BOHONG!

Salam,

1.   "Teruslah berbohong untuk kejayaanmu, itulah caramu untuk menghancurkan hidupmu sendiri" kata seorang teman dalam tulisannya. Menarik dan tersentuh dengan kata-kata itu, aku terasa untuk menulis secebis pengkisahan tentang BOHONG. Manusia selalu lupa tentang harga sebuah keyakinan yang sukar disebut dengan kata-kata malah menjadikan BOHONG sebagai pakaian seharian.

2.   Bohong dilakukan bukan saja di kalangan orang bawah malah yang di atas sana lagi banyak dan kuat berbohong. Dari penganggur, tukang cuci hinggalah orang nombor satu negara semuanya berbohong. Yang berniaga berbohong cara berniaga dan yang membeli bohong cara membeli. Mana tidaknya, peniaga berbohong timbangan walaupun 1miligram juga mahu berbohong dan buah yang sudah busuk tidak boleh dimakan terus dijual. Sambal sotong yang sudah berhari-hari tidak laku terus dijual dan membohongi pelanggan kononnya sotong baru dengan harga baru. Ikan di pasar malam dijual dalam pinggan kenapa perlu ditekap pinggan dibawah ikan? Untuk menunjukkan betapa banyak dan murahnya harga ikan dengan jumlah itu? Apakah pembeli ingin dibohongi bahawa ikan 1kg sedangkan 1/2 kg? Sementara si pembeli pula makan ikan keli goreng 2 ekor diberitahunya seekor, udang goreng pula ditimbun-timbun disembunyikan dibawah nasi malah ada selepas makan terus berlalu tanpa membayar. 

3.   Tukang cuci berbohong dari ponteng kerja hinggalah culas membersihkan apa yang patut dicuci. Majikan pula mungkin menipu KWSP atau caruman-caruman lain. Petani juga ada yang berbohong soal subsidi baja yang tak layak mengaku layak sepertimana juga pembohongan dalam mendapatkan BR1M. Penguatkuasa pula berbohong tentang indeks jenayah yang tinggi dikatakan rendah, makcik ke balai polis dengan hajat membuat laporan polis dia diragut oleh peragut, tetapi sampai di balai polis ditulis dalam laporan bahawa tercicir untuk elakkan kertas siasatan dibuka. Orang yang tak layak ditahan untuk sesuatu kesalahan dikatakan akan ditahan selama 1 minggu misalnya untuk menakut-nakutkan yang ditahan dengan tujuan mendapatkan rasuah walaupun sebenarnya majistret tidak akan mengeluarkan reman atas kesalahan sedemikian. Semuanya kerana BOHONG. 

4.   Pemandu teksi pula berbohong jumlah tambang dengan meter yang telah diubahsuai dan ada penumpang pula bohong nak ke sana dan ke sini sampai di hujung lorong disamunnya pemandu teksi. Isteri bohong suami dan suami bohong isteri. Semakin tinggi nilai bohong itu semakin hebat lakonan di rumah nanti untuk menutup pembohongan yang telah dibuat terhadap pasangan masing-masing. 

5.   Dunia politik apatah lagi bergelumang dengan pembohongan. Ramai yang berkata "kalau tak bohong bukan politik". Para Nabi dan Rasul serta pemimpin-pemimpin Islam dahulu juga berpolitik dengan membawa risalah Islam dan ternyata mereka berjaya. Apakah mereka juga berbohong? Jawapannya TIDAK!. Semuanya kerana mereka tahu tentang bahaya bohong dan bukan sifat para Nabi dan rasul serta pembawa risalah agama untuk berbohong. Apakah tidak bohong jika berkata harga bahanapi tidak akan naikkan sehingga pertengahan tahun hadapan tetapi tidak sampai seminggu sudah melakukan sebaliknya? Malah tidak langsung ada rasa kesal untuk menyatakan rasa maaf atas pembohongan itu. Janji dalam manifesto berjurai-jurai sampai ke dasar lautan tetapi sebaik habis pilihanraya sehingga datang pilihanraya yang baru, manifesto baru pula yang dicanangkan walaupun yang lama sudah menjadi 'pekasam'. Yang berpolitik di peringkat bawah pula akan menipu 'bos politik' masing-masing dengan memuji dan menyatakan rakyat majoritinya mendokong pemimpin dan parti diwakili mereka sedangkan hakikat sebenar pengundi menunggu masa untuk menempeleng muka pemimpin itu jika berada di hadapan mereka. Untuk memenuhkan kantung sendiri maka dibohongi lagi dengan kata-kata perbelanjaan itu dan ini dibuat sedangkan semua tuntutan itu hanya BOHONG. Alangkah sedihnya melihat bohong telah menguasai masyarakat. 

