JANGAN LATAH


بِسْــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِالرَّحِيْــــم


Salam,

1.     Petang tadi saya sempat membuat fotokopi buku Mahathir: Riwayat Gagah Berani tulisan J. Victor Morais yang diterjemahkan oleh Abdul Razak bin Haji Abdul Rahman. Buku yang diterbitkan oleh Arena Buku Sdn Bhd pada tahun 1982 ini amat menarik sekali seakan-akan biografi Tun Dr Mahathir Mohamad. Membaca bab 2 buku ini, saya tertarik dengan kata-kata Negarawan Ulung ini mengenai kritikan terhadapnya ketika isu surat yang dihantar kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Perdana Menteri ketika itu. Kandungan surat yang banyak menyentuh tentang kegagalan kerajaan pimpinan Tunku membantu orang Melayu ketika itu kemudiannya tersebar luas setelah jatuh ke tangan pihak media dan Tunku begitu marah sehingga mengambil tindakan memecat Tun Dr Mahathir Mohamad.

2.    Dalam respon yang dibalas oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata, "Saya hanya memberi kenyataan tentang apa yang difikirkan oleh rakyat Malaysia ketika itu." Tambahnya lagi, "Tidak ada pertelingkahan peribadi, hanya pertelingkahan pendapat, anda tidak menentang pendapat oleh kerana orangnya, tapi oleh sebab apa yang ia buat atau tidak buat." Perkara ini mengingatkan saya dengan apa yang sedang berlaku ketika ini dalam krisis kepimpinan di mana beberapa pihak menganggap ia merupakan pertentangan antara Najib dan Mahathir. Hakikat sebenar adalah, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mewakili rakyat untuk menyuarakan rasa bimbang tentang dakwaan kegagalan Najib mentadbir negara khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), GST, kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Sharibu yang menarik perhatian bukan saja rakyat Malaysia bahkan negara luar. Rakyat sehingga kini hanya menuntut penjelasan yang telus dan jujur tanpa menuduh mana-mana pihak terlibat termasuk juga Najib.

3.    Tepat sepertimana kata Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau hanya memberi kenyataan tentang apa yang difikirkan oleh rakyat Malaysia ketika ini dan juga beliau tidak ada pertelingkahan peribadi, hanya pertelingkahan pendapat. Beliau juga tidak menentang pendapat oleh kerana Najib orangnya, tetapi oleh sebab apa yang Najib buat atau tidak buat. Itu saja yang dituntut oleh Tun Dr Mahathir bagi mewakili suara rakyat. Sebelum itu sudah berapa banyak rungutan dan aduan tentang isu sama tidak dijelaskan dengan baik termasuk oleh Rafizi Ramli dan kemuncaknya apabila Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan membuat laporan polis berkaitan dengan 1MDB yang berakhir dengan pemecatan beliau dan disusuli diisytiharkan muflis. Tun dr Mahathir juga menyatakan beliau telah menunggu sehingga 4 tahun sebelum mula mengkritik secara terbuka setelah pendekatan sebelum itu dilihatnya gagal mengubah apa yang dilakukan oleh Najib.

4.    Apa hasilnya apabila orang selain dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersuara? samada diam tanpa jawapan ataupun menjadi mangsa ugutan dan serangan bertopengkan undang-undang dan perkakas-perkakas yang merelakan diri diliwat. Oleh kerana itulah rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta penjelasan dan mengambil tindakan koreksi jika ada salahlaku atau kepincangan. Malangnya, ekoran kritikan dan teguran Tun Dr Mahathir itu, beliau pula dijadikan sasaran pendokong Najib termasuk unit propaganda Putrajaya seperti JASA dan instrumen di belakang beliau menghentam tanpa adab sopan terhadap negarawan yang banyak berjasa pada negara. Politik apa sebenarnya yang sedang dipencakkan oleh Najib dan sekutunya itu? Lagaknya seperti politik brengsek yang cukup memalukan buat pemimpin ulung negara yang melatah tidak selayaknya dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

