BERGURU PADA SEJARAH
Sebentar tadi ketika mahu menutup kabin buku / perpustakaan mini saya, sekali lagi saya melihat buku ‘Tragedi Nadra’. Minda saya terus berfikir bahawa begitu banyak sejarah yang sudah dipahat sejak manusia pertama turunkan ke bumi ini. Jika semua manusia atau setidak-tidaknya separuh yang berusaha mendokumentasikan sejarah yang terukir itu, pastinya banyak hal dapat dipelajari daripadanya.
Daripada tragedi nadra saja tidak sedikit pengajaran yang dapat dikutip sebagai iktibar. Saya teringat bagaimana isu tersebut yang juga ada secebis kaitan dengan hal agama. Pernah satu ketika berlaku seorang wanita berbangsa Melayu yang telah murtad di Perlis tiba-tiba menjadi gempar sebaik beliau meninggal dunia.
Ketika kes ini berlaku, saya bertugas di Perlis dan wanita yang meninggal dunia itu tinggal di Kubang Tiga, berhampiran kawasan Bukit Keteri, Perlis. Wanita tersebut ketika mudanya diberitahu telah bercinta dengan seorang lelaki Siam di situ tetapi mendapat tentangan daripada pihak keluarga wanita. Kedua-dua pasangan mengambil keputusan kahwin lari ke Thailand hingga puluhan tahun dan wanita tersebut hidup dengan cara bukan Islam hingga kemudiannya kembali tinggal di kampungnya bersama anak-anaknya.
Semua anak-anaknya juga sudah mengamalkan agama Buddha dan dalam rumahnya juga penuh dengan patung Buddha serta anjing-anjing peliharaan berkeliaran di kawasan rumah. Mayat yang diletakkan dalam keranda di hadapan rumah berbumbungkan khemah yang disewa kemudiannya hanya terlantar didepan rumah tanpa bumbung lagi setelah tempoh sewaan khemah sudah lupus. Keluarga yang mahu kebumikan mayat wanita itu juga sudah bimbang kerana masih belum mendapat kebenaran pihak polis akibat mendapat tentangan daripada keluarga asal wanita itu yang mendakwa dia masih Islam dan memiliki kad pengenalan yang juga nama dan agama tercatat berbangsa Melayu / Islam.
Usaha menghubungi pihak mufti nampaknya menemui masalah setelah beliau berada di Kuala Lumpur. Saya bertanya kepada pihak Majlis Agama Islam yang turut hadir kenapa masih belum dibuat keputusan? Alasan mufti tidak berada di Perlis bukan alasan menjustifikasi tindakan menghalang pengkebumian dengan cara Buddha kerana dia sudah tidak lagi mengamalkan cara hidup Islam. Apa perlunya jumlah umat Islam berbanding kualiti umat Islam yang masih mengamalkan ajaran agama Islam. Kenapa tidak dibuat Standard Operating Procedure (SOP) bagi memudahkan pegawai-pegawai mengambil tindakan jika berdepan masalah begini?
Negara sudah hampir menjadi negara maju tetapi amalan pentadbiran masih kekal di belakang bersama Papua dan sewaktu dengannya. Nampaknya, sejarah wajar dijadikan sandaran untuk kita tidak mengulangi kesilapan serupa. Sejarah yang hanya berpaut didalam fikiran manusia akan lupus jika tidak didokumentasikan serta dijadikan rujukan semasa dan akan datang. Alangkah ruginya pengalaman dan jejak manusia yang dilalui terpadam daripada arkib sejarah untuk menjadi sumber ilmu dan pengajaran buat kita yang masih ada serta generasi akan datang. Ketika kita tua barulah kita sadari bahawa banyak lagi hal-hal yang belum dilangsaikan dan setelah ajal hampir tiba baru kita tahu bahawa banyak perkara sia-sia yang kita lakukan sebelum ini.
Wallahualam
Comments
Post a Comment