SUARA RAKYAT


Salam,

1.   Bekas tokoh akademik di Universiti Malaya Prof Abu Bakar Hamid pernah menulis di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 7 April 1996:

      "...Kini sudah timbul semacam kekeliruan tentang konsep kesetiaan, baik kepada kerajaan ataupun kepada negara. Yang mempunyai pendapat yang berlainan dan berani menyuarakannya sering dilabel sebagai tukang kritik dan dipersoal kesetiaannya. Seolah-olah yang mengemukakan pandangan yang berlainan itu tidak memberi apa-apa sumbangan sedangkan semua orang tahu bahawa hanya apabila sesuatu isu itu diperdebatkan dan dilihat daripada pelbagai sudut pandangan barulah ia menjadi jernih....".

2.     Apakah rakyat di negara ini tidak punya hak untuk berbeza pandangan dengan arus perdana dan hanya menjadi seperti ikan mati yang mengikut arus? Arus perdana tidak semestinya benar dan tidak semestinya menjunjung prinsip kebenaran hakiki. Jika arus perdana itu sentiasa benar, tidaklah akan berlaku seperti apa yang sedang berlaku ketika ini dalam negara. Tidaklah juga rakyat sebahagian besarnya sudah muak dan bosan dengan berita yang dipaparkan ketika 'prime time' jam 8 malam itu. Rakyat melihat media arus perdana tidak lebih dari menjadi agen propaganda murahan yang memutarbelitkan isu dan kenyataan mereka yang dianggap musuh politik 'political master'.

3.       Di mana letaknya pemimpin yang kononnnya memperjuangkan suara rakyat? Dalam situasi rakyat dibelenggu dengan himpitan makhluk ganas bernama GST, pemimpin-pemimpin dengan selamba berkata GST tidak akan membebankan rakyat. Apakah itu suara rakyat yang sebenar? Rakyat belum lagi sampai ke tahap 'gila' apabila perkara menyiksa mereka boleh dianggap tidak membebankan. Yang tidak membebankan adalah suara pemimpin bukannya suara rakyat. Oleh yang demikian, jika ada rakyat yang bersuara tidak senada dengan pemimpin, dengan begitu mudah mereka dilabel sebagai pembangkang atau membawa suara pembangkang.

4.         Mana-mana pihak yang menegur pentadbiran akan dikategorikan sebagai suara pembangkang samada ianya suara Melayu atau bukan Melayu. Pengkritik kerajaan pula akan dikategorikan sebagai 'pengkhianat' dan 'tidak taat' kepada negara. Rakyat dipaksa supaya jangan mengklasifikasikan mengkritik kerajaan dengan mengecam negara sendiri itu sebagai mempunyai perbezaan. Mereka yang mengkritik kerajaan dianggap sebagai memburuk-burukan negara sendiri. Sampai bila keadaan begini harus berlarutan? Siapa sebenarnya pengkhianat negara dan tidak taat pada negara? Bukankah mereka yang meletakkan negara dalam bebanan hutang ratusan bilion ringgit dan juga membenarkan sebuah syarikat yang ditanggung kerajaan terkapai-kapai untuk melunaskan hutang mencecah RM42 bilion itu lebih hampir kepada pengkhianat negara?

5.      Media massa sengaja tidak akan mendedahkan masalah mereka semata-mata melindungi kepentingan golongan korporat dan pihak atasan. Inilah yang menjadi amalan ketika kesultanan Melaka apabila semua keburukan istana dilindungi oleh pembesar-pembesar supaya tidak diketahui rakyat. Tetapi air yang mengalir tidak mungkin dapat diempang, kerana Empangan Maarib yang dibina dengan teknologi tinggi oleh kerajaan Saba' di Yaman dalam abad ke 2 Masehi, akhirnya runtuh di tengah-tengah keangkuhan pemerintahnya.

6.      Selagi orang Melayu tidak berani mempersoalkan keadilan dari pemerintah, mereka akan terus berfikiran beku, tidak mampu menjadi pencetus idea baru dan bergelumang dengan ketakutan kepada diri sendiri. Oleh itu kebebasan intelektual perlu diteruskan supaya bangsa Melayu bukan saja bersedia menjadi pengkritik sosial, tetapi sanggup menjadi pengkritik diri sendiri. Mereka yang bimbang kepada kebebasan intelektual ini adalah mewarisi peristiwa 'Singapura Dilanggar Todak' apabila kemampuan minda seorang anak kecil seperti Hang Nadim lebih bermakna daripada idea ratusan pembesar-pembesar negeri yang hanya berfungsi sebagai 'pengampu' dan mementingkan diri sendiri.

7.     Selagi suara rakyat terus dikongkong dan dikekang, percayalah bahawa kebenaran akan terus menggelegak umpama lava gunung berapi yang hanya menanti masa untuk meletus dan menggegarkan bumi serta mengalirkan lahar panas ke seluruh wilayah selagi ia masih mampu mengalir. Sifat utama ledakan adalah semakin mampat semakin kuat ledakannya. Demi kasih sayang kita kepada bangsa, agama dan tanahair, kami menyeru agar suara rakyat suara keramat itu dibiarkan bergema secara natural tanpa ditambah-tambah 'echo'nya atau disumbat penutup dan terkurung dalam tempayan. Sekuat mana kebenaran dipekup, tiba masanya akan terserlah juga.

Wallahualam

~sani_ahmad~

Comments

Popular Posts