannya kepada negara dan rakyat? Bukankah keutamaan rakyat kepada keselamatan dan kehidupan yang selesa menjadi keutamaan setiap pemerintah?

5. Apabila kita sudah melatih sebaik-baiknya penguatkuasa negara, jika masih terus berlaku pembolosan barang-barang kawalan, barang-barang merbahaya seperti senjatapi dan juga apa juga yang ditegah masuk dan keluar, ketika itu mereka perlu dipertanggungjawab sepenuhnya. Sudah dibekalkan peralatan logistik dan kemahiran secukupnya masih berlaku BOLOS dan TEROBOS, maka apa lagi yang dapat mereka jadikan alasan? Oleh itu, kenapa penyeludupan yang dijadikan sebagai masalah untuk menjustifikasikan tindakan mendera rakyat? Rakyat dihina sebagai subsidi sedangkan syarikat gergasi dan dinosor disebut suntikan yang entah berapa besar jarumnya dan bila dibayar semula hanya para malaikat, iblis dan Allah swt yang tahu.

6. Manusia perlukan kewenangan untuk buktikan kewujudan mereka dan kewujudan mereka tidak bermakna jika ianya dipenuhi pagar berduri. Pagar-pagar berduri itu adalah kehidupan yang tidak mampu memutuskan bagaimana untuk terus hidup apabila keadaan ekonomi yang sempit membatasi kewenangan mereka. Semuanya berpunca daripada kehidupan yang kian berpasak kepada mementingkan diri sendiri serta suku-sakat dan meminggirkan janji serta sumpah yang dibuat ketika menerima jawatan dan pangkat yang disandang. Sabda Rasulullah Muhammad SAW, "Ketahuilah! Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinanmu.". Tidak akan ada seorang pun manusia yang akan dapat melepaskan diri dari pertanggungjawaban ini.

7. Kata Leroy Eimes, "Pemimpin adalah mereka yang mampu melihat lebih banyak dari orang lain, yang mampu melihat lebih jauh daripada orang lain, serta mampu melihat segala sesuatu sebelum orang lain." Jika inilah ciri-ciri yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin yang menerajui negara, insyallah segala permasalahan yang didepani ketika ini jika tidak dapat dipupuskan, setidak-tidaknya tidak membiak dan berkembang menjadi parah malah akan berkurangan. Pesanan saya kepada pemimpin-pemimpin, KERAHSIAAN itu sebahagian dari pra-syarat dalam setiap peperangan samada konvensional, gerila mahupun memerangi jenayah dan keganasan. Oleh itu, tidak perlulah diwar-warkan operasi yang bakal dilaksanakan hanya untuk menjadi POPULIS. Rakyat tidak perlukan populis tetapi perlukan pelindung dan pembela rakyat. Politikus bersepah tetapi negarawan sukar dicari. Memetik kata-kata 
James F. Clark, "Politikus memikirkan pilihanraya umum yang akan datang,
negarawan memikirkan generasi yang akan datang". 

Wallahualam

SANI


Comments

Popular Posts