MELEPASKAN ANJING TERSEPIT


Hampir setahun lalu saya bertemu seekor anak anjing yang bersembunyi dalam longkang rumah berhampiran rumah saya. Kebetulan saya sering bawa ikan rebus dan makanan kucing biji untuk kucing-kucing di situ. 


Kasihan dengan anak anjing itu setiap hari 2 kali sehari seperti kucing-kucing lain, dia juga diberi makanan sama. setelah hampir setahun menjalani hidup umpama anak sendiri, anjing yang sudah dewasa, dia ditangkap majlis daerah dengan bantuan JPAM pada malam Jumaat atas alasan aduan jiran di situ. Saya fikir sebaiknya Tuhan jadikan dia anjing dan anjing itu jadinya manusia agar dia mampu berfikir betapa sukarnya menjadi anjing. Alex nama saya beri pada anjing itu diberitahu akan disuntik mati selepas dua hari. 

Dengan bantuan jiran depan rumah yang juga animal lover, kami berjaya dapatkan nombor telefon pegawai majlis daerah itu untuk dapatkan Alex semula. Jumaat, Sabtu dan Ahad yang kebetulan hari keputeraan Sultan Kedah cuti umum terasa amat panjang. Malam dia ditangkap saya tak dapat tidur menantikan hari Isnin.

Pagi Isnin jam 10 pagi seperti dijanjikan kami sampai di Jabatan Veterinar Kubang Pasu tetapi gagal ambil Alex kerana kononnya [pegawai veterinar untuk beri suntikan pada Alex tidak ada dan kami diarah datang sebelah petang jam 3:30 petang. Alex berjaya kami ambil petang itu dengan keadaan yang menyedihkan dalam sangkar bersama enam ekor lagi anak anjing yang akan disuntik mematikan.

Alex dibawa pulang dengan pikap saya dan ditempatkan di rumah jiran Cina selang 3 buah rumah. Tetapi jiran ini jarang datang ke rumah itu kerana tinggal di Simpang Empat Alor Setar. Rumah itu umpama rumah persinggahan dan seperti biasa saya ke rumah itu dua kali sehari bawa nasi, ikan rebus dan makanan biji. Alex seakan tahu saya menyelamatkan dia umpama ketika tersepit. Saya sudah sebati dengannya mungkin dianggap daddynya. Kasih sayang tanpa sempadan manusia dan haiwan.

Kini saya lebih faham melepaskan anjing tersepit lebih baik dari melepaskan manusia tersepit. Anjing tersepit tidak menyakiti saya tetapi manusia tersepit seringkali menyakiti saya secara mental, spritual dan ada masanya fizikal.

Kita perlu berlaku adil bukan saja pada manusia bahkan semua makhluk di muka bumi ini kerana bumi milik semua bukan saja untuk kita.

Malaysia milik semua bangsa, agama dan kepercayaan politiknya.

Salam Perpaduan Rakyat Malaysia.

Comments

Popular Posts