MENSIA-SIAKAN NIKMAT ALLAH

Salam,

1.   Riuh rendah isu kursus perkahwinan yang dijalankan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Paris, Perancis yang disusuli dengan beberapa lagi tindakan YaPEIM yang dianggap tidak wajar dan berbaloi dengan perbelanjaan begitu besar yang dikeluarkan badan itu khasnya melibatkan menteri di JPM DS Jamil Khir Baharom. 

2. Jawapan balas yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa "YaPEIM ada hasil niaga lebih RM1 bilion, tak perlu guna dana anak yatim" bagi membela 'bos'nya tidak banyak membantu malah terus mengheret persepsi negatif terhadap bukan saja dirinya dan 'bos'nya itu malah badan itu sendiri. Contohnya walaupun wang yang dibelanjakan untuk perkara membazir itu datang dari wang gaji kita sendiri bukan hasil mencuri dan korupsi, apakah wajar ia dilakukan?

3.  Dr. 'Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya 'Setangkai gandum dan sebutir bom' (halaman 163) menyebut "Sesungguhnya menghapuskan setitis air mata di pipi orang-orang yang dizalimi lebih baik daripada mengadakan seminar tentang budaya yang sememangnya sudah rosak yang dengannya umat bertambah leka dan lalai. Mengenyangkan perut seorang yang kelaparan adalah lebih baik daripada sekadar mengadakan seminar pemikiran yang tidak mendatangkan sebarang natijah". Apatah lagi perkara yang boleh dbuat dalam negara dilakukan di luar negara dengan belanja yang besar.

4.   Menambah luka di hati rakyat apabila jawapan yang bukan saja dianggap sebagai usaha melepaskan diri, ia juga dianggap tidak sesuai lantaran keluar dari mulut seorang yang asas agamanya dan kedudukan dalam lingkaran persada agamanya begitu tinggi tiba-tiba kelihatan angkuh dan tidak peka dengan situasi ekonomi semasa. 

5.    Meruntun masalah adalah kerana ia berlaku satu-persatu terbongkarnya kes-kes yang dilihat sebagai pengkhianatan pemimpin terhadap amanah yang diberi oleh rakyat kepada mereka. Sedangkan pada masa sama rakyat bergelut dengan himpitan bebanan hidup yang entah bagaimana mahu dilepaskan. Rakyat menangis kering airmata memikirkan bagaimana esok akan dilangsungkan tetapi pemimpin terus menerus melondehkan gelagat Marcos dan Imeldanya.

6.    Apakah kamu fikir rakyat itu hanya penonton yang tidak punya perasaan dan akal? Apakah rakyat hanya selayaknya berdiam diri menjadi tunggul kayu kering menunggu minyak tanah dan api untuk dibakar? Cukup-cukuplah berkelakuan umpama binatang buas dan dangkal di hadapan rakyat yang sudah bosan dengan lakonan yang dipertontonkan. 

7.   Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah SWT dan tidak berlandaskan tuntutan sunnah Rasulullah SAW. Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah SWT.

Wallahualam


Comments

Popular Posts