TIDAK CUKUP KUATKAH SUARA KAMI?


Media arus perdana tanpa jemu walaupun rakyat kian jemu dengan berita yang melambung dan menggeletek pemimpin tanpa had. Rakyat yang sudah lali dengan berita yang hanya melakukan pengkisahan ala-ala dongeng dan tidak berpijak pada bumi nyata. Yang sombong dikatakan pemimpin merendah diri dan dekat dihati rakyat. Yang tolol dihebahkan bergelar punya gelaran doktor dan berbagai lagi kisah khayalan dan mitos yang dijerit-jerit ke telinga rakyat.

Bagaimana kita sebagai pemimpin yang dilihat rakyat sebagai pengkhianat dan penipu tanpa segan silu mendabik dada mengaku sebagai pemimpin yang mengamalkan wasatiyah, mengutamakan Islam sedangkan suara rakyat, suara dhufa dan mustad'afin tidak didengari? Lelah rakyat merintih meluahkan ketidakpuasan hati tetapi hanya makhluk-makhluk ghaib saja yang mendengar.

Bayangkan Raja segala Raja yakni Nabi Sulaiman yang begitu besar kerajaan dan begitu berkuasa pimpinannya sehingga jin dan haiwan juga turut patuh dan taat kepadanya juga masih mendengar suara orang-orang kecil. Bukan saja suara manusia, suara semut yang kecil juga didengarinya ketika beliau dan bala tenteranya melintasi laluan yang digunakan sekumpulan semut.

Pemimpin yang kita sedang depani adalah pemimpin yang gagal berubah dan enggan berubah. Sombong dengan kedudukan yang dikecapi hasil keringat dan darah rakyat. Pemimpin harus sedar bahawa perubahan merupakan intipati amat penting bagi menentukan mereka terus relevan. Pemimpin tidak harus berfikir dia relevan setiap masa kerana pemimpin yang relevan setiap masa adalah yang mampu berinteraksi dengan rakyat yang melampaui zamannya.

Alangkan Soekarno yang dianggap sebagai pemimpin terhebat pernah dilahirkan Indonesia juga kecundang kerana gagal berubah. Soekarno atau lebih dikenali Bung Karno turut kecundang kerana beliau hanya hebat ketika menentang sistem penjajah. Malangnya dia gagal dalam proses rebuilding tanahairnya mengikut keperluan semasa. Gagal membina dan membangun negara sedangkan zaman penentangan terhadap penjajah sudah berlalu. Tetapi beliau masih terbawa-bawa dengan ilusi pendekatan di zaman kehebatannya. Kehebatan yang satu ketika dulu berjaya tidak bermakna sekarang masih boleh memberi impak positif dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Oleh kerana itulah anak muda tidak menjanjikan masa lampau dan hanya menjanjikan masa depan. Ya mungkin mereka tidak banyak pengalaman tetapi yang lebih berguna adalah apa yang akan dilalui pada masa depan dan masa lalu sudah tidak mampu dibaiki lagi. Orang sombong dan takbur telah dibuktikan oleh sejarah bahawa mereka pasti akan dibaham sejarah sepertimana yang berlaku pada penzalim-penzalim tersohor masa lalu termasuk Qarun dan Firaun. Begitu juga dengan Adolf Hitler, Benito Musolini, Soeharto , Marcos, Stalin dan ramai lagi diktator-diktator yang akhirnya dihukum oleh rakyat sendiri. Bergurulah dengan sejarah kerana sejarah tidak meminta sesenpun harta kamu yang bertimbun itu jika tidak mahu menerima nasib sama seperti pendahulu. PRU14 kurang lebih 2 tahun dari sekarang dan bersiap sedialah untuk menonton filem jenaka berbekal 'popcorn' dan coca-cola.

Wallahualam

Comments

Popular Posts