SELAMAT TAHUN BARU CINA @ GONG XI FA CHAI


Sempena Tahun Baharu Cina kali ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua teman, kenalan serta masyarakat kaum Tionghua di negara ini. Sumber menjana ekonomi kebanyakan kaum Tionghua negara ini banyak melibatkan perniagaan tidak kira samada besar atau kecil. Oleh itu, semoga Tahun Baharu Cina tahun ini akan membuahkan lonjakan ekonomi negara yang secara tidak langsung membawa rahmat kepada seluruh rakyat khususnya kaum Tionghua.

Seperti yang dapat kita lihat di seluruh dunia, kedudukan ekonomi sesebuah negara berkait rapat dengan integriti pemimpin dan peminggiran elemen pembaziran dan penyalahgunaan kuasa pemimpin dan pemerintahnya yang memetingkan kroni, kepentingan diri dan kelompok.

Tidak lupa juga demi kepentingan rakyat, negara dan masa depan generasi akan datang, sama-samalah kita memuktamadkan hayat BN hanya sehingga PRU13 sahaja. Saya penuh yakin kaum Tionghua pintar dalam berpolitik seperti yang pernah dibuktikan sebelum ini. Untuk kali ini, kaum Tionghua harus gembelingkan seluruh kudrat bagi memastikan tidak ada satu undipun buat BN yang telah mengkhianati janjinya pada rakyat. 

Harapan saya pada kaum Tionghua di negara ini agar kembalikan semangat tsunami Cina dalam dua pilihanraya lalu untuk menjadi King Maker yang sebenar bukannya King Joker mengaku menjadi King Maker. Kaum Tionghua perlu sedar bahawa King Maker sebenar di negara ini bukannya pengundi Melayu walaupun ada yang tanpa rasa malu mengaku sebagai King Maker. Lihat saja dalam beberapa pilihanraya lalu jelas membuktikan penentu kalah menang sesuatu kawasan pilihanraya adalah pengundi Cina.
Saya mengambil satu contoh sebagai perbandingan buat sahabat semua berdasarkan pengalaman saya ketika itu. DUN Indera Kayangan dalam parlimen Kangar Perlis sebelum PRU13 belum pernah tersembam di kaki pembangkang. Akibat kemarahan pengundi Cina, kini kerusi selamat itu telah berpindah tangan kepada PKR. 

Pernah saya pernah bertanya pada mereka yang membuat taksiran peluang kemenangan dalam PRU13 kenapa mereka begitu yakin DUN Indera Kayangan akan menang dalam pilihanraya itu? Jawab mereka kerusi tradisi BN dan Perlis merupakan negeri ‘simpanan tetap’ BN. 

Taksiran saya DUN tersebut akan kalah berdasarkan pola pengundian mengikut kaum yang banyak mempengaruhi keputusan pilihanraya di negara ini. Banyak alasan karut marut diberikan sebagai justifikasi memenangkan BN di DUN tersebut.. Namun, saya tetap mengatakan Indera Kayangan akan kalah. Kerana apa? Kerana pengundi Cina adalah King Maker. 

Kawasan di mana pengundi Cina melebihi 35% merupakan kawasan bahaya ketika ini buat BN/UMNO kerana undi kaum Cina hampir 'solid' memihak kepada pembangkang. Jika 5% memihak kepada BN pun selebihnya 30 % sudah menjadi modal pusingan pembangkang. 65% undi Melayu bukan jaminan BN menang kerana undi Melayu berpecah kepada PKR, PAS dan DAP tidak termasuk ahli-ahli UMNO yang kecewa atas pelbagai sebab melakukan undi protes samada undi rosak, sokong pembangkang atau terus tidak keluar undi.

Kini muncul PPBM menambah pedih kepada BN/UMNO. Indera kayangan lebih parah kerana pengundi Cina di kawasan itu berjumlah 49.85% berbanding Melayu 44.68%,. Pengundi India hanya 3.92% dan lain-lain kaum 1.55% yang tidak konsisten sokongan mereka.

Peratus Kedudukan ini merupakan petaka kepada BN/UMNO akibat pola pengundian mengikut kaum begitu signifikan sejak beberapa PRU lepas. Jelas dengan peratusan pengundi Cina hampir 50% meletakkan BN/UMNO dalam situasi sukar sementelah perpecahan sokongan pengundi Melayu yang semakin menggelungsur daripada BN kepada pembangkang.

Yakin dan penuh percaya sahabat2 semua pengundi kaum Tionghua adalah King Maker sepertimana dibuktikan di Pulau Pinang, Selangor dan Perak sebelum dirampas secara jijik dari pembangkang. Di seluruh Malaysia samada kawasan parlimen mahupun DUN pengundi Cina adalah King Maker. Maka gunakanlah kad di tangan sebagai senjata mengajar pemimpin dan pemerintah korup lagi penindas. 

BN/UMNO tahu hanya pengundi Melayu satu-satunya talian hayat mereka yang ada dan itulah punca sentimen perkauman ditiup bertalu-talu bagi menjaga jangan undi Melayu pun melayang. Parti yang konon pembangkang tetapi memihak pada UMNO pula dijadikan perkakas mengawal pengundi Melayu di kampung-kampung yang sebelum ini tidak mengundi BN. Taktik ini buat masa ini berkesan memecahbelahkan undi Melayu kepada pembangkang. 

Sebagai King Maker, masyarakat Tionghua negara ini harus jadi penyelamat rakyat dengan memberi undi kepada pembangkang dan elakkan pertelagahan dengan semua parti tanpa mengira kaum, agama, ideologi dan matlamat selagi mereka berhasrat menggantikan BN/UMNO. Rakyat sudah sekian lama menderita dalam selimut kesengsaraan angkara pemimpin korup dan sistem diselubungi jubah korupsi. Proses menggantikan parti pemerintah perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang iaitu melalui pilihanraya. Dalam tempoh yang semakin singkat, rakyat perlu bersatu tanpa menjadikan kaum dan agama sebagai benteng pemisah.

Happy Chinese New Year dan doakan Malaysia kembali gemilang.

Make Malaysia Great Again

Comments

Popular Posts