RAHSIA BESAR

Salam,

Setelah membuat pemerhatian sejak sekian lama, perasaan kasihan dan simpati menyelubungi diri saya terhadap pelaku-pelaku kesalahan dan pencemar dosa. Bukan saja menempah dosa, malah dibenci dan dicerca sekalian manusia akibat perbuatan mereka. Atas naluri kemanusiaan, saya bocorkan rahsia kepada mereka yang ketagihan melakukan dosa dan jenayah walaupun ada yang bergelar Datuk Seri, Tan Seri, Datuk dan bermacam lagi.

Dengan mematuhi syarat ini, lakukan lah perbuatan-perbuatan keji kamu itu atas nama kebahagiaan. Abang Jamil boleh saja bermain golf, hadir majlis makan-makan dan membeli-belah bersama isteri serta merasmikan kursus kahwin di Paris tanpa sedikitpun dosa dan menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat. 

Abang Jibby dan Ka Semah juga tidak akan menempah dosa dan hinaan rakyat walaupun terbang ke sana-sini dengan jet kerajaan dan sakan membeli-belah diselang-seli dengan permainan golf di Hawaii. Saya amat yakin rakyat tidak akan marah malah mereka tidak akan tahu walau sehebat mana agen perisik yang diupah untuk membongkar tindak-tanduk yang dilakukan.

Sesiapa saja boleh meletupkan musuh mereka tanpa mengeluarkan sebarang upah. Yang paling utama mahkamah dunia dan akhirat tidak akan mengambil kira kesalahan tersebut dan kita akan terus dapat meneruskan aktiviti pendosaan dan penjenayahan. 

Mana-mana pemimpin juga tidak perlu takut ditangkap berkhalwat di Port Dickson atau di mana saja walaupun artis yang ternama menjadi pasangan. Jika rasa ingin berzina sekalipun berzinalah pastinya tidak akan dipalitkan walau setitis dosa.

Yang mencuri wang rakyat tidak kira 2MDB atau 3MDB tidak akan didapati bersalah dan SPRM serta Bank Negara juga tidak bimbang dengan tingkahlaku peguam negara jika rahsia besar saya berikan ini dapat dilakukan. Arul Kanda tidak akan pening kepala dan Zeti juga lebih tenang tanpa gangguan.

Lakukanlah apa saja samada kejahatan pasti tanpa dosa dan segala kebaikan juga tidak akan mendapat pahala. RAHSIA BESAR itu adalah dengan melakukan semuanya di dalam MIMPI. Jangan sesekali melakukannya selain dari dalam mimpi jika ingin selamat. Itulah rahsia yang dibocorkan oleh mantan Menteri Besar Kedah dan mantan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO 20 September 1985. Oleh kerana itulah kata Sanusi, mereka yang mula akhil baligh bermimpi sehebat mana sekalipun tidak akan berdosa dan dipersalahkan. Jika aksi mimpi berlebihan sekalipun katanya "lebih-lebih jatuh katil".

Oleh kerana itulah Frank Wolworth pernah mengungkapkan bahawa "Mimpi takkan pernah menyakitkan apabila anda terus bekerja di balik mimpi-mimpi itu untuk membuatnya menjadi kenyataan sebanyak mungkin dan sejauh mana anda mampu".



Comments

Popular Posts