5.    Melatah itu bukan caranya bagi seorang pemimpin hebat. Latah adalah lakonan dan permainan 'mak nyah' atau makcik-makcik mengunyah sireh pinang. Itulah yang sering dilakukan oleh makcik-makcik dan 'mak nyah' bukannya pemimpin yang ilmu penuh di dada dan karisma melimpah di jiwa. Politik santun seorang pemimpin ulung hilang sekelip mata dek 'latah' yang tidak sepatutnya dilakukan oleh Najib. Lolongan "saya akan meneruskan perjuangan selagi rakyat bersama saya" hanyalah retorik yang memualkan. Rakyat kenal dan tahu siapa pejuang dan siapa petualang. Majoriti rakyat masih belum buta, pekak, bisu, bodoh dan gila lagi. Oleh itu, jangan diperlekehkan tahap intelektual rakyat yang akan menjadi punca gempa berskala richter melebihi 9.3 melebihi Tsunami di Acheh pada 26 Desember 2004 lalu.

6.     Ketahuilah wahai pemimpin! Rakyat negara ini khususnya berbangsa Melayu cukup terkenal dengan sopan santun dan taat setia kepada pemimpin. Pun begitu, seperti yang pernah diucapkan oleh Tun Dr Mahathir satu ketika dahulu mengulangi kata-kata Jebat, "Raja Adil raja disembah, Raja zalim Raja disanggah". Kata-kata ini sinonim dan sering menjadi petikan sebagai ingatan kepada pemimpin bahawa hormat, taat dan setia bangsa Melayu itu ada limitasi dan batasnya. Ada ubi ada batas, ada hari pastinya dibalas. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

7.    Lihat saja dalam isu penyebaran video ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis tertutup di Janda Baik sehingga menimbulkan pelbagai reaksi spontan pemimpin dan rakyat. Ianya adalah sesuatu yang berlaku berpunca daripada keghairahan kelompok-kelompok dalam UMNO sendiri untuk menyerang satu sama lain dan sudah pasti ianya adalah taktik dan strategi yang dirancang demi keuntungan politik samada di pihak Najib mahupun Tun Dr Mahathir tanpa melibatkan arahan dari pembesar-pembesar ini. Tambahan pula, ianya bukan rahsia keselamatan negara dan tidak mempunyai unsur jenayah samada di bawah Akta Rahsia Rasmi atau undang-undang jenayah yang berkuatkuasa seperti yang disebut oleh salah seorang Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal yang menyifatkan tindakan individu yang mendedahkan video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bukan satu kesalahan jenayah sehingga memerlukan tindakan tegas perlu diambil.

8.    Kisah ini juga sama dengan apa yang berlaku pada Tun Dr Mahathir ketika surat ditujukan pada Tunku Abdul Rahman sehingga beliau dipecat. Tetapi beliau sebagai pemimpin yang kuat jiwa dan mentalnya, beliau tidak melatah. Beliau berkata, "Saya masih berasa hairan bagaimana surat itu diedarkan ke pihak umum. Saya sekarang tahu apa yang dikatakan oleh Kissinger (Mantan Setiausaha Negara amerika) itu benar: Tidak ada rahsia rasmi yang kekal rahsia setelah tibanya alat menxerox. Hanya yang rahsia itu ialah tidak bertulis." Oleh itu, perubahan masa dengan kecanggihan teknologi seperti sekarang, sudah pastilah tidak ada lagi yang rasmi dengan kemunculan telefon bimbit berkamera dan sebagainya yang membolehkan maklumat dan berita sepantas kilat sampai kepada sasaran. Jangan melatah kerana saya sudah menyebut perkara itu seperti di para 5 yang pastinya tidak digemari orang. Ingat pesanan Tun Dr Mahathir ketika beliau dipecat dari UMNO, "Saya tidak memerlukan politik untuk mencari nafkah hidup." Oleh itu, banyakkan bersabar dan terima sesuatu yang datang itu dengan dada dan minda yang lapang. Untuk mewujudkan suasana kondusif dalam dunia politik, politikus dan pampers itu sama kaedahnya, perlu diganti selalu agar tidak terperap dalam kekotoran. Namun demikian, apa lah sangat dapat dilakukan? Seperti kata Nikita Khrushchev (Bekas merupakan pemimpin Soviet Union pada tahun 1956-1964), "Politikus itu sama saja di mana-mana. Mereka berjanji membina jambatan walaupun di tempat yang tidak ada sungai."

Wallahualam

~ sani_ahmad~

Comments

Popular Posts