MEREKA HEROISMA, KITA HEDONISMA
Salam,
1. Perkataan 'heroisma' dan 'hedoisma' dari sudut bunyi dan ejaan tidak banyak berbeza tetapi dari segi maksudnya terlalu jauh untuk dibandingkan. Apa yang cuba saya ketengahkan kali ini adalah berkaitan dengan pola fikir masyarakat kita khususnya bangsa Melayu yang sudah dibentuk sedemikian rupa sehingga kita telah diheret jauh dari alam realiti dan memilih untuk berfantasi tanpa hujung.
2. Seperti kata penulis dan penerbit akhbar dwi mingguan Kak Norzah Kepol mengulas mengenai drama-drama dan filem Melayu ketika ini, "kebanyakan drama Melayu sudah terkeluar dari landasan adat dan budaya kita, maksudnya mengikut acuan negara orang". Saya mengakui secara jujur bahawa apa yang disebut beliau itu memang benar kerana melihat plot cerita yang sering dipertontonkan kepada masyarakat kita, ia seolah-olah berlaku pergelutan antara menagih populariti, keuntungan dan kepentingan kepada bangsa, agama dan tanahair. Apakah benar golongan muda semuanya dengan mudah mencapai kejayaan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat gergasi? Benarkah ibu mertua di negara ini semuanya membenci menantu atau bakal menantu? Kenapa mereka terus menerus menganiaya menantu mereka? Penggunaan bomoh dan puaka untuk menyihirkan sasaran mereka seperti ianya sentiasa diamalkan dalam masyarakat. Patutlah budaya benci, khianat, menganiaya sesama sendiri dan dendam menggelegak dalam masyarakat ketika ini.
3. Mengulas perkara sama, penulis dikenali ramai Abang Musli Oli yang banyak menulis dan menerbitkan buku-buku politik tanahair memberi komen, "mind set Melayu mempengaruhi karya dan filem-filem Melayu dahulu seperti Salah Sangka, Ibu Mertuaku seakan-akan kisah dongeng dan Lagenda Mahsuri, Singapura dilanggar todak dan Hang Tuah di mana temanya sama...Fitnah dan fitnah itu adalah dari orang berkuasa yang berlaku terhadap rakyat jelata hingga ke hari ini."
4. Saya amat bersetuju dengan kata-kata Abang Musli Oli itu kerana kecelaruan dalam masyarakat telah menyerap masuk ke dalam arena politik dilihat berpunca daripada pembentukan pola fikir sedemikian rupa. Fitnah dan penganiayaan sudah seperti diterima oleh masyarakat kerana diulang-ulang siang dan malam sehingga ia bukan lagi perkara jelek dan merbahaya.
5. Berbeza dengan drama atau filem barat yang walaupun secara logiknya adalah sesuatu yang sukar diterima akal, tetapi nilai dan mesej yang cuba dibawa oleh penerbit filem mereka lebih kepada untuk menanam perasaan bangga menjadi warganegara dan mempunyai wira-wira yang luarbiasa ditonjolkan sebagai simbol kekuatan dan hegemoni Amerika Syarikat dan Britain. Kisah agen perisik terhebat seperti 007, Mission Impossible, Captain Amerika, Superman, Batman, Spiderman, Thor, Operation Desert Storm, Airforce One, Rambo dan banyak lagi mengisahkan betapa hebatnya adiwira-adiwira dimiliki mereka. Malah lebih efektif, digabungkan semua adiwira-adiwira mereka dalam filem 'The Avengers' bagi membuktikan mereka akan bersatu dan bekerjasama walaupun berbeza dari segi perwatakan dan penampilan. Yang utama adalah matlamat mereka sama untuk menyelamatkan Amerika. Elemen 'heroisma' itu menjadi kunci atau rencah utama sesebuah filem yang akan diterbitkan oleh mereka. Heroisma membawa maksud keberanian dalam membela keadilan dan kebenaran serta kepahlawanan. Sedangkan filem dan drama kita terus menerapkan budaya atau elemen 'hedonisma'.
6. Hedonisme adalah pandangan hidup yang menganggap bahawa kesenangan dan kenikmatan material adalah tujuan utama hidup. Bagi para penganut fahaman ini, bersenang-senang, pesta-pora, dan berpelesiran merupakan tujuan utama hidup tidak kira ianya menyenangkan atau sebaliknya kepada orang lain. Mereka beranggapan hidup ini hanya sekali dan seharusnya mereka ingin menikmati hidup senikmat-nikmatnya. Di dalam lingkungan penganut fahaman ini, hidup dijalani dengan sebebas-bebasnya demi memenuhi hawa nafsu yang tanpa batas.
7. Golongan ini juga akan merasa teruja engan menonjolkan jenama-jenama terkenal dan mahal, atau simbol-simbol kemewahan. Lihat saja di bandar-bandar besar ketika ini semakin banyak munculnya butik-butik atau gedung pakaian dan perlengkapan lainnya yang merupakan barangan import dan berjenama dengan harga yang begitu luarbiasa buat kita masyarakat umum tetapi bagi mereka umpama makanan di celah gigi. Harga sebentuk cincin dan beg mencecah bukan saja ratusan ribu malahan jutaan ringgit. Perkara ini semualah yang dijadikan intipati drama dan filem sehingga yang tidak mampu akan menipu, mencuri dan menjadi koruptor demi memenuhi impian dan nafsu serakah yang dicipta daripada tangan-tangan manusia berbangsa Melayu atas nama seni serta mencari rezeki yang halal. Kamu menabur angin maka bersiaplah menuai badai.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment