BELAJAR DARI KESILAPAN
Salam,
1. Siang tadi saya teringat untuk membeli sesuatu di Bandar Hatyai, Songkhla, Selatan Thailand. Kebetulan jarak Hatyai dan rumah saya lebih hampir ke sana berbanding ke Pulau Pinang. Sebaik sampai ke lokasi pemeriksaan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam sebelum sampai ke Kompleks Imigresen dan Kuarantin, tiba-tiba saya terfikir tentang gelagat seorang anggota UPP sedang membuat pemeriksaan yang pada hemat saya lebih bersifat mengumpan pemandu kenderaan untuk aktiviti korupsi. Dalam fikiran saya, penguatkuasa di sempadan tidak pernah belajar dari kesilapan.
2. Namun, apabila saya berfikir buat kali kedua tindakan mereka itu, saya berpendapat saya sebenarnya yang tidak belajar dari kesilapan. Yang menjadi koruptor dan sudah kebal dengan aktiviti korupsi sememangnya merupakan pelajar cemerlang kesilapan.
3. Untuk melakukan kesilapan, seseorang harus belajar dari kesilapan sepertimana kita mahu memasak, belajarlah dari tukang masak, mahu menulis, belajar dari penulis dan begitulah seterusnya. Saya tidak belajar dari kesilapan maka saya tidak ada ilmu dan pengalaman untuk melakukan kesilapan.
4. Pemimpin-pemimpin kita semuanya adalah terdiri daripada mereka yang profesional dalam melakukan kesilapan kerana mereka belajar dan berguru dari kesilapan. Kesilapan juga mengajar mereka bersungguh-sungguh sepertimana mereka yang belajar seluruh jiwa dan raga untuk melakukan kesilapan. Mereka berjaya menipu rakyat dan pada masa sama berjaya meloloskan diri daripada sebarang tindakan serta hukuman kerana kehebatan ilmu yang dipelajari dari kesilapan.
5. Sebaik mempelajari kesilapan, maka mereka mengamalkan kesilapan itu secara berterusan dan sentiasa diulang-ulang. Ilmu tanpa amal amat merugikan maka mereka teguh semangat untuk amalkan apa yang dipelajari sehingga mereka begitu cekap dan bijak sekali melakukan kesilapan. Mungkin dengan sebab itulah kesilapan amat berbangga mempunyai pengikut-pengikut seperti itu. Mana tidaknya berbangga jika pengikut-pengikut yang belajar dari kesilapan itu berada pada status sosial bukan calang-calang. Ada yang bergelar YAB, ada YB, ada Datuk Seri, ada Datuk, ada Tan Sri dan berlonggok dipanggil Bapak Menteri.
6. Mungkin kesilapan tidak suka mengajar saya kerana saya ini manusia banyak soal sedangkan penyamun-penyamun, koruptor, pembunuh dan semua bidang tugas penjenayah amat taat dan setia kepada kesilapan. Oleh itu, semua ilmu yang dimiliki kesilapan akan diturunkan kepada pengikut-pengikut kesayangannya itu.
7. Beruntunglah koruptor, penyamun-penyamun dan pemimpin-pemimpin yang melakukan 2 kerja sambil menjadi pemimpin dilakukan juga kerja-kerja penyamun dan koruptor. Nampaknya kesilapan amat berbangga dan sayang kepada murid-murid jenis ini. Hanya saya agak malang tidak disenangi oleh kesilapan yang tidak mahu mengajar saya kesilapan. Lantaran itu saya tidak cekap melakukan kesilapan dan tidak mampu bersaing dengan mereka yang cekap melakukan kesilapan.
8. Untuk melakukan kesilapan dengan penuh profesional, belajarlah dari kesilapan dengan tekun maka nanti kamu akan dapat terus melakukan kesilapan tanpa tertangkap, didakwa dan menerima hukuman atas kesilapan. Hanya yang belajar dari kesilapan mampu melepaskan diri dari hukuman atas kesilapan.
9. Lihat saja pemimpin-pemimpin kita di atas sana! Mereka secara konsisten melakukan kesilapan tetapi tidak ada sebarang tindakan atau hukuman ke atas mereka kerana mereka belajar dari kesilapan. Yang menjadi mangsa hukuman adalah mereka yang tidak belajar dari kesilapan termasuk yang sering dimarah atau dibenci oleh orang atasan atas kesilapan yang tidak dipelajari. Untuk selamat dari segala bentuk musibah dalam kehidupan, carilah kesilapan dan belajarlah dari kesilapan. Belajarlah dari kesilapan agar kita dapat melakukan kesilapan tanpa silap. Benarlah seperti kata George Bernard Shaw, "Hidup dengan melakukan kesilapan akan tampak lebih terhormat daripada selalu benar kerana tidak melakukan apa-apa".
Wallahualam
~: sani :~
Comments
Post a Comment