CARI TITIK PERSAMAAN JAUHI USAHA MERENGGANGKAN


Matlamat perjuangan atau peperangan adalah untuk menang. Namun, di sebalik hasrat untuk menang, Islam tidak mengajar umatnya untuk menggunakan kaedah yang bertentangan dengan akidah Islamiyah. Pun begitu, ia tidak menghalang muslihat digunakan dalam peperangan atau perjuangan untuk mencapai kemenangan.

Nabi Muhammad saw sendiri menggunakan pelbagai muslihat untuk menang dalam peperangan. Di dalam sebuah hadis daripada Jabir Ibnu Abdillah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya), "Peperangan itu adalah muslihat (tipu daya)." Jika kita merujuk hadis di atas, Baginda Nabi S.A.W menyatakan bahawa peperangan itu adalah tipu daya demi memperoleh kemenangan sekali gus mengalahkan lawan. Nabi S.A.W menuturkan kaedah muslihat seperti dalam peristiwa peperangan Khandak, iaitu ketika Baginda Rasulullah mengutuskan Nu'aim ibn Mas'ud al-Asyja’ie R.A untuk menimbulkan kekacauan antara golongan Quraish dengan golongan Yahudi bani Quraizah. 

Malangnya, dalam konteks politik di negara ini, matlamat kita untuk mendaulat dan menegakkan syiar Islam, memberi keadilan pada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik, kaum, agama, jantina, umur dan status sosial mereka agak membimbangkan. Iklim politik dilihat kian tidak menentu dan berkecamuk apabila sentimen perkauman dan perbalahan berpunca daripada pegangan politik berbeza.

Apa matlamat parti pembangkang di sesebuah negara? Pastinya selain dari menjadi mekanisma semak dan imbang, ia juga untuk menjadi alternatif kepada rakyat untuk menggantikan parti pemerintah yang tersasar daripada kepentingan rakyat, bangsa, agama dan tanahair. Bagi tujuan itu, perbezaan pandangan dan pendekatan perlu diharmonikan dengan mencari titik persamaan dan mendekatkan jurang perbezaan antara kelompok masing-masing.

Sebarang perbezaan tidak memerlukan gong, pembesar suara dan gendang keling serta kompang untuk hebahan. Dari situlah kekuatan secara berpasukan dapat dipupuk dan menjadi ramuan penting mencapai kemenangan. Sampai bila kita akan mencapai kemenangan jika sifat curiga berlebihan terhadap musuh yang berpaling tadah, bekas kakitangan dan laskar musuh kita yang sudah insaf dan mereka yang dianiaya oleh musuh dimaki hamun awbaik mereka menunjukkan sikap memihak kepada kita? 

Siapa Khalid bin Al-Walid sebelum Perang Uhud dan Perang Muktah? Perang Uhud dan Perang Muktah adalah dua keadaan yang berbeza sebagaimana berbezanya peribadi Khalid bin Al-Walid. Dalam perang Uhud, beliau adalah panglima Quraisy yang berjaya mengalahkan mujahid-mujahid Islam tetapi perang Muktah menampakkan penampilan Khalid Al-Walid yang baru. Beliau adalah juara penyelamat di saat ambang kekalahan tentera Islam, ini membuktikan bahawa beliau memang layak dikurniakan anugerah tertinggi panglima tentera iaitu anugerah 'Pedang Allah'. 

Sebelum memeluk Islam, beliau adalah musuh Islam yang paling digeruni di medan perang kerana strategi perangnya yang hebat di mana umat Islam telah mendapat pengajaran yang cukup hebat ketika perang Uhud dahulu.Khalid al-Walid telah memeluk Islam pada bulan Safar tahun 8H bersama-sama Uthman b Talhah dan Amru b Al-As. Setelah itu, beliau adalah pahlawan yang berjuang menentang orang-orang yang menentang Rasulullah SAW. 

Begitu juga dengan Saidina Umar Al Khattab. Ketika Nabi Muhammad saw mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu. Namun sebaik memeluk Islam hingga menjadi Khalifah Islam yang kedua, betapa zuhudnya dan menjadi benteng umat Islam ketika itu berlindung di belakangnya berhadapan dengan musuh-musuh Islam. 

Mengharapkan mereka yang sedia ada dalam pasukan Nabi Muhammad saw, rasanya Islam tidak berkembang dan begitu dihormati seperti sekarang sepertimana ahli dan pemimpin yang berada di dalam parti masing-masing khususnya UMNO. Ada tak menambah tak ada pun idtak berkurang umpama melukut di tepi gantang. 

Ini tidak bermakna kita menghina ahli dan pemimpin yang ada tetapi dengan berprasangka buruk dan menyerang pihak yang ingin membantu perjuangan parti dan rakyat, tidak kira siapa pun mereka sepatutnya kita raikan dan menerima mereka dengan dada yang lapang. Samada mereka daripada PKR, PAS, DAP, PAN, golongan yang tidak bersetuju dengan DS Najib dalam UMNO dan siapa juga wajar digembeling untuk menumbangkan rejim yang semakin galak dan zalim berdepan kritikan dan usaha massa. 

Rakyat begitu mendambakan perubahan corak pemerintahan dan ia hanya akan berlaku dengan perubahan rejim pemerintah. Pernah atau tidak kita membaca buku The Art of War karya Sun Tzu yang merupakan tokoh pemikir ketenteraan yang banyak menyumbang idea dalam strategi peperangan. Sun Tzu menegaskan bahawa penggunaan perisik adalah penting bagi melemahkan pihak lawan dari dalam. Golongan ini boleh dianggap musuh dalam selimut. Tugas-tugas ejen perisik ini ialah menyebarkan khabar angin, memberikan maklumat yang mengelirukan musuh dengan melakukan disinformasi kepada pihak lawan dan mewujudkan keadaan tidak tenteram. Dengan kaedah ini, kemenangan dalam peperangan pasti berlaku. Semuanya akan dapat dilakukan jika kita mampu menggunakan khidmat mereka yang pernah berada di pihak lawan.

Jika kita terus menghentam dan memusuhi mereka ini, sampai bila pun kejayaan tidak akan dapat dicapai dan rakyat akan terus menjadi mangsa ketidakadilan, korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Siapa yang bersalah dan bertanggungjawab dalam soal ini jika bukan kita? Anies Baswedan bekas rektor sebuah universiti awam di Indonesia yang menjawat jawatan menteri pendidikan dan kebudayaan di dalam kabinet Jokowi berkata, “masalah di Indonesia bukan kerna ramai orang jahat, tetapi ramai orang-orang baik yang diam dan mendiamkan terhadap kejahatan yang berlaku”.

Oleh yang demikian, mari bersatu hati dan bersolidariti dalam menuju sebuah negara Malaysia Baru yang adil, saksama dan maju dengan meminggirkan perbezaan-perbezaan kecil yang boleh menggugat kesepakatan kita berdepan musuh yang nyata merugikan bangsa, agama dan negara.
Hentikan perbalahan sesama sendiri dan perkuatkan ukhwah sesama kita demi rakyat.

Salam Perjuangan

Comments

Popular Posts