BUDAYA POLITIK APA YANG CUBA DIBENTUK?
Saya ketawa bila mengenangkan apa sebenarnya budaya politik yang cuba disemai di kalangan rakyat sejak beberapa tahun ini. Sudah banyak ketidaknormalan amalan yang berlaku dalam tindak-tanduk politik tanahair.
Apakah amalan sedemikian pernah berlaku atau jadi amalan di negara lain? Untuk buktikan diri tidak bersalah atau mengesahkan mereka bersetuju dengan sesuatu perkara, maka tampil di media dengan membuat pengakuan termasuk statutory declaration (SD). Untuk mengheret pihak polis campurtangan dalam perkara-perkara yang sebenarnya remeh-temeh maka berduyun-duyun berhimpun dan buat laporan polis.
Berbangga kononnya jumlah laporan polis sudah mencecah seribu laporan dalam tempoh tertentu. Bersumpah di masjid bagai nak rak dan sumpah laknat dan sebagainya. Untuk apa semua ini?
Semuanya memberi kesan buruk serta jadi kes ikutan buat yang lain kerana kita sudah menjadikannya sebagai 'precedent'. Tanpa penjelasan yang rasional di kacatama umum, terus umumkan sesuatu kes perlu ditutup dan tidak ada kes. Apa erti semua ini?
Lebih memalukan serta mencemar kesusilaan cara berpolitik adalah memecat sesiapa saja yang tidak sehaluan dan mengheret institusi istana. Untuk meraih simpati dan sokongan maka umumkan pemberian jutaan ringgit setiap kali lawatan ke mana-mana tempat. Hakikat sebenar apabila tidak berada dalam kumpulan kaum tersebut mereka dicerca dan diherdik. Wang yang diumumkan untuk diberi itu sebenarnya dana awam yang sepatutnya dibelanjakan secara berhemah untuk keperluan rakyat sebagai pembayar cukai.
Rasanya, di negara-negara mundur sekalipun amalan politik sebegini tidak dilakukan. Apakah Burundi, Congo, Burma Zimbabwe, Liberia, Malawi, Sierra Leone, Niger, Ethiopia, Papua New Guinea, Rwanda, Togo, Nepal, Gambia, Uganda, Madagascar, Bangladesh Tanzania – United Republic of Tanzania, Burkina, Mali, Lesotho, Kiribati, Somalia, Ghana yang semuanya tergolong sebagai negara mundur lakukan apa yang dilakukan pemimpin politik kita?
Belum pernah kita lihat di negara-negara di atas ada kumpulan atau individu beramai-ramai buat laporan polis terhadap sesuatu isu atau parti atas alasan minta pihak berkuasa ambil tindakan. Tak ada juga langkah melakukan SD dan sumpah dengan memanggil pihak media untuk buktikan sesuatu yang pada mata umum mereka sudah hilang moral.
Tidak malukah kita dengan budaya politik sebegini? Apakah ini yang kita ingin dijadikan tradisi yang akan diikut oleh generasi akan datang? Tahukah kita sebenarnya apa yang dilakukan ini menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kepolisian, kehakiman, nilai SD dan semua yang dilakukan itu?
Comments
Post a Comment