BERANTAKANKAH KITA NANTI?


Politik tanah air kita makin hari makin menyerlahkan kedunguan tahap kritikal. Rakyat dimomokkan dengan pelbagai lafaz dalam bentuk ugutan, ancaman, paksaan dan perintah yang hanya selayaknya diungkap oleh tirani-tirani yang dah berkubur.

Setiap kali ada seruan untuk menukar kerajaan sedia ada maka bertali arus kenyataan-kenyataan balas dari parti pemerintah dan tidak ketinggalan aparatus-paratus yang mendapat upah dari wang rakyat bahawa negara akan hancur, musnah, punah binasa dan porak peranda jika bertukar parti pemerintah ke tangan pembangkang. Tidakkah sebenarnya memilih parti pemerintah dan pemimpin dalam pilihanraya itu mengikut lunas undang-undang? 

Umum mengetahui bahawa peti undi atau pilihanraya itulah simbol pendemokrasian sistem pemerintahan negara yang termaktub dalam perlembagaan dan seiring dengan trend politik yang dijunjung oleh majoriti negara-negara di dunia. Negara ini bukan negara komunis yang tidak membenarkan rakyat memilih kerajaan yang diidamkan mereka.

Benarkanlah rakyat memilih siapa dan parti mana yang akan memimpin negara yang tercinta ini selagi mengikut garis dan sempadan undang-undang negara. Jangan perlekehkan tahap intelektual rakyat dengan menganggap mereka begitu tolol untuk membezakan antara penjahanam negara dan penyelamat. 

Amerika, Britain, Peranchis, Australia dan Indonesia malah Thailand yang berlaku rampasan kuasa tentera pun silih berganti parti pemerintah tetapi negara mereka tetap aman dan keselamatan berada pada peringkat yang cukup baik. Ekonomi negara mereka juga lebih baik dari Malaysia yang tidak pernah berganti parti pemerintah. Lihat saja perbezaan nilai matawang antara 'ringgit' dan nilai matawang mereka.

Jika berlaku konflik dan huru-hara di negara-negara inipun adalah berpunca daripada keganasan oleh kumpulan-kumpulan atau sel-sel gerombolan pengganas antarabangsa seperti DAESH, Al Qaeda dan sebagainya. Serangan pengganas tidak mengenal erti belas kasihan tanpa mengira parti mana sekalipun yang memerintah. Sasaran dan matlamat mereka adalah mengkucar-kacirkan negara yang disasarkan bukan disebabkan parti politik mana yang memerintah.

Negara mempunyai pasukan keselamatan dan agensi perisikan yang ulung sudah pasti akan dapat mengenalpasti ancaman yang mungkin berlaku jika berlaku pertukaran parti pemerintah. Itulah tanggungjawab mereka yang disandarkan harapan begitu tinggi oleh seluruh rakyat. 

Negara menjadi huru-hara bukan disebabkan bertukar parti pemerintah tetapi disebabkan yang kalah enggan menerima kekalahan termasuk golongan yang sedang nyaman menikmati 'status-quo'. Soal inilah yang seharusnya intel dan pasukan keselamatan fokus setiap kali adanya pilihanraya kerana negara akan tetap aman jika yang kalah bersedia menerima kekalahan dan yang menang tenang dan rasional menyambut kemenangan.

Menjadi pemimpin berjiwa besar menerima kekalahan bukan seperti lahirnya anai-anai melimpah ruah. Memilih pemimpin harus seperti kata Anies Baswedan, "pemimpin itu harus tulus, ketika dipuji dia tidak terbang, ketika dicaci dia tidak tumbang".

Masalah dengan kita adalah kita memilih kesempurnaan dan calon yang kita pilih sudah pasti tidak sempurna. Inilah punca kekecewaan. Jangan bandingkan parti pembangkang dengan kesempurnaan pastinya kita akan kecewa. Bandingkan calon dan parti yang kita akan pilih dengan lawannya maka di sana kita akan ketemu jawapannya.

Akhir kalam, samada parti pemerintah atau pakatan pembangkang, dalam menuju pilihanraya akan datang, tanamkan tekad agar jika menang bersedia untuk jadi pemenang yang matang dan pihak yang kalah bersedia menyerahkan kuasa pada yang menang dengan penuh redha. Itulah kunci keamanan dan kententeraman tanahair kita dan insyallah tidak akan berantakan negara kita nanti.


Comments

Popular Posts