SEKALI BERDOSA KEKAL BERDOSA
Membaca komen-komen pengguna media sosial sesungguhnya banyak mengaut manfaat tetapi ramai yang hanya bernafsu memberi komen dan membaca status-status sahaja. Akhirnya mereka terjebak dalam pesta telanjang kejahilan kerana status atau judul berita kebanyakannya bersifat sensasi.
Daripada komen-komen juga kita dapat mengenali individu-individu atau agensi dan pertubuhan yang sebelumnya kita anggap sebagai bebas sebenarnya rempah 'babas' ditaja pihak tertentu. Secara tidak langsung ia dapat memberi tips kepada kita siapa yang wajar dilayan dan siapa yang selayaknya dianggap "ada tak menambah dan tak adapun tak berkurang" umpama melukut di tepi gantang.
Sebentar tadi selepas pemintaan saya dibenarkan pemilik akaun untuk berteman dengan beliau, saya terus melayari dinding 'facebook' miliknya. Beliau adalah penulis dan wartawan yang saya kagumi dengan idea dan gaya penulisan mantap serta jujur gayanya. Ku Seman Ku Hussain nama besar dalam bidang sastera dan Pengarang Mingguan Malaysia yang meletakkan jawatan dari Utusan Melayu dan melangkah keluar penuh prinsip.
Dalam senarai teman-teman 'facebook' beliau juga ramai nama-nama tersohor yang ada termasuk Datuk Hashim Suboh mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar dan Ketua Penerangan UMNO Perlis. Tidak ketinggalan nama-nama besar lain termasuk Datuk Zaini Hassan juga dari Utusan Malaysia, Datuk Zurinah Hassan, Tuan Yahaya Ismail dan Puan Norzah Kepol. Ramai penulis hebat-hebat dan karyawan terbilang adalah sahabat-sahabatnya. Tidak kurang juga yang terus mengisi tembolok dengan dedak bercampur ganja untuk terus khayal dengan lagu-lagu kumpulan rock memuja syaitan.
Status-status beliau selepas meninggalkan Utusan Melayu kian menyengat dan banyak meninggalkan semerbak wangi perjuangan untuk menegakkan keadilan sosial dan politik yang kian punah dari hari kehari. Saya begitu teruja membaca tulisan-tulisannya tetapi terselit sedih dan bimbang setiap kali membaca komen-komen yang saya anggap sebagai usaha melemahkan pendiriannya serta mencemarkan persepsi umum kepadanya agar beliau dilihat sebagai manusia kecewa bukan pejuang keadilan.
Selepas membaca semua komen-komen yang begitu negatif dan berniat jahat terhadapnya serta secara tidak langsung kepada perjuangan menegakkan keadilan kepada rakyat di setiap status-status itu, dapatlah saya membuat kesimpulan bahawa sekali berdosa, kamu harus kekal berdosa untuk selama-lamanya. Kamu hanya akan dianggap tidak lagi berdosa apabila kamu dibaptiskan semula atau di'baiahkan semula dalam kelompok tersebut agar taat setia tidak berbelah bagi walaupun dipaksa menjilat najis dan meminum air kencing.
Banyak komen-komen yang dibuat menggambarkan Ku Seman sebagai insan yang sedang meroyan, tidak lagi mendapat bekalan dedak, kecewa dan macam-macam lagi. Menyebut tentang meroyan teringat juga dakwaan sama dilabel terhadap mantan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Dato' Abdul Hamid Bador kerana dianggap kecewa tidak dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas. Malah Tun Mahathir juga dicanang sebagai meroyan dan kecewa kerana tidak berjaya menjulang anaknya sebagai Perdana Menteri. Nasib sama diterima TS Muhyiddin Yasin, DS Mukhriz Mahathir dan DS Shafie Apdal semuanya sudah bergelar meroyan hanya disebabkan mereka tidak lagi sekapal memuatkan kebatilan yang dipertahankan selama ini.
Semua dakwaan itu sebenarnya tidak munasabah tetapi matlamat mereka adalah untuk mencemarkan imej dan pembunuhan karektor bagi mewujudkan persepsi cakap-cakap dan penulisan mangsa-mangsa pembunuhan karektor itu 'tak boleh pakai' hanya disebabkan kecewa bukan atas dasar perjuangan rakyat.
Ramai lagi insan-insan yang menjadi mangsa kerakusan politik jijik sebegini sehingga tidak muat kapal Titanic jika mahu diisi. Buat mereka, sesiapa saja yang tidak lagi setia bersama, tidak lagi senada dan sekata maka kamu adalah golongan kecewa dan meroyan.
Apakah jika benar sekalipun mereka ini kecewa, meroyan dan tidak lagi mendapat bekalan dedak maka mereka harus menyokong ketidakadilan dan penyelewengan? Apakah jika mereka sudah dikhianati maka mereka wajib mendewa-dewakan dan menuhankan pemimpin kamu? Tidak adakah lagi ruang untuk mereka merasa kesal dan bertaubat atas kesilapan lalu?
Politik sekarang nampaknya sudah mirip kepada kumpulan mafia dan kongsi gelap yakni sekali melangkah masuk maka kamu harus kekal dalam pertubuhan atau mati. Mengkhianati perjuangan pertubuhan (tidak menyokong ketua kongsi gelap atau mafia) ertinya kamu adalah musuh pertubuhan dan akan diburu sehingga ke lubang cacing.
Sekiranya kita menonton filem atau drama yang mengisahkan pertubuhan mafia atau kongsi gelap, kebiasaannya kita akan mengharapkan pemimpin atau ahli di dalamnya kembali ke pangkal jalan apatah lagi jika mereka dikhianati di dalam pertubuhan itu. Mungkin slogan dijunjung mereka adalah 'sekali sesat selamanya sesat' sehingga tidak ada lagi jalan pulang buat mereka yang sudah tidak lagi berhasrat mengekalkan keahlian pertubuhan. Kita bukanlah ahli parti komunis yang dikatakan "Once a Communist is Forever a Communist".
Seharusnya kita semua mengalu-alukan tindakan mereka keluar dari kepompong atau sarang kebejatan tidak kira atas alasan apa sekalipun mereka berbuat demikian. Samada atas alasan kecewa, dikhianati, gagal bersaing jawatan atau apa saja asalkan sekarang mereka sudah insaf dan mahu berjuang bersama rakyat untuk sebuah negara yang adil, saksama, bermaruah dan berjaya membawa rakyat keluar dari belenggu kemiskinan dan penyelewengan.
Cukup-cukuplah membiarkan dedak yang disumbat ke dalam tembolok itu meracuni pemikiran sendiri hingga tidak lagi kenal jalan pulang. Bagus juga jika ada kelapangan membaca buku Saudara Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang agar tersentuh nurani untuk berbuat demikian. Seluruh rakyat faham akan risiko perjuangan untuk kebenaran dan keadilan tidak pernah dihampar dengan permaidani merah melainkan bertaburan batu kerikil yang amat menyakitkan.
Menarik untuk direnungi kata-kata Zainuddin Maidin kepada Ku Seman Ku Hussain sebaik beliau meninggalkan Utusan Melayu dalam blognya ZamKata, "Mereka meninggalkan Utusan dengan rasa kecintaan pada Utusan dan kesedaran betapa kebinatangan politik mengatasi kemanusiaan dalam dunia kewartawanan dan dalam dunia kewartawanan juga ada binatang politik".
Salam Lebaran Maaf Zahir Batin
Comments
Post a Comment