TUKANG SIHIR


Tiba-tiba pagi ini muncul sebuah karangan seperti rumah tak siap ke dalam telefon bimbit saya melalui aplikasi what’s app. Walaupun agak lama tidak berkirim berita, seperti biasa sebaik membaca tulisan individu ini, perkara pertama yang harus saya ingatkan kepada diri saya adalah jangan terlalu titik beratkan soal ejaan dan struktur ayat kerana lazimnya dan menjadi fitrah beliau adalah ‘hentam kromo’ dalam soal itu. Keduanya menjadi kegemaran beliau menciplak ayat dan ungkapan orang lain seolah-olah dia ampunya harta. Kebetulan dari karangan caca-merba beliau, ungkapan dan ayat yang diguna adalah ayat-ayat, kiasan, analogi dan kiasan yang dulunya menjadi kelaziman saya ketika berbicara.

Rumusan dari apa yang dikirimkan kepada saya tadi menggambarkan seolah-olah semua musibah dan masalah yang terpaksa dihadapi oleh rakyat ketika ini berpunca daripada kekhilafan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun dia di tampuk kuasa. Katanya, “ibarat pepatah ‘kita akan menuai apa yang kita semai’ mustahil menyemai lalang akan tumbuh padi dan menyemai padi tumbuhnya lalang”. Tambahnya lagi, apa yang dilakukan DS Najib adalah perbuatan yang dilakukan oleh idolanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Begitu mudah ‘mal’un-mal’un’ ini menggunakan alasan kotor untuk menutup bangkai yang sedang dilapah oleh mereka tanpa rasa geli dan mual. Cuba buktikan apa yang dilakukan oleh DS Najib boleh dibanggakan dengan meniru apa yang telah dilakukan oleh Tun M. Segala yang dinikmati oleh rakyat selama ini samada KLCC, KLIA, Lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, kereta nasional, litar lumba Sepang, Cyberjaya dan banyak lagi adalah hasil tangan Tun M dan apa yang berjaya dilakukan oleh DS Najib untuk dibandingkan dengan apa dilakukan Tun M? Selain hutang menimbun dan beban yang ditimpa ke atas rakyat, apa yang dilakukan DS Najib memberi keselesaan pada rakyat? Sekadar kedai 1Malaysia, UTC, BR1M, ianya belum mencapai standard perdana menteri sebenarnya. 

Jika soal ketegasan dan ketegaran dalam gaya mentadbir, ia ibarat langit dengan bumi kerana kita harus mampu membezakan antara TEGAS dan ZALIM. Jangan terkeliru, dikeliru dan mengelirukan rakyat apabila cuba membandingkan sesuatu perkara. 

Kita jangan mudah tersihir dengan sihir yang sedang dihembus ke telinga rakyat bahawa masalah besar yang berlaku dalam negara ini adalah angkara tuaian hasil yang ditanam Tun Dr Mahathir. Tukang-tukang sihir ini lah dahulunya menjadi tukang hembus sihir ke telinga Tun M dan mendapat laba hasil hembusan sihir mereka itu. Jika tidak tukang sihir asal, maka yang sekarang ini sedang menghembus itu mungkin anak cucu dan cicit tukang sihir yang begitu gah mengalunkan mantera di zaman Tun M. 

Jika benar mereka menganggap semua musibah ini adalah hasil tuaian zaman Tun M, kenapa di zaman itu tidak mereka sanggah dan sergah? Secara tidak langsung mereka membuktikan bahawa mereka adalah lalang yang disemai bertiup ke kanan condong ke kanan dan ke kiri maka ke kiri lah mereka. Lalang-lalang seperti ini wajar diracun hingga ke akar paling bawah di muka bumi jangan sampai tumbuh lagi.

Keikhlasan langsung tidak terpancar daripada kata-kata tukang-tukang sihir ini kerana sekiranya benar musibah yang sedang melanda negara akibat semaian Tun M, apakah kita harus terus membiarkan musibah itu terus berlaku dan marak tanpa usaha menghentikannya? Kenapa tidak kita bersama-sama bersolidariti memadam api yang sedang marak bersama-sama Tun M walaupun jika benar itu salah beliau? Apakah kita hanya ingin menjadi penonton ketika negara sedang terbakar?

Kelihatan ketika ini usaha sedang rancak dilakukan oleh tukang-tukang sihir untuk terus membuat rakyat tidak sedar atau separa sedar dengan apa yang sedang berlaku ketika ini. Mereka menjadikan isu-isu lapuk dan remeh serta mengambil seluruh kesalahan yang sedang dilakukan untuk dihempap ke atas kepala Tun M walaupun beliau sudah meninggalkan tampuk kuasa sejak Oktober 2003. 

Usaha tukang-tukang sihir ini akan berakhir sebaik raja segala raja tukang sihir sampai ke penghujung destinasi kariernya dan rakyat jangan sesekali lupa untuk menghukum bukan saja raja segala raja tukang sihir tetapi juga seluruh tukang sihir samada yang makan gaji hasil keringat rakyat, korupsi, salahguna kuasa dan penyamunan.

Tukang-tukang sihir buat masa ini masih sibuk terbang ke sana sini dengan penyapu-penyapunya menyapu sampah-sampah dibuang raja segala raja tukang sihir di bawah permaidani dan jangan pula rakyat terguling-guling di hempap permaidani itu.

Comments

Popular Posts