6.   Yang bertopengkan agama semakin membiak di sana sini di mana sejak akhir-akhir ini berlumba-lumba manusia untuk bergelar ustaz dan pendakwah yang tidak lagi kerana agama dan Allah swt. Semuanya untuk wang dan habuan di mana ribuan ringgit akan dibayar setiap kali ceramah dibuat tidak termasuk tempat penginapan, makan dan minum. Maka hadirlah ulamak-ulamak muda dalam parti politik mempertahankan parti masing-masing dengan hadis dan ayat suci Al-Quran bagi meyakin rakyat bahawa tindakan pemimpin parti mereka itu benar di sisi agama. Ustaz ini begini ustaz itu begitu. Diserunya masyarakat berdoa ketika mendapat musibah dan ujian dari Allah tetapi diri sendiri bertegang leher untuk menegakkan benang basah. Hanya disebabkan perbalahan air cucur atap telah dibawa hingga ke mahkamah walaupun kedua-duanya adalah pendakwah dan bergelar Dr yang menjadi idola masyarakat dan juga tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam. Sebelum ini seorang yang bergelar ustaz dan menjadi tenaga pengajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di utara semenanjung telah dilaporkan meminta habuan seks daripada pelajar untuk meluluskan subjek yang diajar. Apakah ini bukan BOHONG bukan saja kepada masyarakat tetapi juga Allah swt? Pengalaman aku tentang seorang pakar motivasi yang dikenali sebagi ustaz dan gah sehingga kini berceramah tetapi malangnya telah beberapa kali naik turun mahkamah kerana kes ditipu. Ditipu tidak salah tetapi punca ditipu itu yang rasanya tidak sesuai dengan gelaran yang diterimanya. Ditipu oleh seorang bekas anggota polis yang dibuang kerja hanya disebabkan tamak untuk mendapatkan tender kereta-kereta lelong oleh pihak kastam. Akhirnya puluhan ribu ringgit menjadi makanan pembohong akibat kerakusan sendiri. Bagaimana dia mahu memotivasi orang lain jika diri sendiri perlukan motivasi kendiri? Memang tukang gunting rambut perlu digunting rambut, tetapi jangan lah sampai dibotakkan kepala akibat digunting oleh orang buta atau gila. Punacnya kerana apa kalau bukan BOHONG?

7.  Yang kononnya benar-benar beribadat kepada Allah tidak kurang juga berlumba-lumba menjadi pembohong. Mereka bukan saja berbohong pada manusia malah berbohong pada Allah swt atas tiket syurga yang sudah ditempah. Luar nampak ibadahnya kepada Allah sedangkan hatinya berbisik-bisik ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. Apakah Allah tidak tahu? Bersedekah dan berderma dengan dipenuhi media atas jemputan dirinya atau wakilnya di hadapan 'mock cheque' gergasi dan anak-anak yatim untuk apa? Anak-anak yatim juga hanya mendapat ihsan ketika Ramadan dan selepas Ramadan hilanglah pelakon-pelakon handalan yang menjadi pembohong. Bohong, bohong dan bohong semakin berleluasa  kerana mungkin BOHONG sudah dianggap biasa dan mereka tidak mendapat hukuman atas pembohongan mereka itu.  

8.  Bohong sama juga seperti menipu timbangan. Pembeli membeli 1kg buah tidak mungkin dibohong oleh penjual dengan timbangan 1kg juga. Jika 1kg yang ditipu maknanya pulang dengan tangan kosonglah dan tidak juga 1/2 kg buah yang dibeli akan dibohong kerana akan jelas pembohongan itu. Kebiasaannya beberapa miligram akan dibohongi. Begitulah dengan fitnah dan bohong yang dilakukan, tukang bohong cerita akan berbohong sedikit atau separuh dari cerita sebenar untuk meyakinkan mangsa bohongnya. Namun demikian, selain dosa, samada yang dibohong atau pembohong itu sebenarnya sedang menebar dosa bersambung-sambung atas malangnya orang yang difitnah. Nilai keyakinan orang lain terhadap pembohong akan hilang dan ini akan menyebabkan masyarakat dan sistem kehidupan punah-ranah. 

9.  Bohong adalah penyakit yang menghinggapi masyarakat di segala zaman. Ia adalah penyebab utama bagi timbulnya segala macam bentuk kejelekan dan kerendahan. Suatu masyarakat takkan lurus selamanya jika perbuatan bohong ini bermerajalela di antara mereka. Dan suatu bangsa takkan dapat menaiki tangga kemajuan kecuali berlandaskan kejujuran.

10.  Perbuatan bohong akan menimbulkan rasa saling membenci sesama kita. Rasa saling mempercayai antara sesama manusia akan hilang, dan akan tercipta suatu bentuk masyarakat yang hanya hidup atas nama BOHONG. Apabila bohong sudah menjadi raja dan ratu dalam tubuh masyarakat, maka hilanglah rasa kasih sayang, kasihan mengasihani serta keakraban akan meminggir dari kalangan mereka. 


11.   Ingat bahawa burung tidak pernah salah masuk sangkarnya walau sejauh mana dan selama mana ia terbang. Begitu juga manusia, berapa lama kamu hidup, pastinya kamu akan pulang kepada asalmu. Jauhi BOHONG dan ingatlah bahawa seindah mana kehidupan ini, pastinya terselit sisi buruknya. Ketika sisi buruk itu datang, tidak ada lagi manusia yang pernah dibohongi akan menghulur tangan untuk membawa kamu keluar dari keburukan itu. Sekali bohong maka kamu akan terus berbohong untuk menutup kebohongan sebelumnya.

Wallahualam

SANI



Comments

Popular Posts